>

BICARA DALAM KAMAR - Episod 3 - PENTINGNYA NOTIS TUNTUTAN PEGUAM

notis tuntutan peguam

BICARA DALAM KAMAR - Episod3

PENTINGNYA NOTIS TUNTUTAN PEGUAM

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada pembaca dan pengunjung blog Norhafeezlaw. Saya doakan anda semua di dalam keadaan sihat walafiat. Nama saya Hafeez dan saya merupakan peguam yang mengendalikan blog ini. Siri Bicara Dalam Kamar ini saya mulakan bagi memberi ruang untuk saya berceloteh dan berkongsi pengalaman harian saya mengendalikan kes-kes sebagai seorang peguam secara santai dan padu. Harapan saya adalah agar setiap perkongsian didalam siri ini boleh memberi sentapan, manfaat, panduan, tauladan dan sempadan kepada para pembaca.

NAK BUAT TUNTUTAN

1. Beberapa minggu yang lalu, firma saya telah dilantik oleh sebuah syarikat pembinaan bumiputera untuk menguruskan tuntutan - tuntutan hutang yang masih tidak berbayar daripada beberapa buah syarikat.

2. Pihak pengurusan syarikat tersebut mahukan kami terus memfailkan saman terhadap syarikat-syarikat terbabit. Walaupun boleh berbuat demikian, saya telah menasihati anak guam agar suatu notis tuntutan dikeluarkan terlebih dahulu.

3. Saya memaklumkan kepada pihak pengurusan syarikat bahawa kadang-kadang sesuatu kes itu tidak perlu pun sampai ke peringkat saman menyaman di Mahkamah. Kadangkala ianya boleh diselesai melalui suatu notis tuntutan sahaja.

APA ITU NOTIS TUNTUTAN?

4. Apa itu Notis Tuntutan? Sebagaimana nasihat saya kepada anak guam tersebut, suatu Notis Tuntutan adalah satu notis yang dikeluarkan oleh pihak peguam bagi pihak anak guamnya dimana notis tersebut mengandungi tuntutan-tuntutan yang ingin dibuat kepada orang yang dituntut.

5. Kandungan dan tuntutan yang terkandung di dalam notis itu pula bergantung kepada fakta dan apa yang dimahukan oleh seseorang anak guam dan juga asas-asas tindakan disisi undang-undang.

6. Lazimnya suatu tempoh masa akan diberikan di dalam Notis Tuntutan tersebut dimana kegagalan untuk mematuhi tuntutan di dalam tempoh masa yang diberikan, akan menyebabkan terdapat hak-hak tertentu yang boleh dikuatkuasakan oleh orang yang menuntut.

7. Jadi sekiranya Notis Tuntutan tersebut tidak dipatuhi atau tiada respon yang diterima daripada orang yang dituntut maka hak-hak tertentu tersebut boleh dikuatkuasakan.

notis tuntutan peguam

KEPENTINGAN NOTIS TUNTUTAN

8.  Apakah kepentingan notis ini? Yang pertama, ianya penting bagi mengelakkan kes dari dibawa ke Mahkamah. Sebagaimana yang kita tahu, sekiranya sesuatu kes dibawa ke Mahkamah, banyak prosedur yang perlu dilalui sebelum sesuatu hak itu dapat dituntut. 

9. Pihak yang menuntut juga perlu berhadapan dengan risiko kes ditolak oleh Mahkamah sekiranya dokumen-dokumen tidak mencukupi atau tidak cukup kuat untuk menyokong tuntutan.

10. Kepentingan notis tersebut yang kedua adalah untuk memberi peluang kes tersebut diselesaikan dan dirundingkan dengan baik.  

11. Kepentingan notis tuntutan yang ketiga adalah ianya menjimatkan masa dan kos. Sekiranya sesuatu kes di bawa ke Mahkamah, maka kos yang perlu dikeluarkan adalah tinggi. Ianya juga akan memakan masa sekurang-kurangnya 5 ke 9 bulan bergantung kepada keadaan dan jadual Mahkamah.

12. Selepas mendengar penjelasan saya, anak guam telah bersetuju untuk mengeluarkan notis tuntutan. Kami terus mengeluarkan notis dan dihantar ke alamat syarikat-syarikat yang berhutang itu.

13. Sejurus sahaja menerima notis, kami dimaklumkan oleh anak guam bahawa terdapat syarikat yang terus menghubungi anak kami untuk membuat pembayaran penyelesaian. Nah. Notis Tuntutan tersebut telah menjalankan fungsinya dengan baik.

SAYA NAK BUAT NOTIS SENDIRI, BOLEH?

14. Bolehkah sekiranya anda mengeluarkan notis anda sendiri? Jawapannya boleh. Tapi saya menyarankan agar anda mendapatkan khidmat peguam untuk menyediakannya.

15. Kenapa? Kerana seorang peguam akan tahu komponen-komponen utama yang perlu ada dan perlu dimasukkan di dalam sesuatu notis untuk menjadikan notis tersebut bagus dan berkesan.

16. Peguam juga akan tahu tentang tatacara penyerahan sesuatu notis disisi undang-undang yang membolehkan notis tersebut digunapakai di Mahkamah.

17. Selanjutnya, secara psikologi, menerima surat daripada orang perseorangan kurang memberikan kesan sekiranya dibandingkan dengan notis daripada firma peguam. Notis daripada peguam memberikan indikasi bahawa perkara tersebut adalah serius dan tidak boleh dilengahkan.

18. Ini boleh menyebabkan orang yang dituntut itu lebih proaktif untuk membuat penyelesaian.

19. Saya pernah melihat notis-notis buatan sendiri yang cacamerba yang bukan sahaja tidak membantu menyokong tuntutan malah sekiranya digunakan boleh menyebabkan kekeliruan dan tuntutan ditolak.

20. Jadi, melainkan anda tahu komponen-komponen yang perlu ada di dalam suatu notis dan mahir dengan tatacara penyerahan notis disisi undang-undang, dapatkanlah perkhidmatan peguam untuk menyediakannya. 

bayaran peguam malaysia

Hubungi kami di 0129797494 atau menerusi email di norhafeezlaw@gmail.com atau menerusi kotak pertanyaan untuk sebarang maklumat lanjut.


0 Pertanyaan & Jawapan

Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.