>

BICARA DALAM KAMAR - Episod 7 - Anti Sexual Harassment Bill 2021

gangguan seksual malaysia, sexual harassment

BICARA DALAM KAMAR - Episod 7

RANG UNDANG-UNDANG ANTI GANGGUAN SEKSUAL 2021 (ANTI SEXUAL HARASSMENT BILL 2021)

Satu Deraf Rang Undang-Undang Anti Gangguan Seksual 2021 (Anti Sexual Harassment Bill 2021) telah dibentangkan untuk bacaan kali pertama di dalam Dewan Rakyat pada 15.12.2021 yang lalu.

1. Ini adalah satu langkah permulaan yang baik untuk menangangi gejala gangguan seksual yang berlaku di dalam negara kita.

TRIBUNAL ANTI GANGGUAN SEKSUAL

2. Apabila undang-undang ini dikuatkuasakan kelak, suatu tribunal yang dikenali sebagai Tribunal Anti Gangguan Seksual akan ditubuhkan. 

3. Tribunal yang akan dianggotai oleh tidak kurang daripada 5 anggota, yang akan terdiri daripada anggota badan kehakiman dan para peguam yang bekelayakan ini, akan mendengar kes-kes gangguan seksual yang dilaporkan, samada di tempat kerja atau selain daripadanya.

PERUNTUKAN UNDANG - UNDANG GANGGUAN SEKSUAL SEPINTAS LALU

4. Rang Undang-Undang ini mendefinisikan gangguan seksual seperti berikut:

Any unwanted conducts of a sexual nature, in any form, whether verbal, non verbal, visual, gestural or physical, directed at a person which is reasonably offensive or humiliating or is threat to his/her well being.

5. Gangguan seksual adalah apa sahaja perbuatan berbentuk seksual yang tidak diingini, di dalam apa jua bentuk, samada tuturkata, bukan tuturkata, visual, perlakuan atau fizikal yang dilakukan keatas seseorang yang dianggap sebagai menyinggung atau memalukan atau yang mengancam kesejahteraan seseorang itu.

6. Seksyen 13 (2) Rang Undang-Undang ini memperuntukkan bahawa pihak-pihak yang terlibat tidak boleh diwakili oleh peguam dan Prosiding di dalam tribunal AGS ini akan dijalankan secara tertutup selaras dengan Seksyen 14. 

7. Seksyen 16 pula memperuntukkan bahawa Tribunal AGS boleh membantu pihak-pihak untuk mencapai penyelesaian secara rundingan. 

8. Selain daripada itu Seksyen 20 memperuntukkan kuasa Tribunal AGS untuk memberikan awad seperti permohonan maaf, permohonan maaf secara terbuka, pembayaran pampasan dan perintah agar pihak yang berkenaan menghadiri program-program kesedaran yang berkaitan.

9. Sekiranya pihak yang berkaitan gagal mematuhi awad yang diberikan oleh Tribunal AGS dalam 30 hari daripada tarikh awad tersebut, pihak tersebut dianggap telah melakukan kesalahan dan boleh dikenakan denda dua kali ganda amaun pampasan yang diberikan, atau denda tidak lebih daripada RM10,000 sekiranya tiada pampasan diawadkan, atau penjara tidak lebih dari 2 tahun atau kedua-duanya sekali.

10. Sebilangan pengamal undang-undang mengkritik kandungan Rang Undang-Undang ini di atas pelbagai sebab. Namun kritikan ini pastinya adalah untuk memastikan penguatkuasaan undang-undang ini dapat dijalankan dengan baik dan berkesan.

11. Saya, sebagai seorang pengamal undang-undang, menyambut baik rang undang-undang ini namun turut sependapat dengan pendapat sebilangan peguam diluar sana, bahawa ianya boleh ditambah baik agar lebih berkesan dan tidak terbuka untuk sebarang manipulasi daripada pihak-pihak yang ingin mengambil kesempatan.

12. Walau apa pun, pengenalan undang-undang ini adalah satu langkah yang positif yang harus diberikan sokongan penuh. Diharapkan juga satu undang-undang anti buli dapat digubal bagi menangani kes buli di dalam negara ini. Sama-sama kita ikuti perkembangannya.


0 Pertanyaan & Jawapan

Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.