KOS GUAMAN TUNTUTAN HUTANG
Dikemas kini pada: 25 November 2025
Untuk kes-kes tuntutan hutang, persoalan yang sering timbul adalah: bagaimana kos guaman peguam akan ditentukan, dan apakah faktor-faktor yang akan dinilai dan diambil kira untuk menentukan kos peguam bagi tuntutan hutang? Rencana ini menghuraikan faktor-faktor tersebut supaya anda boleh membuat perancangan kewangan dengan lebih jelas sebelum memulakan tindakan saman.
1. Seperti yang kita semua sedia maklum, di antara isu utama yang seharusnya diselaraskan sebelum pihak-pihak memulakan tindakan melalui peguam di Mahkamah adalah berkenaan dengan kos peguam yang perlu dikeluarkan.
2. Terdapat beberapa faktor yang akan diambil kira untuk menentukan kos guaman tuntutan hutang. Faktor-faktor tersebut adalah sebagaimana berikut:
KOS GUAMAN DITETAPKAN BERDASARKAN AMAUN TUNTUTAN
3. Secara lazimnya, kos guaman untuk kes-kes yang melibatkan tuntutan hutang akan ditetapkan berdasarkan jumlah amaun hutang yang ingin dituntut.
4. Ini adalah kerana, jumlah atau amaun hutang yang ingin dituntut akan menentukan aras Mahkamah mana saman tuntut hutang itu akan difailkan.
5. Seperti yang kita semua sedia maklum, undang-undang telah menetapkan bahawa setiap jenis atau tingkat Mahkamah-Mahkamah di Malaysia mempunyai bidang kuasa yang berbeza di antara satu dengan yang lain.
6. Perbezaan bidang kuasa ini termasuklah bidang kuasa untuk mendengar dan membuat keputusan terhadap saman-saman yang melibatkan tuntutan berbentuk wang ringgit dan hutang.
7. Mahkamah Majistret mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan memberikan keputusan untuk tuntutan yang tidak lebih daripada RM100,000.00 sahaja.
8. Mahkamah Sesyen pula mempunyai bidang kuasa mendengar dan memberikan keputusan untuk tuntutan-tuntutan yang melebihi RM100,000.00 tetapi tidak lebih daripada RM1,000,000.00.
9. Mahkamah Tinggi akan mendengar dan memberikan keputusan untuk tuntutan-tuntutan yang melebihi RM1,000,000.00. (Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan adalah Appellate Courts yang secara umumnya tidak tertakluk kepada amaun tuntutan dan hanya berfungsi untuk mendengar rayuan dari Courts of First Instance atau Mahkamah-Mahkamah yang mana tindakan pertama kali dimulakan).
10. Mahkamah Majistret atau Sesyen, sebagai contoh, tidak boleh memberikan sebarang keputusan yang melebihi daripada bidang kuasa yang telah ditetapkan oleh undang-undang.
11. Jadi, kos peguam secara kebiasaannya akan ditetapkan mengikut Mahkamah yang akan mendengar dan membuat keputusan ke atas tuntutan-tuntutan tersebut.
12. Selalunya, peguam akan menetapkan yuran guaman yang berbeza mengikut tahap lapisan setiap Mahkamah.
13. Bayaran guaman untuk kes yang difailkan di Mahkamah Sesyen mungkin lebih tinggi daripada kes yang difailkan di Mahkamah Majistret tetapi mungkin lebih rendah daripada caj guaman untuk kes-kes yang difailkan di Mahkamah Tinggi.
Adakah anda boleh membuat pilihan?
14. Kebiasaannya tidak boleh, melainkan anda bersetuju atau tidak kisah untuk mendapat amaun yang selaras dan mengikut bidang kuasa Mahkamah tersebut.
15. Jadi sekiranya anda ingin membuat tuntutan hutang sebanyak RM120,000.00 tetapi anda memilih untuk memfailkan tuntutan di Mahkamah Majistret, tuntutan yang anda boleh failkan adalah setakat RM100,000.00 sahaja dan sekiranya anda berjaya mendapat penghakiman, anda hanya akan mendapat keputusan setakat RM100,000.00 sahaja.
KOS GUAMAN DITETAPKAN BERDASARKAN KERUMITAN KES
16. Satu lagi faktor yang selalunya akan dinilai dan diberi perhatian oleh peguam di dalam menentukan yuran guaman adalah kerumitan atau komplikasi kes.
17. Apa maksud kerumitan atau komplikasi kes? Maksudnya, kes-kes yang melibatkan persoalan undang-undang yang rumit boleh menyebabkan kos guaman menjadi tinggi.
18. Di dalam kes-kes tertentu, walaupun amaun tuntutan yang difailkan adalah rendah, namun kos guaman boleh menjadi tinggi sekiranya tuntutan tersebut melibatkan isu-isu yang rumit.
19. Di antara faktor yang boleh menyebabkan sesuatu kes menjadi rumit adalah ketiadaan dokumen-dokumen hutang atau apa-apa bukti yang menunjukkan keberhutangan.
20. Sesuatu tuntutan hutang yang disokong oleh dokumen atau bukti keberhutangan yang lengkap dan jelas akan memudahkan proses untuk mendapatkan penghakiman berbanding tuntutan hutang berdasarkan janji mulut yang lebih rumit.
21. Di dalam sesetengah kes, sesuatu kes itu menjadi rumit apabila kesahihan atau jenis dokumen itu dicabar.
22. Keadaan ini lazimnya berlaku apabila ianya melibatkan dakwaan penipuan tandatangan, misrepresentasi, terma-terma perjanjian yang tidak jelas, perjanjian digunakan sebagai samaran (camouflage/cover) untuk sesuatu transaksi yang berbeza, perjanjian yang tidak sah atau menyalahi undang-undang dan sebagainya.
CONTOH-CONTOH CAJ PEGUAM TUNTUTAN HUTANG?
23. Kami tidak boleh memberikan sebarang contoh khusus kerana setiap peguam mempunyai kadar (rate) mereka yang tersendiri.
24. Ini kerana penilaian setiap peguam terhadap sesuatu kes mungkin akan berbeza-beza. Pengalaman peguam juga akan menjadi faktor utama di dalam menentukan kos.
25. Sesuatu kes mungkin kelihatan rumit bagi peguam yang tidak mempunyai pengalaman mengendalikan kes seumpama itu namun kes tersebut mungkin tidak akan membawa masalah kepada peguam yang mempunyai pengalaman.
26. Rencana ini hanyalah sebagai panduan untuk anda lebih memahami kenapa peguam mengenakan sesuatu amaun yuran guaman kepada anak guamnya tidak kira sama ada ianya tinggi atau rendah.
27. Oleh yang demikian, pastikan anda merujuk kepada dan berbincang dengan peguam pilihan anda (atau anda boleh menghubungi saya) sebelum membuat sebarang tindakan.
1. Kalau tuntutan hutang kurang daripada RM100,000.00, di manakah saman akan difailkan?
Secara lazimnya, tuntutan hutang yang amaunnya tidak melebihi RM100,000.00 akan difailkan di Mahkamah Majistret kerana bidang kuasa Mahkamah ini terhad sehingga jumlah tersebut.
2. Kalau tuntutan hutang lebih daripada RM100,000.00 tetapi kurang daripada RM1,000,000.00, di manakah saman akan difailkan?
Bagi tuntutan hutang yang melebihi RM100,000.00 tetapi tidak melebihi RM1,000,000.00, saman biasanya akan difailkan di Mahkamah Sesyen yang mempunyai bidang kuasa untuk jumlah tersebut.
3. Kalau tuntutan hutang lebih daripada RM1,000,000.00, di manakah saman akan difailkan?
Untuk tuntutan hutang yang melebihi RM1,000,000.00, saman akan difailkan di Mahkamah Tinggi kerana Mahkamah inilah yang mempunyai bidang kuasa untuk tuntutan amaun yang besar.
4. Bagaimana peguam membuat penilaian tentang kos guaman untuk saman tuntutan hutang?
Penilaian kos guaman biasanya bergantung kepada amaun tuntutan, mahkamah yang terlibat, kerumitan fakta dan undang-undang, jumlah dokumen yang perlu dikaji serta pengalaman peguam dalam mengendalikan kes seumpamanya.
5. Adakah kos guaman semua peguam adalah sama?
Tidak. Setiap firma dan setiap peguam mempunyai kadar yuran yang berbeza, bergantung kepada pengalaman, masa yang dijangka diambil, tahap kesukaran kes dan struktur kos operasi firma masing-masing.
Artikel berkaitan:
• Tuntut Hutang Melalui Saman: Baca di sini
• Hutang Lebih 6 Tahun – Masih Boleh Dituntut?: Baca di sini
• Tuntut Hutang dan Perjanjian Hutang: Baca di sini
_______________________

0 Pertanyaan & Jawapan
Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.