>

SYARIKAT TERKELUAR SENARAI DAFTAR SSM 2022

 syarikat keluar dari senarai daftar ssm

CARA MENGHIDUPKAN SYARIKAT YANG DIBATALKAN OLEH PENDAFTAR SYARIKAT DI TAHUN 2022

Terdapat pelbagai sebab kenapa sesebuah syarikat dibatalkan dan dibubar (striking off of companies) oleh Pendaftar Syarikat pada tahun 2022. Apa yang perlu dilakukan? Apakah cara untuk menghidupkan syarikat yang dibatalkan pendaftaran oleh Pendaftar Syarikat?

KUASA MEMOTONG NAMA SYARIKAT 

1. Akta Syarikat 2016 memberi kuasa kepada Pendaftar Syarikat untuk memotong nama mana-mana syarikat melalui seksyen 549 Akta Syarikat 2016. 

2. Pemotongan ini bermaksud, nama syarikat tersebut akan dikeluarkan daripada senarai daftar Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang seterusnya menyebabkan syarikat tersebut dibubarkan.

KENAPA NAMA SYARIKAT BOLEH DIPOTONG?

3. Pendaftar Syarikat akan membuat pemotongan nama sesuatu syarikat sekiranya Pendaftar Syarikat mendapati, di antara lainnya, bahawa syarikat tersebut telah tidak lagi beroperasi atau menjalankan aktiviti perniagaan; atau syarikat tersebut telah melanggar mana-mana peruntukan yang terkandung di dalam Akta Syarikat; atau syarikat tersebut digunakan untuk tujuan yang menyalahi undang-undang. Terdapat beberapa sebab lagi yang boleh menyebabkan syarikat memotong nama syarikat.

4. Di antara sebab yang paling lazim kenapa nama syarikat boleh dipotong dari daftar syarikat adalah kerana kegagalan syarikat untuk menyerah simpan Penyata Tahunan (Annual Report) dan/atau Penyata Kewangan yang telah diaudit (Audited Financial Report) kepada SSM.

5. Kegagalan syarikat untuk menyerah simpan dokumen-dokumen statutori (bahasa mudahnya; dokumen yang wajib disedia dan diserahkan kepada SSM mengikut Akta Syarikat) kebiasaanya menunjukkan bahawa syarikat tersebut tidak lagi aktif atau berfungsi.

5. Syarikat yang yang telah dibatalkan pendaftarannya akan dianggap bubar selepas nama syarikat tersebut dikeluarkan di dalam Warta selaras dengan ketetapan Akta Syarikat.

PROSES MEMOTONG NAMA SYARIKAT

6. Sepertimana yang kita sedia maklum, Pendaftar Syarikat boleh memotong nama syarikat daripada daftar syarikat di atas usulnya sendiri. Ini adalah selaras dengan peruntukan s.550 Akta Syarikat.

7. Suatu Notis Tentang Niat Untuk Memotong Syarikat (Notis 551) akan diserahkan kepada syarikat. Dalam tempoh 30 hari, syarikat yang menerima Notis ini perlu menjawab dan memberikan sebab kenapa syarikat tersebut tidak wajar dipotong.

8. Sekiranya syarikat gagal memberikan sebarang jawapan; suatu Pemberitahuan kepada orang awam tentang niat untuk memotong syarikat tersebut akan disiarkan mengikut cara yang ditetapkan atau difikirkan sesuai oleh Pendaftar.

9. Selepas tamat tempoh 30 hari daripada tarikh penyiaran Pemberitahuan tersebut, Pendaftar Syarikat boleh memotong syarikat tersebut sekiranya Pendaftar Syarikat:

a) menerima mengesahan bahawa syarikat tersebut telah tidak beroperasi; 

b) tidak menerima sebarang jawapan kepada Notis 551; 

c) tidak menerima sebarang bantahan terhadap Notis 551; 

d) tidak berpuas hati dengan alasan yang diberikan oleh syarikat kenapa syarikat tersebut tidak wajar dipotong. 

10. Nama syarikat tersebut selepas itu akan disiarkan didalam Warta dan seterusnya akan dianggap bubar.

hidupkan syarikat


KENAPA PERLU HIDUPKAN SYARIKAT YANG TELAH DIBATALKAN/DIBUBAR?

11. Terdapat pelbagai alasan kenapa pengarah atau anggota sesebuah syarikat ingin menghidupkan syarikat yang telah dibubarkan atau dengan erti kata lain memasukkan semula nama syarikat kedalam daftar SSM. Di antaranya, namun tidak terhad kepadanya, adalah:

a) syarikat sebenarnya masih beroperasi dan menjalankan perniagaan. Tidak boleh disangkal bahawa terdapat syarikat-syarikat yang terlepas pandang untuk menyerah simpan dokumen-dokumen statutori kepada SSM sedangkan syarikat tersebut masih menjalankan operasi.

b) terdapat peluang untuk mengembangkan perniagaan syarikat;

c) syarikat ingin diambil alih kerana syarikat tersebut mempunyai lesen-lesen perniagaan tertentu. Kadangkala untuk mendapatkan lesen tertentu yang diperlukan sebelum sesuatu syarikat boleh menjalankan perniagaan adalah rumit. Jadi terdapat syarikat-syarikat yang bertindak mengambil alih syarikat-syarikat yang telah mempunyai lesen tersebut bagi membolehkan mereka menjalankan perniagaan.

d) syarikat tersebut masih mempunyai milikan aset-aset seperti hartanah, jentera atau sebagainya. Aset-aset yang dimiliki oleh syarikat tidak boleh dijual atau dipindah milik sekiranya syarikat tersebut telah dibubarkan. Untuk membolehkan transaksi penjualan aset syarikat yang telah dibubarkan berlaku, syarikat tersebut perlu dihidupkan semula.

CARA MENGHIDUPKAN SYARIKAT (REINSTATEMENT OF COMPANIES) YANG DIBATALKAN/ DIBUBARKAN.

12. Akta Syarikat memberikan peruntukan bagi mana-mana pihak yang terkilan di atas pembatalan atau pembubaran sesuatu syarikat oleh Pendaftar Syarikat untuk memohon kemasukan semula nama syarikat ke dalam daftar SSM.

13. Tempoh masa yan diberikan kepada pihak yang ingin memohon kemasukan semula syarikat tersebut adalah 7 tahun daripada tarikh nama syarikat tersebut dibatalkan.

14. Peguam yang dilantik akan menyediakan Saman Pemula yang akan disokong oleh satu Afidavit Sokongan yang lazimnya akan ditandatangani oleh salah satu atau kesemua pengarah-pengarah syarikat tersebut.

15. Sekiranya syarikat tersebut masih lagi beroperasi maka syarikat perlu menyediakan Penyata Tahunan dan Penyata Kewangan yang telah diaudit untuk setiap tahun yang tertunggak. Dokumen-dokumen ini disarankan untuk disediakan terlebih dahulu sebelum membuat permohonan.

16. Disamping itu, pemohon yang memohon perlu berakujanji untuk membayar apa sahaja kompaun yang akan dikenakan oleh SSM di dalam tempoh yang telah ditetapkan dan juga perlu membayar kos pentadbiran SSM dan juga kos permohonan.

18. Saman Pemula tersebut akan didengarkan di hadapan Hakim di Mahkamah. Pihak SSM yang akan dinamakan sebagai pihak didalam permohonan tersebut berhak membuat apa-apa bantahan sekiranya difikirkan wajar.

19. Namun sekiranya tiada bantahan daripada pihak SSM, Mahkamah lazimnya akan membenarkan permohonan tersebut.  Syarikat seterusnya perlu menyerahkan dokumen-dokumen yang dinyatakan di atas dan juga membayar kos-kos yang terlibat di dalam tempoh masa yang dipersetujui.

syarikat dibatalkan

syarikat dibubarkan syarikat dibatalkan


0 Pertanyaan & Jawapan

Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.