>

BICARA DALAM KAMAR - Episod 6 - Undang-Undang Buli di Malaysia

 

buli di malaysia

BICARA DALAM KAMAR - Episod 6

UNDANG-UNDANG BULI DI MALAYSIA?

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada pembaca dan pengunjung blog Norhafeezlaw. Saya doakan anda semua di dalam keadaan sihat walafiat. Nama saya Hafeez dan saya merupakan peguam yang mengendalikan blog ini. Siri Bicara Dalam Kamar ini saya mulakan bagi memberi ruang untuk saya berceloteh dan berkongsi pengalaman harian saya mengendalikan kes-kes sebagai seorang peguam secara santai dan padu. Harapan saya adalah agar setiap perkongsian didalam siri ini boleh memberi sentapan, manfaat, panduan, tauladan dan sempadan kepada para pembaca.

KES BULI TULAR

1. Beberapa hari yang lalu, kita dikejutkan sekali lagi dengan berita kes buli yang melibatkan beberapa pelajar di Maktab Rendah Sains Mara Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar.

2. Ini bukan satu-satunya kes tular yang melibatkan insiden buli di dalam negara kita. Sebelum itu, kita dikejutkan dengan kes pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain pada tahun 2017. 

3. Dan sejurus selepas itu, kes Mendiang T Nhaveen pada tahun yang sama. Kedua-dua kes ini melibatkan kematian.

4. Pada awal tahun 2020 yang lalu pula kita dikejutkan pula dengan kes buli yang melibatkan pelajar sebuah Maahad Tahfiz yang menyebabkan mangsa mengalami kerosakan organ. Bahkan terdapat satu keputusan Mahkamah Tinggi pada tahun yang sama dimana seorang mangsa buli telah memenangi kes saman terhadap pembuli dan pihak pentadbiran sekolah.

UNDANG-UNDANG ANTI BULI? 

5. Apakah terdapat undang-undang khusus berbentuk anti-buli (anti-bullying laws) di Malaysia untuk menangani kes buli seperti ini?

6. Jawapannya adalah tiada.

7. Malaysia, setakat pada tarikh rencana ini saya tulis, masih belum mempunyai suatu undang-undang yang khusus untuk menangani gejala buli.

APA PERUNTUKAN UNDANG-UNDANG YANG ADA?

8. Apa yang berlaku dengan kes-kes buli yang dilaporkan? Apa peruntukan undang-undang yang ada?

9. Secara lazimnya terdapat beberapa peruntukan undang-undang yang seringkali digunakan apabila terdapatnya kes-kes buli. 

10. Sekiranya ianya melibatkan pembulian dalam bentuk kata-kata (verbal abuse) yang mengandungi ancaman kecederaan fizikal, maka seseorang itu boleh di dakwa dibawah s.506 Kanun Keseksaan.

11. Namun dibawah seksyen ini, seseorang itu hanya boleh di dakwa sekiranya verbal abuse itu mengandungi ancaman kecederaan fizikal atau apa yang dinamakan sebagai Menakutkan Secara Jenayah (Criminal Intimidation). 

12. Criminal Intimidation ini ditafsirkan di dalam s.503 Kanun Keseksaan yang menyatakan seperti berikut:

Barang siapa mengugut hendak mendatangkan kepada seseorang apa-apa bencana kepada tubuh, nama baik atau harta orang itu, atau kepada tubuh atau nama baik seseorang yang orang itu ada kepentingan, dengan niat hendak menyebabkan kegentaran kepada orang itu, atau hendak menyebabkan orang itu melakukan apa-apa perbuatan yang ia tidak terpaksa di sisi undang-undang melakukan, atau meninggalkan daripada melakukan apa-apa perbuatan yang ia berhak disisi undang-undang melakukan, sebagai jalan mengelakkan perlaksanaan ugutan itu, adalah melakukan kesalahan menakutkan secara jenayah.

13. Walau bagaimana pun, kesalahan menakutkan secara jenayah ini tidak merangkumi perbuatan buli dalam bentuk cacian, ejekan atau seumpamanya.

14. Sekiranya perbuatan buli itu melibatkan kecederaan fizikal (physical abuse), maka ianya adalah satu kesalahan di bawah s.321 (cedera) atau s.322 (cedera parah) atau s.326 (melibatkan senjata atau lain-lain benda yang merbahaya) Kanun Keseksaan.

S.321 Kanun Keseksaan - Dengan sengaja menyebabkan cedera.

Barang siapa melakukan apa-apa perbuatan dengan niat dengan jalan demikian itu hendak menyebabkan cedera kepada seseorang atau dengan mengetahui bahawa ia mungkin dengan jalan demikian itu menyebabkan cedera kepada seseorang adalah dikatakan "dengan sengaja menyebabkan kecederaan"

S.322 Kanun Keseksaan - Dengan sengaja menyebabkan cedera parah.

Barang siapa dengan sengaja menyebabkan cedera, jika cedera yang ia bermaksud hendak menyebabkan atau ketahui mungkin menyebabkan itu ialah cedera parah, dan cedera yang ia sebabkan itu ialah cedera parah, adalah dikatakan "dengan sengaja menyebabkan cedera parah"

S.324 Kanun Keseksaan - Dengan sengaja menyebabkan cedera dengan jalan menggunakan senjata atau lain-lain benda yang merbahaya

Barang siapa, kecuali dalam hal yang diperuntukkan oleh seksyen 334, dengan sengaja menyebabkan cedera dengan jalan menggunakan apa-apa alat untuk menembak, menikam atau memotong, atau apa-apa alat yang, jika digunakan sebagai senjata untuk menyerang, mungkin menyebabkan kematian, atau dengan jalan menggunakan api atau apa-apa benda hangat, atau dengan jalan menggunakan apa-apa racun atau apa-apa benda melecur, atau dengan jalan menggunakan apa-apa benda letupan, atau dengan jalan menggunakan apa-apa benda yang merbahaya kepada tubuh manusia apabila dihisap, ditelan atau dimasukkan ke dalam darahnya atau dengan jalan menggunakan apa-apa haiwan, hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai tiga tahun, atau dengan denda ayai dengan sebat, atau dengan mana-mana dua daripada seksaan-seksaan itu.

KEPERLUAN UNDANG-UNDANG ANTI BULI?

15. Mungkin sudah tiba masanya untuk Malaysia menggubal satu undang-undang khusus untuk mencegah dan menangani kes-kes buli terutamanya di sekolah-sekolah.

16. Kita boleh merujuk kepada negara Filipina yang telah memperkenalkan rang undang-undang anti buli melalui Republic Act No.10627 mereka yang turut dikenali sebagai The Anti Bullying Act 2013, Akta Anti Buli 2013.

17. Sebagai rujukan, kesalahan buli menurut Akta tersebut adalah seperti berikut:

For purposes of this Act, "bullying" shall refer to any severe or repeated use by one or more students of a written, verbal or electronic expression, or a physical act or gesture, or any combination thereof, directed at another student that has the effect of actually causing or placing the latter in reasonable fear of physical or emotional harm or damage to his property; creating a hostile environment at school for the other student; infringing on the rights of the other student at school; or materially and substantially disrupting the education process or the orderly operation of a school; such as, but not limited to, the following:

a. Any unwanted physical contact between the bully and the victim like punching, pushing, shoving, kicking, slapping, tickling, headlocks, inflicting school pranks, teasing, fighting and the use of available objects as weapons;

b. Any act that causes damage to a victim’s psyche and/or emotional well-being;

c. Any slanderous statement or accusation that causes the victim undue emotional distress like directing foul language or profanity at the target, name-calling, tormenting and commenting negatively on victim’s looks, clothes and body; and

d. Cyber-bullying or any bullying done through the use of technology or any electronic means.

CADANGAN?

18. Apa cara yang mungkin kita boleh gemblengkan untuk mencegah dan menghapuskan terus gejala buli membuli atau ragging ini? Cakap sahaja tanpa cadangan pun tak guna. Ada cadangan tapi tak lontarkan pun dua kali lima. Haha.  

19. Pertama sekali, saya percaya, dengan adanya satu undang-undang khusus untuk menangani dan mendefinisikan gejala ini adalah salah satu daripada cara permulaan yang terbaik. 

20. Ini adalah kerana kita masih belum ada peruntukan khusus yang boleh memberikan definisi dan tafsiran yang lengkap, menyeluruh, padu lagi mantap tentang apa yang boleh dianggap sebagai perbuatan buli.

21. Walaupun kita sudah mempunyai Kanun Keseksaan dan pelbagai peraturan, panduan seperti Ordinan Pelajaran, 1957, Peraturan-Peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah), 1959, serta pekeliling yang berkaitan, namun satu undang-undang anti buli yang khusus masih diperlukan untuk menambah baik dan menguatkan undang-undang yang sedia ada ini.

22. Kedua, pihak berkuasa, tidak boleh tidak, perlu wujudkan satu medium atau platform khusus untuk membolehkan mangsa-mangsa atau mana-mana individu membuat laporan dengan selamat tentang kegiatan buli di sekolah-sekolah atau mana-mana institusi pengajian. Mungkin satu talian seperti Teledera sebagai contohnya.

23. Bukan senang untuk seseorang mangsa untuk tampil dan membuat laporan. Apatah lagi dengan sikap sekelompok kecil pentadbiran sekolah yang didakwa lebih senang menyapu aduan-aduan buli kebawah karpet tanpa sebarang tindakan tegas diambil kerana risau aduan-aduan ini akan menjejaskan nama baik dan reputasi sekolah-sekolah mereka.

24. Ketiga, pihak berkuasa juga mungkin boleh mewujudkan satu rekod sulit yang khusus untuk pelajar-pelajar yang disabitkan kesalahan membuli ini agar pihak pentadbiran sekolah boleh membuat pemantauan ke atas pelajar-pelajar bacul ini. 

25. Bukan apa, ini adalah untuk mengelakkan pelajar-pelajar yang bermasalah ini daripada mengembangkan sayap pembulian cemerlang mereka ke sekolah baru apabila mereka dipindahkan.

26. Keempat, ibu bapa dan para guru, tidak boleh tidak, perlu berganding bahu berpimpin tangan dan berkerjasama, baik dari segi pemantauan, kesedaran serta tanggung jawab masing-masing.

27. Masing-masing perlu membuang ego (jika ada) dan mengenepikan emosi di dalam menguruskan isu-isu melibatkan buli. Ibu bapa perlu memainkan peranan yang penting sekiranya anak-anak mereka didapati terlibat dalam masalah buli baik mangsa atau pembuli.

28. Kelima, hentikan anggapan bahawa kes buli di sekolah ini adalah perkara yang remeh dan kecil. Because damn sure it's not! Isu ini sepatutnya dan seharusnya jauh lebih penting daripada isu lompat parti.

29. Politicians, we are looking at you.

TAULADAN

i. Jangan terlibat di dalam kegiatan buli-membuli. 

ii. Jangan berdiam diri sekiranya anda atau anak anda dibuli.

iii. Ibu bapa pembuli perlu memainkan peranan yang lebih proaktif dan mengenepikan ego.

iv. Para guru hendaklah tegas melampaui batas dan mengamalkan sikap tiada kompromi secara muktamad dalam menangani kes-kes buli.


2 Komentar

  1. Kalau si bully ni datang ke kelas untuk memukul saya adakah salah jika saya mempertahankan diri saya ? Maknanya, sebelum dia memukul saya, saya sudah melepaskan tumbukan/sepakan untuk mempertahankan diri saya kerana diri saya terancam apabila mereka datang menghampiri saya

    BalasPadam
    Balasan
    1. Disarankan jangan memulakan apa-apa kontak fizikal. Sekiranya adik dibuli, laporkan kepada guru, ibu-bapa dan pihak polis.

      Padam

Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.