>

BICARA DALAM KAMAR - Episod 11 - Saman Remeh

saman sivil, saman remeh, saman malu
 

BICARA DALAM KAMAR - Episod 11

SAMAN REMEH?

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada pembaca dan pengunjung blog Norhafeezlaw. Saya doakan anda semua di dalam keadaan sihat walafiat. Nama saya Hafeez dan saya merupakan peguam yang mengendalikan blog ini. Siri Bicara Dalam Kamar ini saya mulakan bagi memberi ruang untuk saya berceloteh dan berkongsi pengalaman harian saya mengendalikan kes-kes sebagai seorang peguam secara santai dan padu. Harapan saya adalah agar setiap perkongsian didalam siri ini boleh memberi sentapan, manfaat, panduan, tauladan dan sempadan kepada para pembaca.

KES-KES YANG MELUCUKAN

1. Saya menerima mesej dan panggilan daripada pelbagai lapisan masyarakat hampir saban hari. Rata-ratanya mahu bertanya persoalan-persoalan melibatkan undang-undang dan melantik peguam.

2. Tidak boleh tidak, kadang-kadang saya juga menerima pertanyaan-pertanyaan yang menggeletek dan menggelikan hati saya. Saya mudah terhibur, ya saya mengaku.

JANGAN PANGGIL DIA PAKCIK

3. Salah satu daripadanya adalah pada awal tahun ini. Saya menerima pertanyaan serius daripada seorang jejaka budiman daripada selatan tanah air.

4. Beliau ingin bertanya tentang saman malu. Ingin menyaman orang lah hematnya. Saya seperti biasa, akan bertanya dahulu secara ringkas, kenapa jejaka budiman itu ingin mengambil tindakan.

5. Beliau memaklumkan kepada saya bahawa beliau ingin menyaman seseorang kerana memanggilnya dengan gelaran pakcik. Dia tidak berpuas hati kerana pada beliau, umurnya masih muda dan tidak sepatutnya dipanggil pakcik. Umur beliau dalam 50an.

SAMAN BIAR BERBALOI

6. Walaupun ianya menggelikan hati saya tetapi saya menjawab setiap pertanyaan yang ditujukan kepada saya dengan serius, termasuklah pertanyaan jejaka budiman ini.

7. Kadang-kadang sebab-sebab seseorang itu tidak berpuas hati dan ingin mengambil tindakan, mungkin agak kelakar bagi kita, tapi baginya ianya adalah sesuatu yang serius. Lantaran itu, saya melayan soalan beliau dengan serius dan terus terang.

8. Bukan semua keadaan kita harus mengambil tindakan Mahkamah. Perkara pertama yang perlu dinilai adalah samada kita mempunyai kausa tindakan yang sah di sisi undang-undang.

9. Apa maksud kausa tindakan? kausa tindakan, secara mudahnya adalah sebab untuk mengambil tindakan.

FIKIR SEBELUM SAMAN

10. Saya sentiasa menyarankan sesiapa sahaja yang ingin mengambil tindakan agar menilai dan memikirkan kesan tindakan tersebut sedalam-dalamnya.

11. Sekiranya kausa tindakan itu tidak diiktiraf disisi undang-undang, maka itulah yang akan saya beritahu kepada mereka yang bertanya.

12. Apa jua tindakan, lebih-lebih lagi yang melibatkan Saman, Peguam dan Mahkamah, tidak boleh dibuat mengikut emosi dan perasaan. Pemikiran yang rasional amatlah diperlukan.

KES REMEH BOLEH DIBATALKAN

13. Berbalik kepada kes jejaka budiman yang ingin menyaman seseorang kerana memanggilnya Pakcik tadi, saya memaklumkan kepada beliau bahawa kes tersebut mempunyai potensi untuk dibatalkan.

14. Kenapa? Kerana ianya termasuk didalam tindakan yang dianggap remeh temeh. Ya, undang-undang memperuntukkan bahawa saman yang isunya remeh-temeh, boleh dibatalkan begitu sahaja.

15. Ianya bukan untuk memperkecilkan perasaan jejaka budiman tersebut, tetapi sekiranya saman remeh sebegini tidak dibendung, maka jadual Mahkamah akan dipenuhi dengan kes-kes yang sebegini dan akan memberikan impak kepada orang lain yang benar-benar mempunyai kausa tindakan yang sah disisi undang-undang.

16. Oleh yang demikian, sebelum kita ingin menyaman seseorang, dapatkan dahulu pandangan peguam samada anda benar-benar mempunyai kausa tindakan yang sah ataupun tidak.

TAULADAN

i. Rujuk dahulu peguam sebelum memulakan tindakan.

ii. Jangan mengambil tindakan dengan emosi. Fikir secara rasional.

iii. Jika tidak mahu dipanggil pakcik, jadilah muda. 

0 Pertanyaan & Jawapan

Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.