>

APA ITU PENGHAKIMAN DAN FUNGSI-FUNGSINYA?

 

bankrapsi, insolvensi, saman penghutang penghakiman, sita dan jual, penggulungan syarikat

PENGHAKIMAN DAN PROSES PERLAKSANAAN PENGHAKIMAN

Apa itu Penghakiman? Kenapakah sesuatu Penghakiman itu amat penting di dalam proses tindakan Mahkamah? Adakah terdapat jenis-jenis Penghakiman yang berbeza? Adakah kita terus boleh mendapat apa yang kita tuntut di dalam Saman selepas mendapat Penghakiman? Apakah tindakan yang wajar kita ambil untuk mendapatkan hak kita?  Ikuti penjelasan mudah kami dibawah.

APA ITU PENGHAKIMAN?

1. Penghakiman adalah suatu dokumen yang diperolehi pada akhir sesuatu proses saman. Ianya adalah dokumen yang mengandungi pengesahan sesuatu tuntutan, samada ianya dibenarkan atau ditolak, dan dalam beberapa keadaan dibenarkan dengan pindaan, oleh Mahkamah.

2. Secara mudahnya, suatu Penghakiman adalah pengesahan sesuatu tuntutan. Sekiranya kita memenangi sesuatu kes sebagai seorang yang menyaman, tuntutan kita akan dianggap sah dan tidak lagi boleh dipertikaikan. Sekiranya kita kalah sebagai seorang yang menyaman, tuntutan kita akan ditolak.

FUNGSI PENGHAKIMAN?

3. Untuk memudahkan pemahaman, penjelasan kami berpaksi kepada konteks di mana anda sebagai orang yang menyaman atau yang memulakan tindakan telah memenangi kes anda dan berjaya memperolehi satu penghakiman yang berpihak kepada anda. Apa fungsi penghakiman? 

4. Fungsi utama Penghakiman adalah untuk mengesahkan tuntutan anda terhadap orang yang anda saman. Orang yang anda saman, Defendan, tidak lagi boleh mempertikaikan tuntutan anda. 

5. Penghakiman akan menjadi dokumen yang mengesahkan tanggungjawab Defendan untuk memenuhi tuntutan anda, sebagai contoh, membayar balik hutang atau membayar gantirugi terhadap sesuatu perlanggaran atau kecuaian.

6. Selain daripada itu, Penghakiman juga memberikan hak kepada anda untuk melaksanakan Penghakiman tersebut.

BAGAIMANA UNTUK MENDAPATKAN PENGHAKIMAN?

7. Terdapat beberapa cara untuk mendapatkan sesuatu Penghakiman. Ianya bergantung kepada nasihat daripada peguam anda, tindakan daripada Defendan dan juga keadaan dan kekuatan fakta serta dokumen sokongan dan juga saksi-saksi yang memberikan keterangan untuk sesuatu kes itu sendiri.

apa itu penghakiman ingkar

JENIS-JENIS PENGHAKIMAN

8. Secara umumnya terdapat 5 jenis Penghakiman yang boleh diperolehi daripada Mahkamah. 5 jenis Penghakiman itu adalah: Penghakiman Ingkar Kehadiran, Penghakiman Ingkar Pembelaan, Penghakiman Terus, Penghakiman Persetujuan dan Penghakiman Akhir.

PENGHAKIMAN INGKAR KEHADIRAN (JUDGMENT IN DEFAULT OF APPEARRANCE)

9. Penghakiman Ingkar Kehadiran adalah suatu Penghakiman yang boleh diperolehi apabila Defendan gagal untuk memfailkan Memorandum Kehadiran, samada melalui peguam yang dilantik oleh Defendan atau melalui dirinya sendiri.

10. Apabila anda memfailkan Saman, dokumen saman tersebut hendaklah diserahkan kepada orang yang anda saman. Ini dinamakan proses Penyerahan (service). 

11. Apa bila dokumen saman tersebut telah berjaya diserahkan kepada orang yang anda saman, beliau hendaklah memfailkan Memorandum Kehadiran di dalam masa yang ditetapkan. 

12. Sekiranya orang yang anda saman tidak memfailkan Memorandum kehadiran dan memilih untuk tidak berbuat apa-apa, maka anda berhak untuk mendapatkan Penghakiman Ingkar Kehadiran.

PENGHAKIMAN INGKAR PEMBELAAN (JUDGMENT IN DEFAULT OF DEFENCE)

13. Penghakiman Ingkar Pembelaan pula adalah Penghakiman yang anda boleh perolehi apabila orang yang anda saman gagal memfailkan Pembelaannya di Mahkamah.

PENGHAKIMAN TERUS (SUMMARY JUDGMENT)

14. Penghakiman Terus adalah Penghakiman yang boleh diperolehi setelah orang yang anda saman telah memfailkan memorandum kehadiran dan Pembelaan. Namun untuk mendapatkan Penghakiman jenis ini, anda perlu melepasi syarat-syarat yang ketat. 

15. Diantara syarat-syaratnya adalah kes anda hendaklah kes yang jelas (straight forward) dan disokong oleh dokumen-dokumen yang sangat kuat dan tidak boleh dipertikaikan.

16. Penghakiman Terus boleh menjimatkan masa dan kos, walau bagaimana pun anda perlu memastikan bahawa tiada lansung wujud sebarang ruang-ruang yang boleh digunakan untuk mempertikaikan kes anda.

PENGHAKIMAN PERSETUJUAN (CONSENT JUDGMENT)

17. Penghakiman Persetujuan adalah Penghakiman yang diperolehi apabila orang yang anda saman bersetuju dengan tuntutan anda, tidak ingin mencabar tuntutan anda dan ingin memenuhi tuntutan anda. Bagi maksud untuk menjimatkan kos dan masa, lazimnya pihak-pihak akan memasuki Penghakiman Persetujuan.

PENGHAKIMAN AKHIR (FINAL JUDGMENT)

18. Penghakiman Akhir adalah sejenis Penghakiman yang diperolehi selepas daripada proses bicara. Apabila pihak-pihak yang bertelagah tidak dapat menemui titik pertemuan untuk menyelesaikan sesuatu kes itu, samada melalui rundingan atau mediasi, maka kes tersebut akan dibawa untuk proses bicara.

19. Pihak-pihak akan membawa saksi-saksi dan juga dokumen-dokumen sokongan masing-masing dengan tujuan samada untuk menyokong tuntutan ataupun menolak sesuatu tuntutan. Hakim-Hakim akan membuat keputusan selepas tamatnya sesi bicara berdasarkan keterangan-keterangan saksi dan dokumen yang dibawa oleh kedua-dua pihak.

20. Keputusan ini akhirnya akan menjadi Penghakiman Akhir.

Hubungi kami di 0129797494 atau menerusi email di norhafeezlaw@gmail.com atau menerusi kotak pertanyaan untuk sebarang maklumat lanjut..

Penghakiman ingkar, bicara penuh, penghakiman persetujuan


0 Pertanyaan & Jawapan

Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.