FITNAH DALAM WHATSAPP
Dikemas kini pada: 06 Januari 2026
Apabila kita mendapati ada kenyataan fitnah yang telah ditularkan dalam WhatsApp (terutama dalam group), perkara paling penting ialah penyimpanan bukti dan pengawalan diri — bukan untuk terus “lawan balik” dalam platform tersebut.
Artikel ini akan menerangkan persediaan asas pengumpulan bukti dan langkah awal yang biasanya diperlukan sebelum tindakan seperti pengeluaran Notis Tuntutan (LOD) atau saman malu dipertimbangkan.
Realitinya, kes fitnah adalah tindakan rumit yang memerlukan strategi, fakta yang jelas, dan bukti yang kemas dan kukuh.
1. Dalam era media sosial hari ini, fitnah boleh berlaku dan tular dengan hanya sentuhan hujung jari. Keghairahan menularkan sesuatu kadang-kadang menyebabkan berlakunya fitnah yang besar terhadap individu-individu di luar sana.
2. Apabila kita mendapati wujud tuduhan yang tidak benar disebarkan terhadap kita di WhatsApp, persediaan asas untuk memulakan tindakan biasanya berkisar pada satu perkara: bukti yang lengkap dan boleh dipercayai.
TANGKAPAN SKRIN FITNAH WHATSAPP
3. Sekiranya kita ada akses kepada kenyataan tersebut, buat tangkapan skrin (screenshot) kepada keseluruhan kenyataan fitnah itu. Pastikan ia menunjukkan konteks: siapa yang tulis, dalam group mana, dan tarikh/masa (kalau ada).
4. Tangkapan skrin ini penting untuk buktikan kenyataan itu benar-benar dibuat, dan bukan sekadar “cerita mulut”. Lagi kemas bukti, lagi mudah untuk dinilai dari segi risiko dan kekuatan kes.
TANGKAPAN SKRIN MAKLUMAT PEMFITNAH
5. Buat tangkapan skrin maklumat pemilik akaun WhatsApp seperti nama (atau nama samaran), nombor telefon, dan gambar profil (jika ada).
6. Bukti identiti ini penting sebab tanpa identiti yang boleh dikesan, tindakan undang-undang boleh jadi sukar atau mahal.
MAKLUMAT PENYEBARAN
7. Fitnah WhatsApp lazimnya disebarkan dalam WhatsApp group. Dalam kes fitnah, “siapa baca” dan “berapa ramai baca” boleh jadi isu penting kerana ia berkait dengan tahap penyebaran dan kesan kepada reputasi.
8. Simpan maklumat nama group dan jumlah ahli group.
MINTA BANTUAN KENALAN
9. Semua persediaan di atas lebih mudah jika kita sendiri ada akses kepada chat atau whatsapp group tersebut.
10. Namun, perbualan dalam WhatsApp group lazimnya tertutup. Jika kita tidak memiliki akses, kita boleh minta bantuan kenalan yang berada dalam group itu untuk dapatkan tangkapan skrin yang lengkap.
11. Pastikan tangkapan skrin itu menunjukkan konteks penuh, bukan separuh — sebab bukti separuh mudah dipertikaikan.
JANGAN BERTINDAK BALAS
12. Paling penting: kawal emosi dan jangan bertindak balas dalam bentuk yang boleh memerangkap diri.
13. Sekiranya kita turut menularkan fitnah balas atau maki hamun, kita sendiri boleh berdepan risiko tindakan lain dan dalam keadaan tertentu, boleh melemahkan tindakan.
14. Ingat: perbuatan salah orang terhadap kita tidak menjadikan perbuatan salah kita terhadap mereka itu betul.
BUAT LAPORAN KEPADA SKMM
15. Jika fitnah itu melibatkan pendedahan maklumat peribadi (contoh: gambar keluarga, nombor kad pengenalan, alamat, nombor telefon peribadi), laporan kepada SKMM boleh dipertimbangkan.
BUAT LAPORAN POLIS
16. Laporan polis biasanya lebih relevan jika ada elemen ugutan jenayah, gangguan seksual, penyebaran bahan lucah atau perkara yang melangkaui fitnah. Namun laporan kepada pihak berkuasa boleh dibuat sekiranya kita mahu.
SILAP BIASA YANG BUAT KES FITNAH WHATSAPP JADI LEMAH
17. Silap yang paling kerap ialah bukti yang “cantik pada mata sendiri” tetapi lemah dari sudut pembuktian.
18. Contohnya, bila kita hanya simpan satu tangkapan skrin tanpa konteks perbualan sebelum dan selepas, atau tanpa maklumat siapa yang menulis kenyataan tersebut.
19. Silap kedua ialah terlalu awal membuat kenyataan balas dalam group — sama ada marah, ugut, atau tulis perkara yang akhirnya memerangkap diri sendiri.
20. Silap ketiga ialah fokus kepada “siapa yang tularkan” tetapi lupa isu utama: adakah kenyataan itu betul-betul memfitnah dari segi undang-undang. Semakan risiko awal memang penting.
21. Silap keempat ialah kelewatan. Bila chat sudah dipadam, bila ahli group keluar masuk, atau bila telefon bertukar, bukti boleh hilang.
APA YANG PEGUAM BIASANYA AKAN CARI SEBELUM FAIL SAMAN
22. Pertama, peguam akan nilai sama ada kenyataan itu benar-benar membawa maksud memfitnah dan merujuk kepada kita (secara jelas atau tersirat). Kalau identiti kita tidak dinyatakan dengan khusus atau ayat terlalu umum, kes biasanya lebih rumit dan sukar.
22. Kedua, peguam akan tengok tahap penyebaran: group itu berapa ramai ahli, siapa audiensnya (contoh: komuniti setempat, rakan kerja, pelanggan), dan sejauh mana ia memberi kesan kepada reputasi kita. Ini berkait rapat dengan strategi tuntutan dan pampasan.
23. Faktor skop penyebaran ini sangat penting kerana terdapat kes yang pernah diputuskan di Mahkamah dimana Saman Malu telah ditolak kerana skop sebaran fitnahnya hanya kepada tidak sampai 5 orang yang tidak berkepentingan.
24. Ketiga, peguam akan semak risiko pembelaan. Kalau risiko pembelaan tinggi, tindakan yang lebih sesuai kadang-kadang ialah hentikan penyebaran dahulu melalui notis tuntutan yang tepat.
SOALAN LAZIM (FAQ) BERKAITAN FITNAH WHATSAPP
1. Apa bukti paling penting untuk kes fitnah WhatsApp?
Bukti paling penting ialah tangkapan skrin kenyataan fitnah yang lengkap (konteks, tarikh/masa, siapa tulis) dan bukti identiti pemilik akaun seperti nombor telefon, nama dan profil.
2. Patutkah saya balas mesej fitnah untuk pertahankan diri?
Secara praktikal, tindakan membalas dalam emosi boleh memudaratkan kedudukan anda. Lebih selamat simpan bukti, hentikan respon, dan dapatkan semakan risiko sebelum mengambil langkah undang-undang.
3. Bila patut buat laporan SKMM atau polis?
Laporan SKMM lebih relevan jika melibatkan penyebaran maklumat peribadi atau kandungan bermasalah. Laporan polis pula lebih relevan jika ada ugutan jenayah, gangguan seksual, atau perkara yang melangkaui fitnah semata-mata. Namun tiada halangan untuk membuat laporan kepada kedua-dua badan ini.
4. Kalau saya hanya ada satu screenshot, cukup tak?
Kebiasaannya satu screenshot sahaja berisiko dipertikaikan sebab tiada konteks. Lebih baik simpan siri screenshot yang menunjukkan rentetan perbualan, identiti pengirim, dan maklumat group (nama serta bilangan ahli) jika relevan.
Rujukan berkaitan:
• FITNAH SYARIKAT DAN PERNIAGAAN Baca di sini
• CARA MEMFAILKAN SAMAN MALU: Baca di sini
• KANDUNGAN NOTIS TUNTUTAN SAMAN MALU DAN KEPENTINGANNYA: Baca di sini
• ANDA KENA SAMAN MALU? APAKAH PEMBELAAN YANG ANDA ADA?: Baca di sini
_______________________
Rujukan berkaitan:
• FITNAH SYARIKAT DAN PERNIAGAAN Baca di sini
• CARA MEMFAILKAN SAMAN MALU: Baca di sini

0 Pertanyaan & Jawapan
Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.