Seperti yang kita sedia maklum, kes - kes buli di sekolah secara khusus bukanlah sesuatu yang boleh dikompromi untuk sebarang alasan sekalipun. Ianya wajar dicegah dan dibenteras melalui apa jua cara yang dibenarkan disisi undang - undang. Sekiranya langkah lazim dilihat tidak memberi sebarang reaksi atau kesan positif maka adalah lebih daripada wajarlah untuk pihak - pihak yang terlibat di dipertanggungjawabkan dan diheret ke Mahkamah melalui saman sivil. Namun apakah langkah - langkah awal yang perlu dilakukan sebagai persediaan untuk memfailkan saman sivil ke atas mereka?
1. Sebagaimana yang kita sedia maklum melalui rencana sebelum ini, Mahkamah tertinggi negara iaitu Mahkamah Persekutuan telah mengeluarkan satu keputusan berkenaan satu kes buli yang telah difailkan oleh mangsa buli.
2. Keputusan dan dapatan daripada kes ini dapat dilihat sebagai suatu kebetulan yang keluar tepat pada masanya selaras dengan kebangkitan gelombang kemarahan masyarakat berskala nasional tentang pemergian Allahyarhamah adik Zara Qairina Mahathir yang di dakwa telah disebabkan oleh kejadian buli yang berlaku di sekolah (setakat tarikh rencana ini ditulis, masih belum ada sebarang dapatan rasmi berkenaan sebab kematian beliau).
3. Kes Mahkamah Persekutuan yang diputuskan pada tahun 2024 tersebut boleh dan wajar dijadikan rujukan oleh ibu bapa dan para pengamal undang - undang sebagai satu panduan preseden perundangan (legal precedence) yang baik sebelum memfailkan apa-apa tindakan undang - undang ke atas pihak - pihak yang terlibat.
4. Di dalam kes tersebut, saman sivil telah difailkan oleh mangsa (melalui bapa beliau) di Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Terengganu pada tahun 2017, terhadap lima pelajar yang telah membuli dan menyebabkan kecederaan kekal terhadap mangsa. Tindakan saman tersebut turut menamakan, di antara lainnya, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid dan juga Pengetua sekolah di atas kapasiti peribadi, sebagai defendan - defendan lain di dalam kes tersebut.
5. Setelah bertahun - tahun turun naik Mahkamah, daripada Mahkamah Tinggi ke Mahkamah Rayuan dan seterusnya ke Mahkamah Persekutuan bersama barisan peguam - peguam terpelajar mereka, akhirnya Mahkamah Persekutuan telah memberikan keputusan yang berpihak kepada mangsa pada tahun 2024.
6. Kami telah mengulas secara ringkas mengenai dapatan dan keputusan Mahkamah Persekutuan, yang dibarisi oleh panel tiga hakim pada ketika itu iaitu Yang Amat Arif Hakim Tan Sri Datuk Amar Abang Iskandar Abang Hashim, Yang Arif Dato' Mary Lim Thiam Suan dan Yang Arif Datuk Abdul Kadir Abdul Jalil, di dalam rencana sebelum ini.
7. Namun apakah langkah - langkah awal yang wajar dilakukan sebagai persediaan sekiranya kita mendapati anak - anak kita telah dibuli dan dicederakan di sekolah dan kita berhasrat untuk mempertimbangkan tindakan yang selayaknya?
8. Langkah pertama adalah membawa anak tersebut ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan laporan perubatan. Salinan Laporan Perubatan ini adalah penting bagi menentukan punca kecederaan yang dialami oleh anak tersebut secara klinikal dan terperinci. Sebagai tambahan, disaran mengambil gambar - gambar kesan - kesan kecederaan untuk simpanan dan rekod.
9. Langkah kedua adalah membuat aduan rasmi berkenaan kes buli dan kecederaan tersebut kepada pihak pentadbiran sekolah. Sekiranya boleh, dapatkan salinan aduan tersebut untuk simpanan dan rekod. Berikan kerjasama yang sewajarnya kepada pihak pentadbiran sekolah dan mohon untuk mendapatkan butir - butir pelajar - pelajar yang terlibat untuk urusan tindakan undang - undang kelak.
10. Langkah ketiga adalah membuat laporan kepada pihak polis. mohon untuk mendapatkan salinan laporan polis tersebut untuk simpanan dan rekod. Adakah perlu menunggu siasatan pihak pentadbiran sekolah sebelum membuat laporan polis? Tidak perlu.
11. Langkah keempat adalah mendapatkan juga butir - butir Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PK HEM) dan Pengetua sekolah yang bertugas sewaktu kejadian buli tersebut berlaku. Butir - butir ini akan digunakan sekiranya terdapat keperluan untuk menamakan individu - individu tersebut di dalam tindakan saman kelak.
12. Langkah kelima adalah mendapatkan nasihat undang - undang daripada peguam - peguam pilihan sebelum memulakan sebarang tindakan. Bawakan kesemua dokumen - dokumen yang telah disimpan sebagai rekod seperti salinan - salinan laporan perubatan, gambar - gambar kesan kecederaan, aduan kepada pihak pentadbiran sekolah, laporan polis serta butir - butir pembuli dan mana - mana pihak yang berkenaan. Mohon peguam pilihan untuk membuat penilaian dan memberi pandangan melalui sesi konsultasi.
13. Langkah keenam, berbekalkan maklumat, penilaian dan pandangan peguam, kita bolehlah membuat pertimbangan berkenaan samada ingin meneruskan tindakan saman atau sebaliknya (dibawah kausa tindakan serangan, serang sentuh, kecuaian dan seumpamanya). Dapatkan nasihat peguam pilihan berkenaan dengan kos keseluruhan dan risiko - risiko berkenaan dengan tindakan yang ingin diambil baik dari segi kes, kewangan, emosi dan seumpamanya.
14. Adakah sekiranya pembuli - pembuli tersebut di dakwa di Mahkamah untuk kes jenayah (lazimnya dibawah s.323 Kanun Keseksaan atas dakwaan dengan sengaja menyebabkan kecederaan) dan telah disabitkan kesalahan tersebut, kita perlu menarik balik saman sivil yang telah difailkan? Jawapannya tidak perlu. Saman sivil tersebut tetap boleh diteruskan walaupun pembuli - pembuli tersebut telah disabitkan kesalahan dan dijatuhkan hukuman dibawah Kanun Keseksaan.
15. Kadangkala, akan ada pihak - pihak yang akan cuba untuk memujuk agar tindakan saman tidak difailkan diatas pelbagai sebab seperti ingin menjaga nama baik pihak - pihak atau ingin menyelesaikan masalah tanpa penglibatan Mahkamah. Walau apa jua keputusan kita, ibu bapa wajar mempertimbangkan faktor bahawa sebarang tindakan yang diambil adalah semata - mata demi kepentingan anak - anak dan bukannya untuk kepentingan diri sendiri.
16. Setelah saman difailkan oleh peguam, adakah terdapat jaminan yang kita akan memenangi kes tersebut? Jawapannya, tidak. Tiada sebarang jaminan seratus peratus bahawa kita akan memenangi kes tersebut kerana sesetiap kes adalah unik dan akan dinilai berdasarkan faktanya yang tersendiri dan bukti - bukti dan keterangan - keterangan daripada kedua-dua belah pihak, baik yang menyaman atau pun yang di saman. Disinilah mengapa perlunya mendapatkan nasihat peguam berkenaan dengan risiko dan potensi sesebuah kes.
17. Bahkan, Plaintif/Perayu (mangsa) di dalam kes Mahkamah Persekutuan yang kita rujuk di dalam rencana ini pun terpaksa menghadapi gelora yang cukup besar yang mengambil masa bertahun - tahun lamanya sebelum mencapat kemenangan mutlak melalui keputusan Mahkamah Persekutuan. Plaintif memperolehi kemenangan di Mahkamah Tinggi tetapi keputusan tersebut telah di akas (reversed) di peringkat Mahkamah Rayuan pada tahun 2019.
18. Oleh yang demikian, pastikan kita mendapatkan nasihat yang sewajarnya sebelum memulakan sebarang tindakan. Kenal pasti risiko dan potensi kes. Benarkan peguam untuk menilai dahulu bukti - bukti dan memberikan pendapat yang selayaknya melalui sesi konsultasi. Laksanakan langkah - langkah ini secara berhemah dan teratur dan bukan sekadar bertanya melalui whatsapp dan mengharapkan perkhidmatan nasihat secara percuma. Hormati peguam yang anda hubungi.
Untuk sebarang maklumat lanjut berkenaan dengan rencana ini atau untuk mengatur sesi konsultasi guaman, anda boleh berhubung dengan mana-mana peguam pilihan anda, atau pun anda boleh menghubungi kami [Firma Guaman Tetuan Hafeez & Hazlina] melalui whatsapp dengan menekan imej diatas.