BERPETUALANG SIRI 01: MENGENDALIKAN KES PERLANGGARAN KONTRAK PENYEDIAAN SISTEM DAGANGAN SECARA DIGITAL
1. Saya telah diberi kepercayaan untuk mengendalikan satu kes perlanggaran kontrak bagi pihak seorang usahawan menjual kenderaan yang berpangkalan di Johor.
2. Usahawan berketurunan Cina ini menjalankan perniagaan menjual motokar. Beliau telah melantik satu syarikat untuk mewujudkan satu sistem digital (yang merangkumi aplikasi, laman web e-dagang dan sistem perakaunan) untuk perniagaannya yang sedang meningkat maju. Dengan sistem dagang digital yang komprehensif, beliau bercita-cita untuk meninggalkan pesaing-pesaingnya secepat mungkin.
3. Apa yang menyebabkan usahawan tersebut menyaman syarikat tersebut? Walaupun ratusan ribu pembayaran telah dibuat, namun syarikat tersebut gagal menyiapkan rangkaian sistem digital yang dijanjikan. Ini menyebabkan usahawan tersebut mengalami kerugian beratus ribu ringgit.
4. Pada asalnya, saman yang difailkan di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya itu diuruskan oleh peguam lain, namun atas sebab-sebab tertentu, usahawan tersebut telah mengalihkan kepercayaannya kepada saya dan meminta saya untuk mengambil alih kes tersebut daripada peguam yang sebelum ini.
5. Saya agak keberatan sebenarnya untuk mengambil alih sesuatu kes yang telah dimulakan oleh peguam lain (kerana banyak faktor, salah satunya adalah faktor kos berganda yang perlu ditanggung oleh anak guam), namun setelah mendengar alasan-alasan kenapa usahawan tersebut ingin memilih saya untuk menggantikan peguamnya, maka saya pun bersetuju.
6. Sedikit teruja bagi saya dalam mengendalikan proses bicara untuk kes ini kerana saksi-saksi yang dibawa ke Mahkamah adalah pengarah-pengarah syarikat berbangsa India (daripada negara India) yang tidak fasih berbahasa Melayu kerana status mereka yang bukan merupakan warga negara Malaysia.
7. Maka saya perlu menggunakan bahasa Inggeris untuk bersoal jawab dengan saksi-saksi tersebut. Peluang yang jarang saya dapat.
8. Memandangkan tersangatlah jarang saya mendapat peluang untuk menyoal saksi dalam bahasa Inggeris, maka semangat membuat persediaan untuk sesi bicara di Mahkamah itu agak menyeronokkan dan sedikit lain daripada persediaan-persediaan advokasi biasa yang saya lakukan. Strateginya kali ini sedikit lain, cara mengumpannya lain dan cara memukatnya pun lain.
9. Setelah bertikam lidah dengan saksi-saksi selama 3 hari dan berpencak guaman di hadapan Hakim sehingga ke petang, akhirnya Mahkamah telah memberikan keputusan yang berpihak kepada anak guam saya di mana syarikat tersebut telah diarahkan untuk membayar semula kesemua pembayaran yang telah dibayar sebelum ini kepada anak guam saya.
10. Baru sahaja anak guam saya hendak bergembira di atas kemenangan tersebut, saya pula menerima sesalinan dokumen yang dinamakan Notis Rayuan daripada peguamcara syarikat tersebut.
11. Apa maksud di sebalik penyerahan Notis Rayuan tersebut? Ini menandakan bahawa pihak Defendan berhasrat untuk merayu kepada Hakim di Mahkamah Tinggi di Shah Alam terhadap keputusan Hakim di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya tadi.
12. Apa maksud merayu dalam sesuatu kes? Maksudnya, mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan apa sahaja keputusan yang diberikan oleh Mahkamah Permulaan (Court of First Instance), mempunyai hak untuk merayu keputusan tersebut ke Mahkamah yang lebih tinggi.
13. Memandangkan mahkamah permulaan di dalam kes saya ini adalah Mahkamah Sesyen, maka apa sahaja rayuan hendaklah dibuat kepada Mahkamah Tinggi. Tapi kenapakah kes di Mahkamah Petaling Jaya tetapi rayuannya difailkan ke Mahkamah Shah Alam?
14. Ini kerana Mahkamah-Mahkamah Tinggi di Malaysia lazimnya mempunyai bidang kuasa mengikut sempadan kawasan atau negeri. Terdapat lebih kurang 26 Mahkamah Tinggi di seluruh negara dan setiap negeri di Malaysia mempunyai sekurang-kurangnya satu (1) Mahkamah Tinggi. Setiap Mahkamah Tinggi di dalam setiap negeri ini mempunyai kuasa untuk mendengar rayuan dari Mahkamah-Mahkamah daerah di dalam negeri tersebut.
15. Di negeri Kelantan, sebagai contoh, terdapat satu Mahkamah Tinggi iaitu Mahkamah Tinggi Malaya di Kota Bharu. Jadi, apa sahaja rayuan daripada mahkamah-mahkamah bawahan (subordinate courts) seperti Mahkamah-Mahkamah Majistret dan Sesyen (yang lazimnya mempunyai bidang kuasa mengikut persempadanan daerah) di Gua Musang, Machang, Pasir Puteh atau Kuala Krai, perlu difailkan ke Mahkamah Tinggi di Kota Bharu.
16. Jadi memandangkan kes yang saya kendalikan untuk usahawan ini dimulakan di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, maka rayuan terhadap keputusan di mahkamah tersebut hendaklah dibuat ke Mahkamah Tinggi Malaya di Shah Alam.
17. Dalam kes ini rezeki berpihak kepada anak guam saya juga apabila Yang Arif Hakim, selepas memberi peluang dan mendengar peguam-peguam berhujah (secara bertulis dan secara lisan), telah bersetuju dengan hujahan-hujahan yang saya sampaikan dan telah menolak rayuan daripada syarikat tadi.
18. Kemenangan sekali lagi buat anak guam saya.
19. Apa yang saya dapat jadikan teladan daripada kes ini adalah seperti berikut:
(a) Apa sahaja transaksi atau urus niaga, terutamanya yang melibatkan amaun atau kepentingan yang besar, hendaklah dibuat dalam bentuk perjanjian yang bertulis.
(b) Tidak cukup dengan hanya memastikan perjanjian dibuat secara bertulis, kita juga kena pastikan yang kita faham apa yang terkandung di dalam perjanjian tersebut. Lebih-lebih lagi sekiranya perjanjian tersebut disediakan oleh pihak yang satu lagi.
(c) Sebelum menurunkan tandatangan, rujuklah perjanjian yang disediakan itu kepada seorang peguam yang berpengalaman dan dapatkan nasihatnya untuk menentukan keabsahan dan maksud kandungan perjanjian tersebut.
_______________________

