>

APA ITU SEPARATE LEGAL ENTITY?

apa itu separate legal entity dalam undang-undang malaysia

Rencana ini akan mengupas secara ringkas berkenaan dengan konsep undang-undang syarikat yang dikenali sebagai Entiti Undang-Undang Berasingan ataupun Separate Legal Entity serta hak-hak dan tanggungjawab sesebuah syarikat berbanding dengan pemilik atau pemegang syernya. 

Konsep ini adalah sesuatu yang sangat penting untuk difahami sekiranya anda mempunyai atau berurusan dengan sebuah syarikat berhad atau sendirian berhad.  

APA ITU SEPARATE LEGAL ENTITY?

1. Konsep separate legal entity atau entiti undang-undang yang berasingan merujuk kepada prinsip yang membolehkan sesebuah syarikat itu dianggap sebagai entiti yang berasingan dari pemiliknya. 

2. Dalam konteks undang-undang di Malaysia, konsep ini diterapkan melalui Seksyen 20 Akta Syarikat 2016, di mana syarikat didaftarkan dibawah Akta Syarikat adalah dianggap mempunyai personaliti undang-undang (legal personality) yang berasingan dari pemiliknya.

APAKAH PULA LEGAL PERSONALITY?

3. legal personality atau personaliti undang-undang, secara mudahnya merujuk kepada hak sesebuah entiti untuk diiktiraf sebagai individu yang mempunyai keperibadian undang-undang tersendiri. 

4. Ini membolehkan entiti seperti badan kerajaan dan syarikat khususnya mendapat perlindungan undang-undang dan menjalankan hak-hak dan tanggungjawabnya disisi undang-undang secara terpisah daripada pemilik atau anggotanya.

MEMAHAMI SEPARATE LEGAL ENTITY

5. Prinsip Separate Legal Entity membawa maksud bahawa sesebuah syarikat itu mempunyai keberadaan atau wujud secara berasingan daripada pemiliknya. 

6. Ini bermakna sesebuah syarikat itu mempunyai hak-hak, tanggungjawab, kewajipan dan keupayaan yang berasingan (separate) daripada pemilik syarikat. 

7. Oleh itu, walaupun syarikat itu dimiliki sepenuhnya oleh individu atau sekumpulan individu, syarikat tersebut dianggap sebagai entiti yang berasingan yang mempunyai hak-hak dan kewajipannya yang tersendiri.

CONTOH PERBEZAAN HAK DI ANTARA SYARIKAT DAN PEMILIK SYARIKAT.

8. Contoh yang mudah untuk memahami prinsip Separate Legal Entity di Malaysia adalah seperti berikut:

(a) Tanggungjawab Syarikat: Syarikat mempunyai tanggungjawab dan kewajipan yang berasingan daripada pemiliknya. 

Ini bermakna jika syarikat berada dalam keadaan yang tidak dapat membayar hutang, pemilik tidak akan dipertanggungjawabkan terhadap hutang tersebut secara peribadi. 

Sebaliknya, hutang syarikat tersebut hanya boleh dituntut daripada aset syarikat dan pemilik tidak akan ditanggungkan dengan sebarang tanggungjawab peribadi.

(b) Pemilikan Saham: Pemilikan sesebuah syarikat dimiliki melalui pemilikan saham dan bukannya secara langsung oleh pemilik. 

Ini bermakna pemilik tidak mempunyai tanggungjawab terhadap keputusan yang dibuat oleh syarikat kecuali melalui hak undian mereka sebagai pemegang saham sahaja.

(c) Penubuhan Syarikat: Syarikat perlu didaftarkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan diberikan status sebagai entiti undang-undang yang berasingan. 

Ini bermakna syarikat mempunyai hak untuk memulakan dan menjalankan perniagaan secara sah di bawah undang-undang Malaysia.

(d) Perolehan Aset: Syarikat boleh memiliki aset sendiri seperti tanah, bangunan, kenderaan ataupun saham di dalam syarikat lain, dan boleh menjual aset-aset yang dimilikinya. 

Pemilik tidak mempunyai hak langsung terhadap aset syarikat tersebut, dan tidak bebas atau mempunyai hak untuk menggunakan atau menjual aset-aset tersebut dengan sendiri tanpa persetujuan syarikat.

(e) Perlindungan Undang-Undang: Syarikat dilindungi oleh undang-undang dan dapat menuntut ganti rugi dalam keadaan tertentu. 

Ini bermakna, sesebuah syarikat itu mempunyai kapasiti untuk menyaman dan juga disaman di Mahkamah.

Jika terdapat pihak yang melakukan kesalahan terhadap syarikat, pemilik tidak akan dituntut secara peribadi. Sebaliknya, syarikat boleh menuntut dan menerima ganti rugi dari pihak yang bertanggungjawab.

_________________________


Penafian: Rencana ini diterbitkan dengan tujuan untuk kesedaran dan pengetahuan umum. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam rencana ini tidak boleh dijadikan panduan untuk memulakan tindakan undang-undang secara sendirian, tanpa terlebih dahulu merujuk kepada seorang peguam yang berpengalaman.

Untuk sebarang maklumat lanjut berkenaan dengan rencana ini atau untuk mengatur sesi konsultasi guaman, anda boleh berhubung dengan mana-mana peguam pilihan anda, atau pun anda boleh menghubungi kami melalui whatsapp dengan menekan imej dibawah.

0 Pertanyaan & Jawapan

Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.