Dikemas kini pada: 20 Februari 2026
Tuntutan hutang (friendly loan) melalui saman ialah langkah undang-undang yang lazim diambil terhadap penghutang (penerima hutang) yang gagal melunaskan bayaran balik hutang friendly loan walaupun telah diminta secara munasabah, sama ada melalui peringatan lisan atau bertulis.
Di Malaysia, proses tuntutan hutang friendly loan kebiasaannya bermula dengan pengeluaran Notis Tuntutan, diikuti pemfailan saman di Mahkamah (melalui Writ Saman atau Saman Pemula), seterusnya prosiding pendengaran sehingga penghakiman direkodkan. Jika bayaran masih tidak dibuat, langkah perlaksanaan penghakiman boleh diambil terhadap penghutang.
Artikel ini menerangkan secara ringkas dan tersusun aliran proses tuntutan hutang di Mahkamah, termasuk dokumen yang lazim diperlukan, tempoh had masa tuntutan (limitasi), pilihan yang tersedia kepada penghutang selepas saman diserahkan, serta implikasi undang-undang yang biasanya berlaku selepas sesuatu penghakiman dikeluarkan.
Nota profesional: Sebelum memulakan tindakan, adalah wajar untuk menilai kekuatan dokumen, kebarangkalian penghutang mempunyai kemampuan membayar, dan strategi perlaksanaan selepas penghakiman. Dalam banyak keadaan, kes yang kelihatan “mudah” di atas kertas boleh menjadi tidak berbaloi jika perlaksanaan penghakiman tidak dirancang sejak awal.
1. Sejujurnya, untuk menuntut hutang melalui tindakan undang-undang di Mahkamah boleh menelan belanja dan mengambil masa, khususnya jika tuntutan dicabar. Pastikan kita faham risiko, kos dan garis masa sebelum memulakan saman tuntut hutang.
2. Jika anda mahu gambaran lebih jelas tentang kos guaman, anda boleh rujuk rencana ini: Kos Guaman Tuntutan Hutang.
BERJUMPA & MELANTIK PEGUAM
3. Perkara pertama yang disarankan adalah untuk berjumpa dan melantik peguam pilihan kita untuk mewakili kita di dalam proses membuat tuntutan tersebut.
4. Pelantikan peguam bukan sekadar untuk “memfailkan dokumen”, tetapi untuk memastikan tuntutan kita difailkan melalui kaedah yang tepat, pada forum yang betul, dengan dokumen yang mencukupi, dan strategi yang realistik dari awal.
DOKUMEN YANG PERLU DIBAWA
5. Sebelum berjumpa dan seterusnya melantik peguam, kita perlu pastikan bahawa kita mempunyai salinan dokumen berkaitan hutang. Jika ada Perjanjian Pemberian Hutang, itu dokumen terbaik untuk dibawa.
6. Bawa juga sebarang bukti bahawa kita telah memberikan wang pinjaman kepada penghutang sebagai dokumen sokongan.
7. Ini termasuklah resit pindahan wang atau penyata akaun yang menunjukkan transaksi daripada akaun kita ke akaun penghutang.
8. Jika ada bayaran sebahagian dibuat kepada anda melalui pindahan bank, dapatkan salinan resit atau penyata akaun tersebut.
9. Dokumen-dokumen ini akan menyokong dan menguatkan tuntutan kita jika kes dibawa ke Mahkamah melalui tindakan saman.
10. Jika hutang diberi secara tunai dan tiada dokumen, kita sebenarnya masih boleh menuntut melalui Mahkamah.
11. Walau bagaimanapun, prosesnya boleh menjadi lebih mencabar dan rumit kerana isu bukti lazimnya akan dibangkitkan dan dipertikai. Untuk huraian lanjut tentang kepentingan dokumentasi, rujuk: Kepentingan Perjanjian Hutang.
HAD MASA
12. Peguam lazimnya akan menyemak terlebih dahulu tempoh atau had masa (limitasi) sebelum apa-apa tindakan diambil, kerana tuntutan yang telah luput tempoh boleh menjejaskan peluang kejayaan.
13. Undang-undang menetapkan tuntutan hutang lazimnya perlu dimulakan dalam tempoh 6 tahun daripada tarikh penghutang gagal membayar (bergantung kepada fakta dan jenis tuntutan). Untuk huraian lanjut tentang isu had masa ini, rujuk: Hutang 6 Tahun (Had Masa / Limitasi).
NOTIS TUNTUTAN (SURAT TUNTUTAN HUTANG)
14. Peguam kita lazimnya akan mengeluarkan Notis Tuntutan (juga dipanggil surat tuntutan) terhadap penghutang. Sediakan maklumat lengkap seperti nama penuh serta alamat lengkap untuk mempercepatkan proses dan mengurangkan risiko isu serahan dokumen di peringkat mahkamah.
15. Notis Tuntutan ialah surat peguam yang menyatakan fakta ringkas berkenaan dengan hutang serta menuntut bayaran dalam tempoh munasabah (kebiasaannya 14 hari).
16. Walaupun tidak semestinya wajib (kecuali ianya diwajibkan dalam perjanjian), notis ini tetap disarankan. Dalam banyak kes, penghutang memilih untuk membayar setelah menerima surat peguam. Namun, terdapat juga keadaan di mana penghutang masih culas atau sengaja melengahkan.
17. Jika penghutang gagal membuat pembayaran dalam tempoh yang munasabah, maka kita berhak untuk mempertimbangkan pemfailan saman.
SAMAN
18. Peguam lazimnya akan menyediakan Saman dan Pernyataan Tuntutan untuk difailkan di Mahkamah. Setelah difailkan, dokumen tersebut akan diserahkan kepada penghutang mengikut kaedah serahan yang diiktiraf.
19. Untuk gambaran menyeluruh dari sudut aturan dan prosedur tuntutan hutang (secara lengkap), rujuk: Aturan, Prosedur & Proses Tuntut Hutang.
20. Selepas dokumen saman diserahkan, penghutang lazimnya mempunyai pilihan berikut:
- Tidak mengendahkan Saman dan Pernyataan Tuntutan;
- Mencabar tuntutan dengan memfailkan Memorandum Kehadiran dan melantik peguam dalam tempoh 14 hari daripada tarikh serahan;
- Bersetuju untuk merekodkan Penghakiman Persetujuan.
PENGHAKIMAN
21. Jika penghutang gagal memfailkan Memorandum Kehadiran dalam tempoh 14 hari, peguam boleh memfailkan Perakuan Ketidakhadiran dan seterusnya memohon agar Penghakiman Ingkar direkodkan.
22. Penghakiman Ingkar boleh diketepikan jika kemudian penghutang melantik peguam dan memohon mengetepikan, serta Mahkamah mendapati wujud pembelaan yang wajar didengar.
23. Jika penghutang mencabar tuntutan, keputusan muktamad dibuat melalui Bicara Penuh, di mana dokumen dan keterangan saksi akan dinilai.
24. Penghakiman akan diberikan selaras dengan keputusan Hakim.
25. Untuk menjimatkan masa dalam keadaan yang sesuai, kadangkala peguam mungkin akan mencadangkan Permohonan Penghakiman Terus (Summary Judgment / Order 14).
26. Permohonan ini lazimnya diputuskan berdasarkan bukti dokumen dan afidavit (tanpa keterangan saksi di peringkat awal). Untuk berjaya, dokumen sokongan hutang perlu lengkap dan terperinci. Jika dibenarkan, Perintah Penghakiman Terus akan direkodkan.
27. Penghutang juga boleh bersetuju untuk merekodkan Penghakiman Persetujuan jika tidak mahu mencabar tuntutan.
28. Setelah kita mendapat Penghakiman — sama ada Ingkar, Persetujuan, Terus atau selepas Bicara — adakah proses tamat? Jawapannya: tidak semestinya.
PERLAKSANAAN PENGHAKIMAN
29. Sebahagian besar penghutang yang telah menerima salinan Penghakiman, akan membuat pembayaran secepat mungkin kerana tidak mahu Penghakiman tersebut dilaksanakan ke atas mereka.
30. Namun terdapat segelintir kecil yang tetap berdegil dan enggan membuat pembayaran hutang walaupun Penghakiman telah direkodkan ke atas mereka.
31. Penghakiman di tangan kita lazimnya masih bersifat paper judgment jika tiada bayaran dibuat. Oleh itu, kita perlu mempertimbangkan tindakan perlaksanaan penghakiman yang bersesuaian mengikut keadaan penghutang.
32. Sekiranya kita memilih untuk tidak meneruskan perlaksanaan, penghutang lazimnya hanya akan membayar jika mereka benar-benar berhasrat mematuhi terma penghakiman. Jika tidak, tindakan perlaksanaan biasanya menjadi langkah praktikal untuk merealisasikan bayaran.
SOALAN LAZIM (FAQ)
Adakah surat tuntutan (Notis Tuntutan) wajib sebelum saman difailkan?
Secara umum, ia tidak semestinya wajib kecuali dipersetujui dalam perjanjian atau diperlukan oleh keadaan tertentu. Namun, amalan yang baik ialah mengeluarkannya terlebih dahulu kerana ia boleh mendorong penyelesaian tanpa litigasi dan membantu menunjukkan bahawa peluang munasabah telah diberikan kepada penghutang untuk membayar.
Jika penghutang tidak mengendahkan saman, adakah saya terus menang?
Jika penghutang gagal memfailkan Memorandum Kehadiran dalam tempoh yang ditetapkan, peguam boleh memohon Penghakiman Ingkar. Walau bagaimanapun, penghakiman tersebut masih boleh dicabar melalui permohonan mengetepikan sekiranya Mahkamah mendapati wujud pembelaan yang wajar didengar.
Berapa lama proses tuntut hutang di mahkamah biasanya mengambil masa?
Tempoh bergantung kepada sama ada tuntutan dicabar, kesediaan dokumen, serta jadual Mahkamah. Jika penghutang tidak mencabar, proses lazimnya lebih pantas melalui penghakiman ingkar atau penghakiman persetujuan. Jika dicabar, tempoh akan menjadi lebih panjang kerana melibatkan pengurusan kes dan bicara.
Selepas penghakiman direkodkan, adakah penghutang wajib bayar secara automatik?
Majoriti Penghutang akan membuat bayaran namun terdapat segelintir yang enggan membuat bayaran. Penghakiman ialah pengiktirafan Mahkamah terhadap hak anda, tetapi bayaran sebenar lazimnya memerlukan pematuhan penghutang atau tindakan perlaksanaan penghakiman jika penghutang masih enggan membayar.
Jika hutang dibuat secara tunai atau tanpa perjanjian bertulis, adakah masih boleh dituntut?
Masih boleh, tetapi beban bukti menjadi lebih mencabar. Rekod transaksi, mesej, pengakuan bayaran sebahagian, atau apa-apa dokumen sokongan lain lazimnya menjadi penting untuk menyokong kewujudan hutang.
Untuk bacaan lanjut:
👉 Kepentingan Perjanjian Hutang
👉 Proses Saman Sivil
👉 Aturan, Prosedur & Proses Tuntut Hutang
ANDA JUGA BOLEH MENGISI BORANG KES HUTANG DI BAWAH UNTUK PENILAIAN RINGKAS.
Jika anda disaman menuntut hutang, dapatkan penilaian ringkas kes anda melalui Borang Kes Defendan
DI SINI
.
_______________________
Penafian: Rencana di dalam Norhafeezlaw[dot]com ini diterbitkan dengan tujuan untuk kesedaran dan pengetahuan umum. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam rencana ini tidak boleh dijadikan panduan untuk memulakan tindakan undang-undang secara sendirian, tanpa terlebih dahulu merujuk kepada seorang peguam yang berpengalaman.
Untuk sebarang maklumat lanjut berkenaan dengan rencana ini atau untuk mengatur sesi konsultasi guaman, anda boleh berhubung dengan mana-mana peguam pilihan anda, atau pun anda boleh menghubungi kami [Firma Guaman Tetuan Hafeez & Hazlina] melalui whatsapp dengan menekan imej diatas.