>

BOLEHKAH MENJADIKAN KONDO ANDA SEBAGAI AIRBNB?

 

condominium airbnb

PREMIS SEBAGAI AIRBNB - ADAKAH BADAN PENGURUSAN BERHAK BERTINDAK TERHADAP PEMILIK UNIT?


1. Perkhidmatan Airbnb (Air, Bed and Breakfast) yang melibatkan penyewaan premis atau kediaman (kebiasaannya kediaman berbentuk strata) jangka pendek kepada individu (kebiasaannya pelancong) adalah di antara perkhidmatan yang boleh menjana pendapatan yang lumayan kepada pemilik premis. Lebih-lebih lagi kediaman seperti kondominium ataupun apartmen yang mempunyai lokasi yang strategik.

2. Walaupun Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia memberi lampu hijau kepada pengendali-pengendali Airbnb untuk memberikan perkhidmatan mereka, walaubagaimana pun setakat tarikh rencana ini ditulis, masih belum ada undang-undang khusus untuk meregulasi perkhidmatan Airbnb di Malaysia.

3. Ketiadaan panduan berbentuk undang-undang khusus untuk mengatur (regulate) perkhidmatan ini sedikit sebanyak menimbulkan komplikasi di dalam hubungan di antara pengendali Airbnb, pemilik-pemilik premis lain yang tidak mahu residensi mereka menjadi seperti sebuah hotel dan juga Badan Pengurusan sesebuah residensi tersebut.

4. Ini dapat dilihat melalui sejumlah aduan-aduan terhadap pelancong-pelancong yang menduduki premis-premis Airbnb di mana sesetengah daripada mereka didapati telah dibekalkan dengan kad-kad akses ciplak serta tidak mengambil endah, mengganggu ketenteraman dan menjejaskan keselamatan residen-residen premis yang lain, di antara lainnya, dengan gagal untuk menjaga kebersihan, bising, mencuri dan berkelakuan tidak senonoh.

5. Di dalam sebuah rencana yang disiarkan pada tahun 2017, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur telah dipetik sebagai berkata pemilik kondominium atau apartmen hanya boleh menjalankan perkhidmatan Airbnb sekiranya ia tidak bertentangan dengan undang-undang kecil (by-laws) yang diselaraskan oleh Badan Pengurusan sesebuah residensi tersebut.

6. Jadi persoalan yang perlu dijawab di sini adalah; adakah Badan Pengurusan sesebuah residensi boleh mengambil tindakan keatas pemilik-pemilik unit yang menjadikan kediaman mereka sebagai Airbnb?  Seawal tahun 2015, Pesuruhjaya Bangunan Kuala Lumpur telah mengeluarkan notis pekeliling kepada semua Badan Pengurusan kediaman strata di dalam dan sekitar Kuala Lumpur untuk mengambil langkah melarang unit-unit kediaman didalam premis tersebut dijadikan rumah inap atau Airbnb. 

7. Jadi jawapan yang tepat adalah bergantung kepada undang-undang kecil residensi tersebut. Sekiranya undang-undang kecil residensi mempunyai peruntukan untuk menghalang unit-unit kediaman daripada dijadikan rumah inap Airbnb, maka ya, Badan Pengurusan boleh mengambil tindakan. Sekiranya tiada peruntukan, Badan Pengurusan boleh memilih untuk memperkenalkan peruntukan tersebut di Mesyuarat Agung bagi mendapatkan kelulusan ataupun membenarkan operasi Airbnb dijalankan. 

8. Pemilik residen berhak untuk membuat aduan tentang operasi Airbnb di kediaman mereka. Sekiranya terdapat pemilik residen yang membuat aduan terhadap perkhidmatan Airbnb tersebut, maka adalah menjadi tanggungjawab Badan Pengurusan untuk mengambil tindakan berdasarkan peruntukan yang dibenarkan oleh undang-undang kecil residensi. 

9. Kegagalan mengambil apa-apa tindakan terhadap aduan boleh menyebabkan ahli-ahli Badan Pengurusan tersebut berdepan dengan tindakan sekiranya aduan tersebut dimajukan kepada Pesuruhjaya Bangunan Setempat (local Commissioner of Buildings).

10. Oleh yang demikian, sebagai kesimpulan, sekiranya anda berhasrat untuk menjadikan unit kediaman strata anda sebagai Airbnb, maka adalah baik untuk terlebih dahulu merujuk kepada undang-undang kecil residensi. Badan Pengurusan pula, selain daripada merujuk apa sahaja keingkaran terhadap undang-undang kecil residensi kepada Tribunal Pengurusan Strata, mereka boleh juga memulakan tindakan melalui writ saman terhadap pemilik-pemilik unit yang ingkar tersebut.
 
11. Selain itu, apakah tindakan yang JMB boleh ambil terhadap pemilik unit yang gagal atau enggan membayar caj penyenggaran? Baca DI SINI

airbnb


Rujukan utama: kes Mahkamah Rayuan - Innab Salil & Ors v Verve Suite Mont Kiara Management Corp [2020] 2 MLJ 163. Mahkamah Persekutuan [2020] MLJU 1563.

Hubungi kami di 0129797494 atau menerusi email di norhafeezlaw@gmail.com atau menerusi kotak pertanyaan untuk sebarang maklumat lanjut.

airbnb malaysia

0 Pertanyaan & Jawapan

Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.