TUNTUT HUTANG MELALUI SAMAN?
Tuntut hutang melalui saman pada tahun 2022. Apakah proses yang perlu dilalui sekiranya anda ingin menuntut pembayaran hutang melalui saman di Mahkamah? Saman hutang bukanlah sesuatu yang asing bagi pengamal undang-undang namun apakah proses yang anda perlu tahu untuk menyaman orang yang berhutang dengan anda?
1. Sejujurnya, untuk menuntut hutang melalui proses tindakan undang-undang di Mahkamah akan menelan belanja dan kos dan masa yang mungkin panjang. Pastikan anda terlebih dahulu memahami risiko dan bersedia untuk mengeluarkan belanja dan masa bagi memulakan tindakan saman di Mahkamah.
BERJUMPA & MELANTIK PEGUAM
2. Perkara pertama yang kami sarankan adalah untuk berjumpa dan melantik peguam pilihan anda (ataupun kami) untuk mewakili anda di dalam proses membuat tuntutan tersebut.
DOKUMEN YANG PERLU DIBAWA
3. Sebelum berjumpa dan melantik peguam pilihan anda, pastikan anda mempunyai salinan dokumen-dokumen yang berkenaan dengan hutang tersebut. Sekiranya anda mempunyai Perjanjian Pemberian Hutang, maka ini adalah dokumen yang terbaik untuk anda bawa.
4. Anda juga boleh membawa sebarang bukti yang menunjukkan bahawa anda telah memberikan wang untuk tujuan hutang kepada si penghutang.
5. Ini termasuklah resit pindahan wang atau apa-apa penyata akaun yang menunjukkan perpindahan wang dari akaun anda ke akaun penghutang.
6. Sekiranya, terdapat bayaran sebahagian daripada hutang tersebut kepada anda dan ianya dilakukan melalui pindahan wang ke akaun anda, dapatkan salinan resit atau penyata akaun tersebut.
7. Dokumen-dokumen ini (jika ada) akan digunakan untuk menyokong dan menguatkan tuntutan anda sekiranya kes anda perlu dibawa ke Mahkamah melalui tindakan saman.
8. Sekiranya hutang diberikan secara tunai dan anda tidak mempunyai sebarang dokumen sokongan, anda tidak perlu khuatir kerana anda masih boleh membuat tuntutan melalui Mahkamah,
9. Namun ianya mungkin sedikit rumit berbanding sesuatu hutang yang boleh dibuktikan dengan dokumen sokongan yang lengkap.
HAD MASA
10. Peguam lazimnya akan memastikan sebelum apa-apa tindakan dilakukan, tempoh masa untuk mengambil tindakan masih lagi belum luput.
11. Undang-undang telah menetapkan bahawa apa-apa tindakan tuntutan hutang hendaklah dibuat di dalam tempoh 6 tahun dari tarikh si Penghutang gagal membuat bayaran.
NOTIS TUNTUTAN
12. Peguam anda akan mengeluarkan Notis Tuntutan terhadap si Penghutang. Oleh yang demikian, adalah penting untuk anda mendapatkan maklumat lengkap berkenaan dengan nama penuh, nombor kad pengenalan serta alamat si Penghutang, bagi memudahkan kerja dan menjimatkan masa.
13. Apakah itu Notis Tuntutan? Notis Tuntutan adalah surat daripada peguam yang mewakili anda dimana surat tersebut pada lazimnya akan mengandungi fakta ringkas berkenaan dengan hutang dan tuntutan agar si penghutang membuat bayaran hutang di dalam tempoh yang ditetapkan, kebiasaannya 7 atau 14 hari.
14. Pengeluaran Notis Tuntutan ini tidak wajib (melainkan tuntutan diwajibkan melalui perjanjian) namun kami menyarankan agar dokumen ini dikeluarkan. Kenapa? Kerana ada si Penghutang yang akan terus membuat bayaran balik hutang sejurus menerima Notis Tuntutan daripada peguam. Walaupun begitu, ada juga yang tetap culas untuk membuat bayaran.
15. Sekiranya si Penghutang gagal untuk membuat sebarang pembayaran, maka anda berhak untuk memfailkan saman terhadap si Penghutang.
SAMAN
16. Peguam anda, seterusnya akan menyediakan Saman dan Pernyataan Tuntutan bagi pihak anda. Saman dan Pernyataan Tuntutan ini akan difailkan di Mahkamah dan sesalinannya akan diserahkan kepada Penghutang.
17. Apabila Saman dan Pernyataan Tuntutan ini dapat diserahkan kepada Penghutang, beliau mempunyai pilihan samada untuk
- tidak mengendahkan Saman dan Pernyataan Tuntutan anda;
- mencabar tuntutan anda dengan memfailkan Memorandum Kehadiran dan melantik peguam di dalam masa 14 hari daripada tarikh Saman dan Pernyataan Tuntutan diserahkan;
- dan/atau bersetuju untuk memasuki Penghakiman Persetujuan
PENGHAKIMAN
18. Sekiranya si Penghutang gagal memfailkan Memorandum Kehadiran di dalam tempoh 14 hari dari tarikh Saman dan Pernyataan Tuntutan diserahkan kepada beliau, peguam anda akan memfailkan Perakuan Ketidakhadiran dan satu Penghakiman Ingkar akan direkodkan ke atas Penghutang.
19. Namun Penghakiman Ingkar ini boleh diketepikan sekiranya si Penghutang selepas itu melantik peguam, membuat permohonan untuk mengetepikan Penghakiman Ingkar tersebut dan Mahkamah mendapati beliau mempunyai Pembelaan yang wajar didengarkan.
20. Sekiranya si Penghutang memilih untuk mencabar tuntutan anda, maka keputusan samada tuntutan anda tersebut patut dibenarkan ataupun ditolak akan ditentukan melalui proses Bicara Penuh yang merupakan proses di mana setiap dokumen sokongan dan keterangan saksi-saksi akan dinilai.
21. Satu Penghakiman akan diberikan selaras dengan keputusan Hakim di Mahkamah.
22. Sekiranya anda ingin menjimatkan masa, peguam anda lazimnya akan mengesyorkan satu permohonan yang dinamakan Permohonan untuk Penghakiman Terus (turut dikenali sebagai permohonan Order 14).
23. Permohonan ini melibatkan penilaian dokumen dan keterangan afidavit semata-mata dan tidak melibatkan saksi-saksi. Lazimnya untuk berjaya di dalam permohonan ini, dokumen-dokumen yang ada untuk menyokong hutang anda perlulah lengkap dan terperinci. Perintah Penghakiman Terus akan direkodkan sekiranya anda permohonan anda dibenarkan.
24. Si penghutang boleh juga bersetuju untuk merekodkan Penghakiman Persetujuan sekiranya beliau tidak berhasrat untuk mencabar tuntutan anda.
25. Katakanlah anda telah berjaya mendapat suatu Penghakiman, tidak kiralah ianya Penghakiman Ingkar, Penghakiman Persetujuan, Penghakiman Terus atau Penghakiman Selepas Bicara, adakah proses tersebut tamat disitu? Jawapannya tidak.
PERLAKSANAAN PENGHAKIMAN
26. Penghakiman yang anda ada adalah penghakiman kertas (paper judgment) semata-mata. Anda perlu meneruskan dengan tindakan untuk melaksanakan penghakiman yang anda ada.
27. Sekiranya si Penghutang tidak mahu Penghakiman tersebut dilaksanakan keatas beliau, lazimnya, si Penghutang akan membuat bayaran sebagaimana terma yang dinyatakan di dalam Penghakiman tersebut.
Hubungi kami di 0129797494 atau menerusi email di norhafeezlaw@gmail.com atau menerusi kotak pertanyaan untuk sebarang maklumat lanjut.
0 Pertanyaan & Jawapan
Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.