>

BANGKRAP ATAU MUFLIS DI MALAYSIA

bankrap, muflis, batalkan kebankrapan, batal bankrap

CARA DILEPASKAN ATAU KELUAR DARI BANKRAP / MUFLIS.

Anda telah dikenakan tindakan kebankrapan dan telah diisytiharkan bankrap atau muflis? Apa tindakan anda? Bagaimana untuk anda keluar dari senarai bankrapsi atau dilepaskan dari bankrap?

2. Diisytiharkan bankrap atau muflis adalah situasi yang amat-amat tidak diingini oleh sesiapa sahaja terutamanya anak-anak muda yang baru memulakan kehidupan. 

3. Mengikut sebuah rencana (baca di sini), setakat Disember 2019, daripada keseluruhan peratusan warga yang telah diisytiharkan muflis, kajian Pantauan Ekonomi Malaysia menunjukkan bahawa 60 peratus daripadanya adalah golongan muda yang berumur di antara 25 hingga 44 tahun.

JUMLAH HUTANG YANG BOLEH MEMBUATKAN ANDA BANKRAP.

4. Berapakah amaun hutang yang membolehkan anda diisytiharkan bankrap? Mengikut seksyen 5 (1) (a) Akta Insolvensi 1967 (Akta 360), secara umumnya, sekiranya anda gagal membuat bayaran hutang di mana amaun hutang tersebut tidak kurang dari RM50,000.00 (terkini setakat bulan ogos 2020, Akta sedang dipinda untuk menaikkan jumlah kebankrapan kepada RM100,000.00; selaras dengan Akta Covid 19), maka anda berpotensi untuk diisytiharkan bankrap.

PROSES UNTUK MEMBANKRAPKAN ANDA. 

5. Bagaimana anda boleh diisytiharkan sebagai bankrap? Proses bankrap secara lazimnya bermula dengan pemiutang (orang yang memberi hutang) akan memfailkan Saman terhadap anda dan akan mendapatkan satu Penghakiman terhadap anda. Penghakiman tersebut akan dihantar kepada anda berserta tuntutan agar jumlah Penghakiman tersebut dibayar di dalam tempoh masa tertentu.

6. Sekiranya anda gagal membuat sebarang bayaran, maka Pemiutang, melalui peguam, antara lainnya akan memfailkan satu dokumen yang dipanggil Notis Kebankrapan dan Notis Kebankrapan ini akan diserahkan kepada anda. 

7. Apakah Notis Kebankrapan? Notis Kebankrapan ini akan mengandungi butir-butir keberhutangan anda berserta dengan tuntutan agar jumlah Penghakiman tersebut dibayar di dalam masa 7 hari selaras dengan peruntukan di dalam seksyen 3 (1) (i) Akta Insolvensi.

8. Sekiranya anda gagal membuat bayaran di dalam masa 7 hari sebagaimana yang dituntut melalui Notis Kebankrapan, anda dianggap telah melakukan perbuatan kebankrapan dan Pemiutang boleh memfailkan Petisyen Pemiutang untuk membankrapkan anda didalam tempoh masa 6 bulan dari tarikh perbuatan kebankrapan tersebut setelah syarat-syarat yang ditetapkan oleh seksyen 5 Akta Kebankrapan dipenuhi.

9. Apakah Petisyen Pemiutang? Petisyen Pemiutang secara mudahnya adalah satu dokumen yang mengandungi kenyataan bahawa anda telah gagal untuk membayar amaun keberhutangan dan anda perlu dibankrapkan.

APA YANG PERLU ANDA LAKUKAN?

10. Adalah amat penting untuk anda mendapatkan nasihat perundangan daripada peguam sewaktu diserahkan dengan Notis Kebankrapan mahupun dengan Petisyen Pemiutang. 

11. Peguam anda akan meneliti kes dan juga dokumen-dokumen anda dan akan membuat penilaian sewajarnya. Nasihat peguam adalah amat penting kerana di dalam kes-kes dengan keadaan-keadaan tertentu, Notis Kebankrapan dan Petisyen Pemiutang ini masih boleh dicabar di Mahkamah.

KEHIDUPAN SELEPAS BANKRAP

12. Setelah diisytiharkan bankrap, anda hendaklah menghubungi Jabatan Insolvensi yang terdekat (boleh semak cawangan Jabatan Insolvensi di sini). 

13. Anda perlu sediakan senarai aset-aset dan tanggungan-tanggungan bersama dokumen-dokumen sokongan, aturkan dan hadiri temujanji dengan pegawai Jabatan Insolvensi yang menguruskan fail anda untuk sesi pertanyaan awal dan failkan Pernyataan Hal Ehwal serta borang dan akujanji Sasaran Sumbangan (Borang-borang berkenaan boleh dimuat turun di sini). 

SEKATAN TERHADAP ORANG BANKRAP

14. Kehidupan anda tidak berakhir dengan bankrapsi, tetapi ianya akan menjadi lebih rumit dan sukar disebabkan oleh sekatan-sekatan dan had-had yang dikenakan oleh undang-undang keatas anda. Diantara sekatan-sekatan tersebut adalah seperti yang berikut:

  • (a) Orang bankrap hanya boleh menggunakan kad kredit dengan had sebanyak RM1,000.00 sahaja;

  • (b) Kesemua akaun bank Orang bankrap akan ditutup kecuali akaun untuk pembayaran gaji dengan kebenaran Ketua Pengarah Insolvensi.  

  • (c) Orang bankrap tidak boleh memindahkan apa sahaja aset miliknya kepada pihak ketiga tanpa kebenaran Ketua Pengarah Insolvensi. Semua aset adalah dibawah kawalan pihak Insolvensi; 

  • (d) Orang bankrap tidak boleh ke luar negara melainkan dengan kebenaran Ketua Pengarah Insolvensi;

  • (e) Orang bankrap tidak boleh menjadi pengarah mana-mana syarikat;

  • (f) Orang bankrap tidak boleh memulakan tindakan Mahkamah melainkan dengan kebenaran Ketua Pengarah Insolvensi.

KELUAR DARI BANKRAP

15. Terdapat beberapa cara untuk anda keluar atau perlepasan daripada bankrap. Cara yang paling popular adalah dengan membuat bayaran penuh terhadap jumlah Penghakiman yang dikenakan kepada anda. 

16. Pembayaran tersebut hendaklah di buat kepada Jabatan Insolvensi. Selepas pembayaran jumlah Penghakiman (dan juga fi Ketua Pengarah Insolvensi serta kos-kos yang berkaitan) dibuat, anda boleh bertemu dengan Peguam untuk membantu anda memfailkan Permohonan untuk keluar dari bankrap.

17. Lazimnya, Peguam akan menyediakan Notis Permohonan dan membantu anda menyediakan Afidavit yang perlu anda tandatangan. Sediakan juga surat daripada Jabatan Insolvensi yang menunjukkan bayaran penuh yang anda telah buat. 

18. Sekiranya anda melantik peguam, anda tidak perlu risau tentang penyediaan Notis Permohonan ataupun Afidavit n ini. Peguam anda akan menyediakannya untuk anda. Bahkan anda boleh mengarahkan peguam anda untuk berunding bagi pihak anda untuk mendapatkan sebarang diskaun daripada pemiutang.

19. Selain daripada bayaran penuh, terdapat juga beberapa cara lain untuk keluar daripada kebankrapan iaitu melalui permohonan perlepasan di Mahkamah dan juga melalui Sijil Perlepasan Ketua Pengarah Insolvesi. Yang pasti, aturkan temujanji dengan peguam pilihan anda, dan dapatkan nasihat guaman berkenaan cara-cara lain untuk dilepaskan daripada kebankrapan sebelum anda mengambil apa-apa tindakan.

20. Bagaimana pula sekiranya diambil tindakan oleh kerana anda menjadi penjamin kepada sanak saudara yang membuat pinjaman? Adakah anda boleh dibankrapkan? Boleh baca rencana kami di sini.

penghakiman ingkar

Hubungi kami di 0129797494 atau menerusi email di norhafeezlaw@gmail.com atau menerusi kotak pertanyaan untuk sebarang maklumat lanjut. 


0 Pertanyaan & Jawapan

Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.