1. Lazimnya, sebelum kita memfailkan saman malu atau fitnah di Mahkamah, peguam kita kebiasaannya akan menyarankan agar suatu dokumen yang dipanggil Surat Tuntutan atau Notis Tuntutan dikeluarkan dan diserahkan kepada orang yang ingin kita saman.
2. Namun begitu, apakah yang terkandung di dalam sesuatu Notis Tuntutan Saman Malu / Fitnah? Dan apakah kepentingan dokumen ini?
Kandungan Artikel
APA ITU NOTIS TUNTUTAN SAMAN MALU?
3. Surat Tuntutan atau Notis Tuntutan Saman Malu, atau terma popularnya yang kerap digunakan di media sosial – LOD (“Letter of Demand”) atau NOD (“Notice of Demand”) – adalah suatu dokumen berupa surat daripada peguam yang mengandungi tuntutan-tuntutan tertentu terhadap individu yang memfitnah anda.
4. Tuntutan-tuntutan yang terkandung di dalam LOD Saman Malu ini lazimnya akan disertakan dengan tempoh masa untuk pematuhan, yang kebiasaannya selama 14 hari dari tarikh LOD tersebut.
TEMPOH MASA 14 HARI
5. Apakah fungsi tempoh masa pematuhan 14 hari ini? Ia berfungsi untuk memberi peluang kepada orang yang memfitnah kita untuk mematuhi atau memenuhi tuntutan-tuntutan yang dikemukakan melalui LOD Saman Malu tersebut.
6. Tempoh masa ini juga membolehkan kita mendapatkan reaksi atau tindak balas awal sebelum memfailkan saman terhadap pihak yang memfitnah kita.
MENJAWAB LOD SAMAN MALU
7. Lazimnya pihak yang menerima LOD Saman Malu boleh sahaja menjawab LOD tersebut dan menafikan pengataan-pengataan kita, sekaligus mempertikaikan tuntutan-tuntutan yang dibuat.
8. Atau pihak tersebut boleh juga mengakui pengataan-pengataan kita dan bersedia untuk menyelesaikan tuntutan di luar Mahkamah.
9. Kadang-kadang ada juga keadaan di mana pihak yang menerima LOD Saman Malu itu enggan menjawab dan bertindak mengabaikan tuntutan tersebut.
10. Apabila LOD dipertikaikan atau diabaikan, maka kita boleh memfailkan Saman Malu atau Saman Fitnah di Mahkamah terhadap pihak berkenaan. Sekiranya tuntutan kita diselesaikan, maka saman tidak lagi perlu difailkan.
KOMPONEN UTAMA LOD SAMAN MALU
11. LOD Saman Malu yang berkesan dan baik kebiasaannya mengandungi beberapa komponen utama yang penting.
12. Yang pertamanya ialah fakta ringkas dan kenyataan khusus berkenaan fitnah yang telah tersebar.
13. Ini penting bagi memberi maklumat secukupnya kepada orang yang memfitnah kita tentang sebab LOD Saman Malu dikeluarkan terhadapnya.
14. Yang keduanya ialah tuntutan untuk menarik balik kenyataan fitnah dan permohonan maaf yang lazimnya dibuat sama ada melalui media sosial atau iklan akhbar.
15. Yang ketiganya ialah jumlah tuntutan pampasan kewangan yang sesuai, berdasarkan fakta kes – penting sebagai pengajaran kepada pihak yang memfitnah.
16. Selain daripada tiga komponen di atas, terdapat beberapa lagi komponen penting lain yang akan dimasukkan oleh peguam berdasarkan keperluan kes.
KENAPA LOD INI PENTING?
17. LOD Saman Malu penting kerana ia memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk menyelesaikan pertelingkahan di luar Mahkamah sebelum tindakan saman dimulakan.
18. Sekiranya pertikaian dapat diselesaikan di peringkat LOD, ini akan menjimatkan masa dan kos guaman yang tinggi untuk memfailkan saman.
19. Seperti yang diketahui, kos guaman untuk saman malu atau saman fitnah bukanlah murah – ia boleh mencecah belasan atau puluhan ribu ringgit, malah kadangkala ratusan ribu ringgit.
20. Oleh itu, jika sesuatu kes dapat diselesaikan tanpa mengeluarkan kos besar, ia merupakan pilihan yang bijak untuk dipertimbangkan.
Kami juga menyediakan Borang Kes yang anda boleh isi untuk mengetahui secara lebih mudah dan cepat sama ada anda mempunyai kes fitnah atau tidak. Klik BORANG KES FITNAH NORHAFEEZLAW.
_______________________
SIRI RENCANA SAMAN MALU
ii) Bagaimanakah cara untuk memfailkan Saman Malu?
iii) Apakah cara melawan Saman Malu dan pembelaan yang ada?
iv) Apa dokumen yang perlu ada untuk mulakan Saman Malu?
.webp)







