>

CERAI DALAM TEMPOH 2 TAHUN PERKAHWINAN

cerai non muslim dalam tempoh dua tahun

CERAI (NON MUSLIM) DI DALAM TEMPOH DUA TAHUN USIA PERKAHWINAN

Anda baru sahaja berkahwin namun telah berlaku perkara-perkara yang menyebabkan anda sudah tidak boleh lagi hidup bersama sebagai suami isteri. Adakah suatu petisyen perceraian boleh dilakukan di dalam tempoh dua tahun usia perkahwinan?

1. Melalui rencana-rencana kami sebelum ini, kita sedia maklum bahawa undang-undang meletakkan syarat-syarat yang ketat yang perlu dipatuhi sebelum mana-mana pasangan boleh memfailkan petisyen perceraian. Salah satu daripada syarat tersebut adalah usia perkahwinan tersebut hendaklah melebihi dua tahun.

2. Seksyen 50 (1) Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 telah menetapkan secara umumnya bahawa tiada sebarang petisyen yang boleh difailkan ke Mahkamah sebelum tempoh dua tahun usia perkahwinan luput.

OBJEKTIF HALANGAN MEMFAILKAN CERAI DALAM TEMPOH DUA TAHUN

3. Tempoh dua tahun di sini bermaksud dua tahun daripada tarikh perkahwinan tersebut didaftarkan. Kenapa undang-undang meletakkan syarat yang ketat ini? Mahkamah Tinggi di dalam kes TAH v LWK  telah menjelaskan seperti berikut:

The legislative intent in imposing the two year bar was to protect the sanctity of marriage as an important institution in society. It was also to give the opportunity to married persons to attempt a reconciliation, no matter how slim the chances

4. Niat atau objektif undang-undang dalam mengenakan halangan dua tahun adalah untuk melindungi kesucian perkahwinan sebagai institusi penting dalam masyarakat. Ia adalah juga untuk memberi peluang kepada orang-orang yang berkahwin untuk mencuba pendamaian, tidak kira berapa nipisnya peluang tersebut.

5. Mahkamah Tinggi di dalam kes KK v CNS pula menyatakan seperti berikut berkenaan dengan tujuan dan objektif Seksyen 50 Akta:

It is important to observe that the purpose of this general rule under Section 50 (2) of the LRA 1976 is to curb impetuous and hasty resort by spouses to divorce.

6. Adalah penting untuk diperhatikan bahawa tujuan peruntukan dibawah Seksyen 50 (2) Akta adalah untuk membendung tindakan terburu-buru atau tergesa-gesa pasangan untuk bercerai.

non muslim divorce within 2 years of marriage

PENGECUALIAN?

7. Walau bagaimana pun, adakah terdapat pengecualian terhadap larangan ini? Jawapannya ada. Seksyen 50 (2) Akta memberikan peruntukan bahawa perceraian boleh difailkan di dalam tempoh dua tahun perkahwinan sekiranya pihak-pihak berkenaan mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah.

SYARAT-SYARAT PENGECUALIAN

8. Namun begitu, undang-undang menetapkan syarat-syarat yang ketat sebelum pihak-pihak yang memohon diberikan kebenaran untuk memfailkan petisyen cerai sebelum tempoh dua tahun tamat. 

9.Syarat tersebut adalah pihak yang memohon kebenaran hendaklah menunjukkan keadaan mereka (exceptional circumstances) atau kepayahan yang dideritai (hardship suffered) adalah luar biasa.

10. Walau bagaimana pun, Mahkamah tetap akan menilai dengan mengambil kira kebajikan anak-anak (sekiranya ada) dan juga samada terdapat kemungkinan untuk pasangan tersebut berdamai sewaktu di dalam tempoh tersebut.

11. keadaan atau kepayahan yang dijadikan sebagai alasan oleh pihak-pihak yang memohon bukan sekadar hanya perlu dinyatakan bahkan ianya perlu disokong oleh bukti-bukti yang kukuh. Tanpa sokongan bukti-bukti ini, Mahkamah tidak akan membenarkan sesuatu permohonan untuk memfailkan cerai dalam tempoh dua tahun tersebut.

CONTOH KEADAAN DAN KEPAYAHAN LUAR BIASA (EXCEPTION CIRCUMSTANCES AND HARDSHIP SUFFERED)

12. Apakah contoh-contoh keadaan yang memboleh sesuatu perceraian difailkan di dalam tempoh dua tahun? Tiada formula yang jelas untuk menafsir secara tepat apa yang boleh dikatakan sebagai keadaan atau kepayahan luar biasa. 

13. Namun daripada kes-kes yang pernah diputuskan, kita boleh fahami ianya termasuk di antara lainnya adalah seperti yang berikut:

(a) Salah satu pasangan memeluk agama islam

(b) Pasangan melakukan zina (adultery)

(c) Suami atau isteri menyebarkan fitnah terhadap pasagannya

(d) Suami atau isteri dipaksa untuk melakukan hubungan di luar tabie

14. Walau bagaimanapun, setiap kes adalah unik dan ianya bergantung kepada samada Mahkamah berpendapat keadaan tersebut adalah luar daripada kebiasaan sebelum boleh memberikan kebenaran untuk cerai di dalam tempoh dua tahun.

15. Selain daripada itu, Mahkamah juga akan menilai samada asas kepayahan luar biasa tersebut adalah kepayahan yang lepas (past hardship), terkini dan masih berlaku (current and continuing hardship) serta kemungkinan-kemungkinan ianya terus berlaku di masa hadapan.  

Untuk maklumat lanjut, rujuk pautan berikut:

👉 Proses cerai Non Muslim (Bukan Islam)

👉 Isu yang perlu diputuskan sebelum cerai

👉 Bolehkah bercerai dalam tempoh 2 tahun

👉 Hak penjagaan anak selepas cerai

👉 Pembahagian aset perkahwinan

👉 Soal Jawab ringkas tentang perceraian Non Muslim (BM/BI)

Hubungi kami di 0129797494 atau menerusi email di norhafeezlaw@gmail.com atau menerusi kotak pertanyaan untuk sebarang maklumat lanjut.

cerai dalam tempoh dua tahun

0 Pertanyaan & Jawapan

Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.