>

AKTA COVID 19. KANDUNGAN DAN IMPLIKASI.

akta covid 19

AKTA LANGKAH-LANGKAH SEMENTARA BAGI MENGURANGKAN KESAN PENYAKIT KORONAVIRUS 2019 (COVID-19) 2020 (AKTA COVID) - KANDUNGAN DAN IMPLIKASI

1. Parlimen Malaysia telah memperkenalkan Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) 2020 (selepas ini dirujuk sebagai Akta Covid) sebagai langkah untuk menyelaraskan undang-undang yang berkaitan di dalam menangangi impak dan kesan pandemik ini terhadap rakyat dan negara.

2.Akta Covid ini akan berkuatkuasa selama dua tahun daripada tarikh penyiarannya, iaitu 23.10.2020. Ini bermakna Akta-Akta lain yang terkesan daripada Akta Covid ini juga akan berkuatkuasa di dalam tempoh masa yang sama. Perdana Menteri boleh melanjutkan kuasa kuasa Akta Covid ini sekiranya perlu.

3. Terdapat  16 Akta-Akta yang terkesan dan dipinda secara sementara selaras dengan Akta Covid ini. Akta-akta tersebut di antara lainnya adalah; Akta Had Masa 1953, Akta Insolvensi 1967, Akta Sewa Beli 1967, Akta Distress 1951 dan lain-lain lagi.

4. Diantara peruntukan yang wajar diperhatikan adalah seperti yang berikut:

S.12 Akta Covid melibatkan ubahsuai kepada Akta Had Masa 1953. Mengikut s.6 Akta Had Masa, setiap tindakan undang-undang untuk kausa-kausa tindakan tertentu adalah dibenarkan selagi mana ianya dimulakan di dalam tempoh masa yang ditetapkan. Sebagi contoh, sekiranya terdapat perlanggaran kontrak, pihak yang terbabit mempunyai masa 6 tahun dari tarikh perlanggaran untuk memulakan tindakan. Melalui s.12 Akta Covid, sekiranya tarikh tamat tempoh 6 tahun itu habis semasa tempoh 18.3.2020 hingga 31.8.2020, tempoh tersebut akan dilanjutkan sehingga 31.12.2020.

S.20 Akta Covid pula melibatkan undang-undang kebankrapan atau muflis dibawah Akta Insolvensi 1967. Jumlah amaun yang membolehkan seseorang tersebut di bangkrapkan adalah RM100,000.00. Peruntukan di dalam Akta Insolvensi sebelum ini memperuntukan RM50,000.00 sebagai amaun terhutang yang boleh menyebabkan seseorang itu dibankrapkan.

S.23 Akta Covid adalah berkenaan dengan sewa beli, lazimnya sewa beli kenderaan di bawah Akta Sewa Beli 1967. Pihak pemilik kenderaan tidak boleh menarik kenderaan (repossession) sekiranya ansuran kereta tidak terbayar di dalam tempoh 1.4.2020 hingga 30.9.2020.

S.26 Akta Covid seterusnya adalah berkenaan dengan pembelian barangan secara ansuran, kebiasaannya perabot, barangan elektrik dan sebagainya di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999. Sekiranya pembeli membeli barangan tersebut sebelum 18.3.2020 dan tiada ansuran lampau sebelum 18.3.2020 dan selepas itu terdapat kegagalan pembayaran selama dua ansuran berturut-turut, pembeli wajib diberikan notis berkenaan dengan kegagalan bayaran tersebut. Setelah diberi notis, pembeli di dalam masa 21 hari boleh (a) membayar ansuran tersebut (b) membuat penyelesaian awal dengan membayar amaun belian tersebut sepenuhnya (pembeli wajib mendapat rebat/diskaun) atau (c) menyerahkan semula barang yang dibeli.

S.30 Akta Covid adalah berkenaan dengan ubahsuai Akta Distres 1951 yang menyatakan bahawa apabila sesuatu tindakan untuk mendapatkan bayaran sewaan tertunggak melalui Waran Distres untuk tarikh 18.3.2020 hingga 31.8.2020, tuntutan tidak boleh termasuk tahanan harta/deposit.

S.34 Akta Covid pula adalah berkenaan dengan ubah suai Akta Pemajuan Perumahan (kawalan & perlesenan) 1966. Sekiranya pembeli gagal untuk membuat apa-apa bayaran ansuran dari tempoh 18.3.2020 hingga 31.8.2020, Pemaju tidak boleh mengenakan apa-apa caj pembayaran lewat keatas ansuran tersebut. Pembeli boleh memohon kepada menteri untuk pengecualian caj bayaran lewat tersebut hingga 31.12.2020.

S.35 Akta Covid pula menyatakan bahawa tempoh 18.3.2020 hingga 31.8.2020 tidak akan di kira sebagai masa penyerahan milikan kosong dan bayaran gantirugi kerana gagal menyerahkan milikan kosong tidak akan dikira pada tarikh tersebut. Pemaju boleh memohon kepada menteri agar tempoh masa tersebut dilanjutkan.

S.36 pula berkenaan dengan tempoh liabiliti kecacatan (Defect Liability Period). Tempoh untuk pembeli rumah mendapatkan pampasan atau remedi pembaikan bagi liabiliti kecacatan daripada Pemaju lazimnya adalah 2 tahun. Tempoh 18.3.2020 hingga 31.8.2020 tidak akan dikira di dalam tempoh masa 2 tahun tersebut. 

Muat turun/Download Akta Covid DI SINI.

Hubungi kami di 0129797494 atau menerusi email di norhafeezlaw@gmail.com atau menerusi kotak pertanyaan untuk sebarang maklumat lanjut. 

0 Pertanyaan & Jawapan

Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.