>

Bila Seseorang Boleh Diisytihar Muflis di Malaysia?

muflis dan kebankrapan

Bila Seseorang Boleh Diisytihar Muflis di Malaysia?

Ramai orang bertanya: "Bila seseorang boleh diisytihar muflis di Malaysia?" Jawapannya mudah — apabila seseorang gagal membayar hutang yang melebihi RM100,000.00 dan pemiutang sudah memulakan proses samn melalui Mahkamah dan telah berjaya mendapatkan Penghakiman untuk amaun yang terhutang tersebut. Dalam artikel ini, kita akan terangkan secara ringkas tetapi padat tentang proses, syarat, dan kesannya.

Syarat Utama: Hutang Melebihi RM100,000

Menurut Akta Insolvensi 1967, seseorang boleh diisytiharkan muflis jika jumlah hutangnya adalah RM100,000.00 atau lebih dan hutang tersebut adalah hutang yang boleh dituntut melalui proses undang-undang (contohnya: hutang kad kredit, pinjaman peribadi, atau pembiayaan kenderaan).

Lazimnya, mereka yang terdedah kepada risiko kebankrapan ialah individu yang gagal membayar balik pinjaman dari institusi kewangan seperti bank atau hutang pinjaman peribadi. 

Saman akan difailkan keatas mereka terlebih dahulu dan apabila pemiutang berjaya mendapatkan Penghakiman, dan amaun penghakiman itu gagal dibayar mengikut tempoh waktu yang ditetapkan, maka pemiutang akan memulakan prosiding kebankrapan melalui pemfailan Notis Kebankrapan.

Notis Kebankrapan

Notis Kebankrapan ialah satu notis rasmi yang dikeluarkan oleh pemiutang kepada penghutang lazimnya selepas pemiutang berjaya mendapatkan penghakiman terhadap penghutang, di mana menerusi notis ini pemiutang menuntut agar bayaran penuh dibuat dalam masa 7 hari. Notis ini bolehlah dianggap sebagai amaran terakhir sebelum Petisyen Kebankrapan difailkan.

  • Ia lazimnya akan diserahkan kepada penghutang secara serahan tangan atau melalui pengiklanan di surat khabar jika penghutang tidak dapat dikesan.
  • Jika penghutang gagal bertindak dalam tempoh yang ditetapkan, pemiutang boleh teruskan dengan langkah seterusnya — iaitu memfailkan Petisyen Kebankrapan.

Petisyen Kebankrapan

Petisyen Kebankrapan secara mudahnya ialah permohonan ke Mahkamah Tinggi untuk mengisytiharkan seseorang sebagai muflis. Ia difailkan selepas Notis Kebankrapan tamat tempoh dan tiada bayaran diterima.

Petisyen ini akan didengar di Mahkamah. Jika penghutang gagal membela diri atau hadir ke Mahkamah, maka Mahkamah boleh mengeluarkan satu Perintah Kebankrapan.

Kesan Diisytiharkan Muflis

Sebaik sahaja Perintah Kebankrapan dikeluarkan, individu berkenaan akan berdepan beberapa sekatan dan implikasi undang-undang, antaranya:

  • Tidak boleh memiliki atau membeli aset atas nama sendiri.
  • Tidak boleh ke luar negara tanpa kebenaran Jabatan Insolvensi Malaysia.
  • Akaun bank boleh dibekukan.
  • Tidak boleh memegang jawatan pengarah syarikat.
  • Perlu melapor diri dan memberi maklumat harta kepada Jabatan Insolvensi.

Kesimpulan

Diisytihar muflis bukan penamat hidup, tetapi ia akan menyusahkan anda dalam banyak urusan kewangan dan sosial. Jika anda menerima Notis Kebankrapan, segeralah mendapatkan nasihat guaman. Tindakan awal boleh membantu anda menyelesaikan masalah hutang tanpa perlu melalui kebankrapan.

_______________________

tipu tanah, tipu pejabat tanah

Penafian: Rencana di dalam Norhafeezlaw[dot]com ini diterbitkan dengan tujuan untuk kesedaran dan pengetahuan umum. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam rencana ini tidak boleh dijadikan panduan untuk memulakan tindakan undang-undang secara sendirian, tanpa terlebih dahulu merujuk kepada seorang peguam yang berpengalaman. 

Untuk sebarang maklumat lanjut berkenaan dengan rencana ini atau untuk mengatur sesi konsultasi guaman, anda boleh berhubung dengan mana-mana peguam pilihan anda, atau pun anda boleh menghubungi kami [Firma Guaman Tetuan Hafeez & Hazlina] melalui whatsapp dengan menekan imej diatas.

0 Pertanyaan & Jawapan

Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.