GANTIRUGI DAN PAMPASAN SAMAN MALU / FITNAH

 

berapa gantirugi saman malu yang boleh dituntut

GANTIRUGI ATAU PAMPASAN SAMAN MALU / FITNAH

Selain daripada kos yang perlu dikeluarkan untuk memulakan sesuatu tindakan saman fitnah, satu lagi perkara yang sering menjadi pertanyaan awam adalah berapakah gantirugi atau pampasan yang boleh diterima sekiranya seseorang itu berjaya di dalam tindakan beliau.

FAKTOR MENENTUKAN KUANTUM PAMPASAN SAMAN MALU / FITNAH

1. Nilai sesuatu gantirugi atau pampasan di dalam sesuatu kes fitnah tidak boleh dikira melalui apa-apa formula matematik. Setiap kes adalah unik dan berlainan.

2. Namun di dalam menentukan kuantum ataupun bahasa mudahnya nilai yang boleh diperolehi bagi sesuatu saman fitnah, Mahkamah akan menilai beberapa faktor utama. Faktor-faktor tersebut, di antara lainnya adalah:

(a) kelakuan orang yang difitnah;

(b) kedudukan dan reputasi orang yang difitnah di dalam masyarakat;

(c) sifat atau keseriusan fitnah;

(d) keluasan penyebaran fitnah;

(e) permohonan maaf atau penarikan balik kenyataan; dan

(f) kelakuan orang yang memfitnah.

KELAKUAN ORANG YANG DIFITNAH

3. Mahkamah akan menilai kelakuan orang yang difitnah sewaktu beliau memberikan keterangan terutamanya untuk melihat bahawa orang yang difitnah itu benar-benar terkesan dengan fitnah yang disebarkan terhadapnya.

4. kelakuan ini termasuklah dengan melihat tindak tanduk, bahasa badan dan perilaku orang yang difitnah tersebut semasa memberikan keterangan.

KEDUDUKAN, STATUS ATAU REPUTASI ORANG YANG DIFITNAH DI DALAM MASYARAKAT

5. Di dalam menentukan amaun pampasan yang akan diperolehi Mahkamah juga akan melihat kepada kedudukan dan status seseorang itu di dalam masyarakat.

6. Kesan sesuatu fitnah terhadap seorang ahli politik atau selebriti sebagai contohnya, adalah jauh lebih besar daripada orang awam kerana status seorang ahli politik atau selebriti adalah lebih dikenali berbanding orang awam disebabkan tahap kemasyhuran mereka.

7. Oleh yang demikian, pampasan yang diterima untuk sesuatu tindakan fitnah yang dilemparkan keatas seorang ahli politik atau selebriti atau ahli perniagaan yang masyhur, adalah lebih tinggi jika dibandingkan dengan orang awam.

8. Di dalam kes Anwar Ibrahim v Wan Muhammad Azri Wan Deris (papagomo), Mahkamah telah mengarahkan agar Defendan membayar gantirugi sebanyak RM800,000.00 kepada Plaintif.

peguam saman malu

SIFAT DAN TAHAP KESERIUSAN FITNAH

9. Sifat sesuatu fitnah itu sendiri juga akan dinilai sebelum Mahkamah memutuskan amaun gantirugi dan pampasan yang akan diterima oleh orang yang difitnah.

10. Sebagai contoh fitnah dengan mengatakan seseorang itu terlibat dengan jenayah seperti pembunuhan atau menjadi pengkhianat kepada negara adalah jauh lebih serius dan besar berbanding fitnah dengan mengatakan seseorang itu menipu.

11. Lebih serius sesuatu fitnah itu maka lebih besarlah pampasan yang boleh diperolehi melalui Mahkamah.

12. Di dalam kes Tan Sri Harris Salleh v Yong Teck Lee, Mahkamah telah mengarahkan Defendan agar membayar pampasan sebanyak RM600,000.00 kepada Plaintif kerana fitnah yang mengaitkan plaintif dengan nahas udara yang menyebabkan kematian Ketua Menteri Sabah Allahyarham Tun Fuad Stephens dan 10 yang lain (tragedi double six).

KELUASAN PENYEBARAN FITNAH

13. Sekiranya sesuatu fitnah itu tular dengan meluas, maka Mahkamah akan memberikan pampasan yang lebih tinggi berbanding dengan fitnah yang tidak disebarkan dengan meluas.

14. Kemungkinan untuk sesuatu fitnah itu disebar dengan luas adalah sangat tinggi dewasa ini dengan kemudahan media sosial dan juga teknologi seperti whatsapp atau telegram.

PERMOHONAN MAAF ATAU PENARIKAN BALIK KENYATAAN

15. Sekiranya terdapat permohonan maaf atau sesuatu kenyataan fitnah itu ditarik balik, maka ianya menjadi faktor untuk sesuatu pampasan itu dapat dikecilkan.

16. Faktor ini turut berkaitan dengan penilaian Mahkamah tentang kelakuan orang yang memfitnah itu. Ianya boleh menjadi indikasi bahawa orang yang memfitnah itu kesal di atas perbuatannya.

KELAKUAN ORANG YANG MEMFITNAH

17. Mahkamah juga akan menilai kelakuan orang yang memfitnah itu semasa proses bicara. Sekiranya Mahkamah mendapati orang yang memfitnah itu tidak menunjukkan sebarang keinsafan atau kekesalan, pampasan yang perlu dibayar mungkin akan menjadi tinggi. 

18. Namun apa yang perlu difahami adalah fungsi gantirugi atau pampasan di dalam sesuatu kes saman malu atau fitnah bukanlah untuk mendapat kekayaan tetapi sebagai memampas atau bahasa mudahnya saguhati bagi orang yang difitnah diatas kepayahan dan kesengsaraan yang dialami disebabkan sesuatu fitnah itu. 

Hubungi kami di 0129797494 atau menerusi email di norhafeezlaw@gmail.com atau menerusi kotak pertanyaan untuk sebarang maklumat lanjut.  

RENCANA SAMAN MALU

i) Apa itu Saman Malu?

ii) Bagaimanakah cara untuk memfailkan Saman Malu? 

iii) Apakah cara melawan Saman Malu dan apakah pembelaan yang anda ada?

iv) Apa dokumen yang perlu ada untuk mulakan saman malu?

v) Kos peguam Saman Malu?

vi) Pampasan dan gantirugi Saman Malu / Fitnah?

vii) Fitnah media sosial (facebook, twitter, instagram)

gantirugi yang boelh dituntut untuk fitnah

4 Pertanyaan & Jawapan