>

PROSES PEMBAHAGIAN HARTA PUSAKA DAN FARAID 2022

 harta pusaka, faraid

APAKAH PROSEDUR DAN PROSES PEMBAHAGIAN HARTA PUSAKA (ISLAM)? 

1. Isu berkenaan dengan pembahagian harta pusaka bagi orang-orang islam adalah suatu isu yang boleh menjadi kompleks dan rumit serta boleh memberi impak kepada dinamik sesebuah keluarga yang besar sekiranya tidak diuruskan dengan cermat dan berhemah. 

2. Adalah penting untuk mengutip sedikit sebanyak pengetahuan samada dari pembacaan atau mendapatkan terus pandangan peguam harta pusaka pilihan untuk memastikan ketertiban pengurusan dan yang paling penting, bagi memastikan waris-waris (yang berhak di sisi syarak dan undang-undang) diberikan hak dengan sempurna.

3. Pada kebiasaannya, proses dan prosedur untuk pembahagian harta pusaka ini melibatkan bidang kuasa dua mahkamah. Yang pertama Mahkamah Syariah dan yang kedua adalah Mahkamah Sivil.

4. Apa yang perlu kita fahami di peringkat awal, sebelum harta si Mati boleh dibahagi-bahagikan kepada waris-warisnya, jumlah awal yang perlu dikeluarkan dan diuruskan mengikut tertib adalah: 

i- bagi pembiayaan urusan pengkebumian si Mati

ii- bagi urusan pembayaran hutang-hutang si Mati; dan

iii- bagi urusan menyempurnakan wasiat si Mati sekiranya ada.

RUKUN PUSAKA 

5. Sebelum sesuatu apa-apa permohonan yang melibatkan Harta Pusaka boleh dibuat, rukun-rukun Pusaka hendaklah dipenuhi terlebih dahulu. Mahkamah Syariah di dalam kes Re Mohd Zaki Bin Ngah, di dalam menggariskan rukun-rukun Pusaka yang bertepatan dengan syarak, telah memberikan penjelasan seperti berikut:

Rukun-rukun pusaka ada tiga iaitu:

(a) Pewaris: Si mati yang mempunyai hak memberi waris kepada sesiapa sahaja ahli waris yang ditinggalkan setelah kematiannya.

(b) Penerima Waris: Orang atau ahli waris yang membuat hak milik harta waris dengan sebab-sebab yang dijelaskan seperti hubungan nasab, hubungan pernikahan dan sebagainya.

(c) Harta Waris: Apa sahaja yang ditinggalkan oleh si mati sama ada berupa wang, barang, tanah, dan lain-lainnya.

SENARAI WARIS

6. Perkara yang sering menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat adalah di dalam perihal menentukan siapa waris-waris yang berhak ke atas sesuatu Harta Pusaka. Mahkamah di dalam kes yang sama telah memberikan senarai-senarai wahli waris yang berhak seperti yang berikut:

Senarai waris lelaki adalah dikumpulkan sebagaimana berikut:

(a) Anak;

(b) Anak lelaki kepada anak lelaki;

(c) Bapa;

(d) Bapa kepada bapa ke atas;

(e) Adik-beradik lelaki seibu sebapa;

(f) Adik-beradik lelaki sebapa;

(g) Adik-beradik lelaki seibu;

(h) Anak lelaki kepada adik-beradik lelaki seibu sebapa;

(i) Anak lelaki kepada adik-beradik lelaki sebapa;

(j) Bapa saudara sebelah bapa seibu sebapa;

(k) Bapa saudara sebelah bapa sebapa;

(l) Anak lelaki kepada bapa saudara sebelah bapa seibu sebapa;

(m) Anak lelaki kepada bapa saudara sebelah bapa sebapa;

(n) Suami;

(o) Orang yang memerdekakan hamba.

Manakala senarai waris perempuan pula adalah dikumpulkan sebagaimana berikut:

(a) Anak Perempuan;

(b) Ibu;

(c) Anak perempuan kepada anak lelaki ke bawah;

(d) Nenek dari ibu ke atas;

(e) Nenek dari bapa ke atas;

(f) Adik-beradik perempuan seibu sebapa;

(g) Adik-beradik perempuan sebapa;

(h) Adik-beradik perempuan seibu;

(i) Isteri;

(j) Wanita yang memerdekakan hamba.

SENARAI HARTA DAN LIABILITI

7. Pihak pemohon selanjutnya perlu menyenaraikan harta-harta yang telah ditinggalkan oleh si Mati. Harta-harta yang ditinggalkan pada lazimnya adalah berbentuk wang tunai, simpanan di bank, saham-saham, kenderaan dan juga lot-lot hartanah (rumah, kebun dan sebagainya). Liabiliti pula adalah hutang-hutang yang masih perlu dilunaskan oleh waris-waris. (Namun sebelum harta tersebut boleh difaraidkan, terdapat hak-hak lain ke atas harta tersebut yang perlu diselesaikan terlebih dahulu. Baca DI SINI).

SIJIL FARAID

8. Selepas menyenaraikan senarai ahli-ahli waris yang berhak dan harta serta liabiliti, perkara seterusnya yang perlu dilakukan adalah merujuk kepada Peguam Syariah bagi tujuan untuk memohon suatu dokumen di Mahkamah Syariah yang dikenali sebagai Sijil Faraid. 

9. Apakah dia Sijil Faraid? Sijil Faraid secara mudahnya adalah satu dokumen pengesahan daripada Mahkamah yang menyenaraikan dan mengesahkan siapakah waris-waris yang berhak dan juga kadar bahagian-bahagian masing-masing mengikut hukum faraid.

peguam faraid
SURATCARA KUASA MENTADBIR

10. Setelah mendapat salinan Sijil Faraid di Mahkamah Syariah, pemohon boleh lah merujuk kepada peguam Harta Pusaka untuk mendapatkan satu surat kuasa dari Mahkamah Tinggi Sivil yang dikenali sebagai Suratcara Kuasa Mentadbir (Letter of Administration). 

11. Apakah Suratcara Kuasa Mentadbir? Secara ringkasnya ianya adalah satu dokumen Mahkamah yang mengesahkan dan memberikan kuasa kepada waris yang memohon, yang mana beliau telah dilantik oleh waris-waris lain untuk mentadbir dan membuat pembahagian Harta-Harta Pusaka yang terlibat. 

12. Waris-waris lain boleh melantik lebih daripada seorang wakil waris untuk menjadi pentadbir.

13. Suratcara Kuasa Mentadbir ini akan digunakan bagi membolehkan Pentadbir mengeluarkan mana-mana Harta Pusaka boleh alih (simpanan wang di bank-bank, KWSP, Tabung Haji dan sebagainya) dan dibahagikan mengikut persetujuan kesemua waris-waris yang terlibat ataupun mengikut hukum-hukum Faraid. 

14. Tanpa dokumen ini, selalunya institusi yang terlibat tidak akan memberikan kebenaran untuk mana-mana simpanan wang di dalam akaun mereka untuk dikeluarkan. 

15. Mahkamah Tinggi di dalam kes Sulaiman bin Ahmad & Ors v Jemain bin Mohamed & Ors telah menyatakan bahawa dokumen Suratcara Kuasa Mentadbir ini adalah satu dokumen yang penting.

16. Ia hendaklah diperoleh terlebih dahulu dari Mahkamah Sivil sebelum seseorang waris hendak memulakan sesuatu tindakan untuk menuntut apa-apa kepentingan terhadap Harta Pusaka si mati. Jika tidak, beliau tidak akan mempunyai hak untuk memulakan sesuatu tindakan disisi undang-undang (locus standi) untuk membawa tindakan dalam Mahkamah. 

17. Sebagai contoh, Pentadbir perlu mempunyai Suratcara Kuasa Mentadbir sekiranya beliau ingin mendapatkan Perintah untuk menjual mana-mana Hartanah si Mati kepada mana-mana pembeli. Tanpanya, si Pentadbir itu tidak berhak untuk membuat permohonan dan ini boleh menyebakan permohonanya ditolak oleh Mahkamah.

PERINTAH PEMBAHAGIAN

18. Bagaimana pula sekiranya si Mati mempunyai harta-harta tidak boleh alih seperti rumah-rumah kediaman atau lot-lot tanah? Untuk tujuan ini, Pentadbir perlu sekali merujuk kepada peguam Harta Pusaka untuk mendapatkan suatu Perintah di Mahkamah yang dinamakan sebagai Perintah Pembahagian.

19. Apakah Perintah Pembahagian? Secara mudahnya, ianya adalah suatu dokumen perintah daripada Mahkamah bagi membolehkan Pentadbir membuat penukaran hakmilik terhadap hartanah-hartanah yang ditinggalkan oleh si Mati. 

20. Perintah ini, bersama dokumen-dokumen lain yang relevan, pada lazimnya akan dirujuk atau diminta oleh Pejabat Tanah sebelum sebarang penukaran hak milik dapat di lakukan dengan sempurna.

21. Bagi maksud untuk membuat penukaran hakmilik-hakmilik hartanah-hartanah yang ditinggalkan si Mati itu, disarankan untuk mendapatkan nasihat peguam-peguam yang menguruskan perihal hartanah untuk memastikan kesemua urusan penukaran dapat dilakukan dengan baik dan lancar.

PERINTAH JUALAN

22. Sekiranya waris-waris bersetuju untuk menjual sebarang harta-harta pusaka, ianya boleh dilakukan melalui satu perintah Mahkamah yang dinamakan sebagai Perintah Jualan. Harta tersebut akan dijual kepada pembeli dimana hasil daripada juala tersebut akan dibahagikan mengikut faraid ataupun persetujuan waris-waris.

KESIMPULAN

23. Banyak lagi isu-isu melibatkan Harta Pusaka yang perlu didalami dan difahami. Ini termasuklah senarai dokumen-dokumen yang perlu disediakan bagi setiap permohonan dan hak-hak anak-anak dibawah umur. 

24. Adalah di sarankan untuk berjumpa peguam Harta Pusaka dan mendapatkan nasihat dan maklumat secukupnya sebelum sebarang tindakan dibuat.

25. Hibah juga adalah salah satu daripada instrumen pengurusan harta di dalam islam yang kian mendapat tempat di dalam negara. Apa itu hibah? Boleh baca DI SINI.

harta pusaka

Hubungi kami di 0129797494 atau menerusi email di norhafeezlaw@gmail.com atau menerusi kotak pertanyaan untuk sebarang maklumat lanjut.


0 Pertanyaan & Jawapan

Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.