>

ADAKAH JMB ATAU MC BOLEH MEMFAILKAN SAMAN FITNAH?

saman malu JMB MC

ADAKAH JMB ATAU MC BOLEH MEMFAILKAN SAMAN FITNAH?

Adakah Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Perbadanan Pengurusan (MC) boleh memfailkan saman malu terhadap individu yang menyebarkan fitnah keatas mereka?

FITNAH KEATAS JMB/MC

1. Adalah menjadi satu kelaziman dewasa ini untuk berlakunya pertelingkahan di antara Badan Pengurusan sesebuah kawasan kediaman, baik Badan Pengurusan Bersama (Joint Management Bodies/JMB) atau Perbadanan Pengurusan (Management Corporation/MC) dengan pemilik-pemilik unit yang tidak sependapat.

2. Apatah lagi apabila kedua belah pihak tidak dapat mencapai satu titik pertemuan dan muafakat di dalam sesuatu isu terutamanya pengurusan kewangan badan-badan tersebut. 

3. Kadangkala individu-individu tertentu yang terlalu mengikut emosi, mengambil jalan dengan meluahkan rasa tidak puas hati mereka dengan menulis tuduhan-tuduhan terhadap badan-badan tersebut di media sosial.

4. Kadangkala tuduhan-tuduhan ini bersifat liar dan menuju kearah kenyataan-kenyataan yang bersifat fitnah terhadap pihak Badan Pengurusan.

ADAKAH BADAN PENGURUSAN BOLEH MEMFAILKAN SAMAN FITNAH?

5. Jadi persoalannya, adakah JMB atau MC boleh memfailkan saman malu terhadap individu-individu ini?

6. Persoalan undang-undang tersebut telah dikupas dengan terperinci di dalam kes Mahkamah Rayuan iaitu Amber Court Management & beberapa yang lain lwn Hong Gan Hui dan beberapa yang lain. 

7. Mahkamah Rayuan di dalam keputusannya telah memutuskan seperti yang berikut:

The powers and competence of an entity like the management corporation has to be determined by reference to express provisions of the enabling statute.

Thus in the absence of express provisions or by necessary implication from express provisions, the first plaintiff/management corporation has no locus to bring an action in defamation against the defendants.

8. Secara mudahnya, adakah sesebuah Badan Pengurusan Bersama atau Perbadanan Pengurusan boleh memfailkan saman malu? Berdasarkan kes diatas, jawapannya tidak boleh.

LOCUS STANDI BADAN PENGURUSAN

9. Apa yang dimaksudkan dengan locus standi? Secara mudahnya, ia membawa maksud kapasiti untuk membawa sesuatu tindakan dan bertindak di Mahkamah.

10. Walaupun undang-undang memberi kuasa dan kapasiti kepada sesebuah Badan Pengurusan untuk menyaman dan disaman, kuasa dan hak menyaman (dan disaman) bagi sesebuah Badan Pengurusan tersebut adalah terhad kepada kuasa dan hak yang dinyatakan di dalam akta yang berkaitan sahaja, terutamanya Akta Pengurusan Strata 2013.

11. Contohnya, Badan Pengurusan mempunyai locus standi atau kapasiti untuk memfailkan saman keatas pemilik-pemilik unit yang gagal atau enggan membayar caj penyelenggaraan.

12. Badan Pengurusan juga berhak dan mempunyai locus standi untuk memfailkan saman terhadap pihak ketiga berdasarkan apa-apa perlanggaraan kontrak yang dimasukinya bagi maksud untuk menjalankan kewajipannya sebagai sebuah badan pengurusan.

13. Kuasa ini juga termasuklah untuk memfailkan permohonan Semakan Kehakiman (Judicial Reviewterhadap pihak ketiga yang lain, untuk apa-apa isu yang melibatkan kepentingan penduduk. 

saman malu, saman fitnah 2022, JMB malu

KES MAHKAMAH RAYUAN GOVINDARAJI

14. Walaupun yang demikian, terdapat satu lagi kes di Mahkamah Rayuan, iaitu kes Govindaraji Rajaram & Ors v Wong Chew Fatt & Ors, di mana Mahkamah telah memutuskan seperti berikut:

The JMC was a creature of statute having the legal capacity to sue and be sued. Thus, the only body that could be defamed was the JMC and not the individual members of the same. It was clear that the said statements referred to the collective actions of the JMC and not the individual respondents as it was related to the exercise of statutory duties of the JMC. Therefore, a suit for defamation could not be sustained by the respondents save and except it was brought by the JMC.

15. Ayat terakhir keputusan Mahkamah Rayuan tersebut seolah-olah memberikan gambaran bahawa ahli majlis Badan Pengurusan tidak boleh memfailkan saman malu bagi pihak Badan Pengurusan, tetapi perlu difailkan oleh Badan Pengurusan itu sendiri.

16. Mahkamah didalam kes Govindaraji, walau bagaimanapun tidak memberikan perincian yang lebih mendalam berkenaan dengan isu tersebut melainkan mengesahkan prinsip bahawa ahli majlis Badan Pengurusan tidak boleh memfailkan saman fitnah di atas nama Badan Pengurusan.

MAHKAMAH PERSEKUTUAN

17. Namun yang demikian, Mahkamah Persekutuan di dalam kes Perbadanan Pengurusan Trellises & Ors v Datuk Bandar Kuala Lumpur, boleh dikatakan secara sepintas lalu telah memberikan pengesahan kepada prinsip kes Amber Court. Mahkamah Persekutuan memutuskan seperti berikut: 

We are further of the view that the decision in Amber Court is of no application to the particular facts in this appeal. The management corporation in Amber Court was seeking damages in relation to a defamation action and it was in this respect that the Court of Appeal held that the management corporation lacked the requisite locus standi, that since the allegation was that the management corporation had been personally defamed, the action should then have been initiated in the personal capacities of the individual members of the management corporation.

18. Di dalam kes Mahkamah Persekutuan tersebut, Responden cuba mencabar kapasiti beberapa Badan Pengurusan yang mengambil tindakan semakan kehakiman terhadap Responden dengan menggunakan keputusan kes Amber Court. 

19. Mahkamah Persekutuan menolak cadangan tersebut dan menyatakan kes Amber Court adalah untuk kausa tindakan fitnah manakala kes yang diputuskan di dalam Trelisses adalah untuk Semakan Kehakiman yang melibatkan kepentingan penduduk setempat.

ADAKAH AHLI MAJLIS JAWATANKUASA ATAU PERBADANAN PENGURUSAN BOLEH MEMFAILKAN SAMAN FITNAH BAGI PIHAK BADAN PENGURUSAN?

20. Bagaimana pula sekiranya ada anggota atau ahli majlis jawatankuasa atau perbadanan pengurusan yang memulakan tindakan bagi pihak badan pengurusan?

21. Mahkamah Rayuan didalam kes Amber Court diatas turut memutuskan seperti berikut:

In respect of the locus of the second to the sixth plaintiffs, a careful consideration of the Act demonstrates that the Act does not empower the council members of the management corporation with the legal capacity to institute actions in their own individual names or as council members of the management corporation.

Since the council only acts on behalf of the management corporation and its powers are restricted to any of the powers of the management corporation, the second to sixth plaintiffs have no locus to sue in defamation.

22. Mahkamah telah memutuskan bahawa ahli majlis juga tidak boleh memfailkan saman malu bagi pihak badan pengurusan.

APA YANG BOLEH DILAKUKAN SEKIRANYA BERLAKU FITNAH?

23. Apa yang boleh dilakukan adalah sekiranya fitnah tersebut dibuat terhadap ahli-ahli majlis jawatankuasa atau perbadanan pengurusan diatas kapasiti peribadi maka mereka boleh mengambil tindakan di atas kapasiti peribadi mereka sendiri.

ADAKAH BADAN PENGURUSAN BOLEH DISAMAN KERANA FITNAH? 

24. Berdasarkan beberapa kes di Mahkamah, jawapan kepada persoalan samada Badan Pengurusan boleh disaman kerana fitnah adalah ya. Badan Pengurusan boleh disaman.

Untuk membaca hak JMB/MC terhadap Defaulter, baca : 

👉 Hak JMB/MC terhadap Defaulter.

👉 Saman tunggakan bayaran maintenance.


penghakiman ingkar

Hubungi kami di 0129797494 atau menerusi email di norhafeezlaw@gmail.com atau menerusi kotak pertanyaan untuk sebarang maklumat lanjut. 


0 Pertanyaan & Jawapan

Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.