>

APA ITU PERLAKSANAAN PENGHAKIMAN?

 

saman sivil bankrapsi

APAKAH ITU PROSES PERLAKSANAAN PENGHAKIMAN DAN JENIS-JENIS PROSES PERLAKSANAAN?

Antara kekeliruan yang paling kerap berlaku apabila individu memfailkan tuntutan saman adalah anggapan bahawa apabila mereka memenangi sesuatu kes maka apa yang dituntut itu akan diterima secara automatik daripada orang yang disaman. Hakikatnya ianya tidak selalunya begitu. Oleh sebab itu, undang-undang memperuntukkan tindakan seterusnya yang dinamakan sebagai Perlaksanaan Penghakiman. Apakah itu Perlaksanaan Penghakiman?

APA ITU PERLAKSANAAN PENGHAKIMAN?

1. Perlaksanaan Penghakiman secara mudahnya adalah proses menguatkuasakan sesebuah Penghakiman yang telah diperolehi. Apabila sesuatu pihak berjaya mendapatkan satu Penghakiman yang berpihak kepadanya, disisi undang-undang beliau berhak mendapat apa yang dituntut melalui saman. 

2. Kerap terjadi dimana pihak yang tewas tetap enggan untuk mematuhi sesuatu Penghakiman dan enggan akur dengan tuntutan yang telah disahkan oleh Mahkamah itu. Disini lah proses Perlaksanaan Penghakiman memainkan peranan.

JENIS-JENIS PERLAKSANAAN PENGHAKIMAN YANG LAZIM

3. Terdapat beberapa cara untuk menguatkuasakan sesuatu penghakiman. Di antaranya adalah prosiding kebankrapan, proses Penggulungan Syarikat, Sitaan dan Penjualan, Saman Penghutang Penghakiman dan prosiding Garnisi.

4. Terdapat syarat-syarat khusus untuk setiap jenis proses Perlaksanaan Penghakiman di atas. Peguam yang dilantik selalunya akan menasihati anak guam tentang kesesuaian proses perlaksanaan mengikut kes-kes yang diuruskan.

bankrapsi, penggulungan syarikat, writ sita dan jual, garnisi

a) PROSIDING KEBANKRAPAN

5. Prosiding kebankrapan secara mudahnya adalah prosiding untuk membankrapkan atau memufliskan seseorang penghutang terutamanya apabila Penghakiman yang diperolehi adalah Penghakiman di dalam bentuk kewangan (monetary judgment).

6. Sekiranya seseorang Penghutang itu enggan membayar sesuatu jumlah yang dikenakan terhadapnya melalui suatu Penghakiman dan jumlah tersebut mencapai amaun yang ditetapkan oleh undang-undang, maka prosiding untuk membankrapkan beliau boleh dimulakan.

7. Kesan daripada pengisytiharan muflis adalah sangat besar terutamanya penghutang-penghutang yang menjalankan perniagaan.

b) PENGGULUNGAN SYARIKAT

8. Apabila Penghakiman berbentuk kewangan dapat diperolehi ke atas syarikat dan syarikat tersebut enggan untuk mematuhi tuntutan pembayaran tersebut, maka pemiutang boleh memulakan prosiding untuk menggulungkan syarikat tersebut.

9. Kesan daripada penggulungan sesebuah syarikat adalah pengurusan syarikat tersebut akan diambil alih oleh Pelikuidasi yang akan mencairkan keseluruhan aset-aset yang dimiliki oleh syarikat tersebut dengan objektif untuk membayar hutang dan seterusnya membubarkan syarikat (to dissolve the company) tersebut.

c) WRIT SITA DAN JUAL

10. Apabila seseorang Penghutang Penghakiman itu enggan membayar amaun Penghakiman, salah satu cara yang popular adalah proses Writ Sita dan Jual. 

11. Proses Sita dan Jual adalah proses di mana pemiutang mendapat Perintah daripada Mahkamah untuk menyita aset-aset di dalam sesebuah premis yang didiami oleh Penghutang Penghakiman dan seterusnya menjual aset-aset tersebut melalui proses lelong dengan objektif untuk membayar hutang yang dihakimi terhadapnya.

d) SAMAN PENGHUTANG PENGHAKIMAN

12. Saman Penghutang Penghakiman pula adalah proses dimana Penghutang Penghakiman itu perlu hadir ke Mahkamah untuk memberikan keterangan berkenaan pembayaran sesuatu hutang itu. 

13. Kegagalan untuk hadir boleh menyebabkan waran tangkap dikeluarkan terhadap beliau. Hakim seterusnya akan memberikan perintah tentang cara pembayaran yang perlu dipatuhi dan sekiranya Penghutang Penghakiman tersebut gagal mematuhinya, ianya akan dianggap sebagai penghinaan Mahkamah (contempt) dan boleh menyebabkan Penghutang Penghakiman tersebut dipenjara. 

e) GARNISI

14. Garnisi adalah proses yang dilakukan sekiranya Penghutang Penghakiman mempunyai akaun bank. Pemiutang akan mendapat Perintah daripada Mahkamah yang mengarahkan pihak Bank untuk membekukan akaun yang dimiliki oleh Penghutang Penghakiman tersebut. 

15. Apa sahaja amaun yang terdapat didalam akaun bank tersebut akan dirampas dan disalurkan kepada Pemiutang mengikut jumlah Penghakiman tersebut.

Hubungi kami di 0129797494 atau menerusi email di norhafeezlaw@gmail.com atau menerusi kotak pertanyaan untuk sebarang maklumat lanjut.

perlaksanaan penghakiman

0 Pertanyaan & Jawapan

Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.