>

KELEBIHAN TUNTUTAN CIPAA

tuntutan cipaa malaysia

TUNTUTAN MELALUI CIPAA 2012; APAKAH KELEBIHANNYA BERBANDING PROSES MAHKAMAH DAN TIMBANG TARA?

Sepertimana yang kita sedia maklum, Akta Pembayaran dan Adjudikasi Industri Pembinaan 2012 ataupun Construction Industry Payment and Adjudication Act 2012, yang kita kenali sebagai CIPAA adalah satu Akta yang diwujudkan dengan tujuan untuk memudahkan pembayaran bagi kerja-kerja pembinaan yang telah dilakukan. Fungsi utama CIPAA adalah semata-mata untuk memudahkan tuntutan.

OBJEKTIF CIPAA

2. CIPAA 2012 diwujudkan untuk melindungi kepentingan subkontraktor yang sebelum ini sentiasa mengharapkan belas ihsan kontraktor utama dan juga pemilik sesuatu projek pembinaan. 

3. Jadi CIPAA diformulasikan (formulated) untuk memperuntukkan satu bantuan terus (summary relief) kepada subkontraktor ataupun mana-mana pihak yang terlibat di dalam industri pembinaan.

4. Ianya memberikan kemudahan untuk mendapatkan bayaran secara teratur dan mengikut waktu bagi tuntutan-tuntutan yang sah dengan tujuan untuk mengurangkan masalah aliran tunai (cashflow) di dalam industri pembinaan yang pada akhirnya akan memberi kesan terhadap ekonomi negara. 

5. Kita juga tahu bahawa sebelum CIPAA diperkenalkan dan dikuatkuasa pada 15 April 2014, mana-mana subkontraktor yang ingin membuat tuntutan bayaran daripada kontraktor utama untuk semua atau sebahagian kerja-kerja atau perkhidmatan pembinaan yang telah dilakukan, hanya mempunyai dua pilihan. Samada membuat tuntutan melalui Mahkamah ataupun melalui proses timbang tara.

KELEBIHAN TUNTUTAN MELALUI CIPAA 

JANGKA MASA LEBIH SINGKAT

6. Kelebihan Tuntutan CIPAA yang pertama adalah keputusan tuntutan dapat diperolehi dalam masa yang lebih singkat. Ini adalah objektif yang paling utama disebalik CIPAA. 

7. Walaupun proses tuntutan melalui adjudikasi CIPAA juga memerlukan penyerahan kertas-kertas kausa (pleadings) kepada pihak responden (syarikat yang dituntut) dan Adjudikator, waktu yang diperuntukkan untuk pihak-pihak menyerahkan jawapan balas adalah jauh lebih singkat. 

8. Bukan itu sahaja, Adjudikator juga perlu menyerahkan keputusan beliau di dalam masa yang terhad.

9. Proses Mahkamah pada lazimnya memakan masa yang jauh lebih lama berikutan keperluan pihak-pihak untuk menyempurnakan penyampaian dan pemfailan kertas kausa dan proses mendapatkan keterangan saksi-saksi melalui proses bicara dan juga pemfailan hujahan-hujahan daripada pihak peguam. 

10. Ini tidak termasuk sekiranya mana-mana pihak perlu memfailkan apa-apa permohonan interlokutori yang akan memanjangkan lagi masa.  

11. Tanpa kewajiban proses bicara (kecuali dipohon oleh pihak-pihak atau dikira sebagai perlu oleh Adjudikator) ataupun permohonan interlokutori, pihak-pihak yang menuntut melalui CIPAA, tidak boleh tidak, akan mendapat keputusan terhadap tuntutannya di dalam jangka masa yang jauh lebih singkat.

tuntutan cipaa malaysia

BERSIFAT TERUS DAN BERDASARKAN BUKTI DOKUMEN

12. kelebihan Tuntutan melalui proses Adjudikasi CIPAA yang kedua adalah ianya bersifat terus (summary). Tanpa kewajiban untuk melaksanakan proses mendapat keterangan saksi melalui proses bicara penuh, sebagaimana di Mahkamah, sesuatu keputusan Adjudikasi dapat diperolehi dengan hanya berpandukan dokumen-dokumen sokongan yang jelas. 

13. Ianya lebih kurang sama dengan proses untuk mendapatkan Penghakiman Terus (Summary Judgment) melalui Aturan 14 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

14. Sesuatu keputusan yang dibuat berpandukan dokumen semata-mata sudah pasti mempunyai pro dan kontra. Akan tetapi memandangkan objektif CIPAA, di antara lainnya, adalah untuk berfungsi sebagai platform untuk mendapatkan penyelesaian yang lebih cepat, maka di atas dasar itu lah kepercayaan penuh perlu di letakkan kepada para Adjudikator yang berkaliber untuk menjalankan tanggung jawab beliau.

KOS YANG TIDAK TERLALU TINGGI

15. Kelebihan adjudikasi CIPAA yang ketiga adalah dari segi kosnya yang jauh lebih murah. Umum mengetahui bahawa kos proses timbangtara lazimnya adalah sedikit tinggi. 

16. Kos untuk membuat tuntutan CIPAA pula adalah lebih munasabah. Apatah lagi yuran-yuran Adjudikator boleh dirunding, malah sekiranya yuran tersebut tidak dapat dpersetujui, skala yuran/fi standard Pusat Arbitrasi Antarabangsa Asia (AIAC) akan terpakai.

KEBEBASAN UNTUK MEMILIH 

17. Kelebihan tuntutan melalui CIPAA yang keempat adalah pihak-pihak bebas untuk memilih untuk menyelesaikan pertikaian mengenai pembayaran melalui tuntutan CIPAA tanpa memerlukan klausa khusus mengenainya. 

18. Ini adalah jauh lebih mudah berbanding dengan proses timbang tara yang memerlukan persetujuan kedua belah pihak atau memerlukan adanya satu klausa berkenaan timbangtara yang akan mengikat pihak-pihak terbabit.

BOLEH MEWAKILI DIRI SENDIRI

19. Akta CIPAA tidak mewajibkan sesuatu tuntutan dibawah CIPAA dibuat melalui peguam atau konsultan (walaupun ianya dibenarkan).

20. Pada lazimnya, sesebuah syarikat tidak boleh mewakili diri sendiri di Mahkamah dan perlu melantik perkhidmatan peguam untuk mewakili syarikat.

21. Namun untuk membuat tuntutan melalui CIPAA, syarikat boleh mewakili diri sendiri. Walau bagaimana pun khidmat peguam adalah sangat penting memandangkan ianya melibatkan proses dan prosedur yang tidak mudah difahami di dalam masa yang singkat.  

CIPAA SEBAGAI ALTERNATIF TERBAIK

22. Yang pastinya, tuntutan melalui CIPAA adalah satu alternatif yang tidak seharusnya diketepikan sebelum membuat keputusan akhir. 

23. Walaubagaimana pun begitu, proses tuntutan CIPAA tidak seharusnya diambil secara lewa. Di sini lah peri pentingnya fungsi para konsultan yang berwibawa di dalam memastikan setiap langkah dan proses yang dijalankan adalah selaras dengan ketetapan yang dinyatakan di dalam Akta.

peguam CIPAA

Hubungi kami di 0129797494 atau menerusi email di norhafeezlaw@gmail.com atau menerusi kotak pertanyaan untuk sebarang maklumat lanjut.

cipaa lawyer


0 Pertanyaan & Jawapan

Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.