>

KOS GUAMAN? JENIS-JENIS CAJ DAN KOS BAYARAN PEGUAM.

kos bayaran peguam

 JENIS BAYARAN KEPADA PEGUAM

Perkara yang paling merisaukan seseorang sebelum bertemu dengan seorang peguam adalah berkenaan dengan bayaran peguam yang akan dikenakan. Ada peguam yang mengenakan bayaran yang mahal dan ada juga yang mengenakan bayaran yang tidak terlalu tinggi. Namun apakah jenis-jenis bayaran kepada peguam? 

2. Apabila anda berhasrat untuk melantik khidmat seorang peguam. anda perlu tahu dan bersedia untuk membayar jenis- jenis bayaran peguam yang perlu dibayar bagi memastikan apa yang anda bayar itu bertepatan dengan khidmat peguam yang anda perolehi.

JENIS BAYARAN KEPADA PEGUAM

3. Secara lazimnya, anda perlu tahu bahawa bayaran yang perlu dibuat kepada sesebuah firma guaman ataupun kepada seseorang peguam yang mengendalikan kes anda terbahagi kepada 3 jenis.

  • i. Yuran Guaman
  • ii. Yuran Penyelenggaraan/Belanja Hangus
  • iii. Cukai Perkhidmatan 


  i) YURAN GUAMAN

4. Ini adalah bayaran yang sering kita dengar. Yuran Guaman ataupun "legal fees" adalah bayaran ataupun upah kepada peguam untuk menjalankan tindakan bagi pihak anak guam. 
 
5. Ianya termasuklah upah untuk membuka fail, meneliti dokumen, memberikan nasihat undang-undang dan apa sahaja tindakan peguam yang memerlukan kepakaran dan kefahaman peguam berkenaan dengan undang-undang.

6. Yuran Guaman bagi sesuatu kes sivil sebagai contoh, tidak dikawal selia secara khusus oleh undang-undang. Ianya berbeza dengan yuran guaman bagi sesuatu kes pembelian hartanah, sebagai contoh, yang dikawal selia oleh Kaedah-Kaedah/Perintah Saraan Peguamcara 2016. 
 
7. Yuran Guaman untuk kes Hartanah, terdapat formula yang perlu diikuti oleh peguam dan beliau tidak dibenarkan untuk mengenakan yuran sesuka hati ataupun memberikan diskaun melebihi kadar yang ditetapkan. 

8. Ini bermakna yuran guaman untuk kes-kes sivil, jenayah, korporat atau syariah adalah bergantung kepada budi bicara, perbincangan dan persetujuan di antara peguam dengan anak guam.

9. Budibicara untuk menetapkan kadar Yuran Guaman sesuatu kes sivil ataupun jenayah, sebagai contoh, selalunya bergantung, di antara lainnya, kepada i) kemahiran dan pengalaman peguam ii) jenis dan tahap kerumitan kes iii) jenis dan jumlah dokumentasi iv) masa yang diperlukan dan v) bidangkuasa Mahkamah.

10. Sebagai contoh, sesebuah kes yang difailkan di Mahkamah Tinggi selalunya memerlukan yuran guaman yang tinggi berbanding dengan kes-kes di Mahkamah Majistret dan Sesyen. 

11. Kes-kes yang melibatkan fakta yang rumit, dokumen yang banyak dan kemahiran serta pengalaman yang tinggi juga kadangkala memerlukan yuran yang lebih tinggi.

fi peguam

ii) YURAN PENYELENGGARAAN/BELANJA HANGUS

12. Yuran Penyelenggaraan ataupun belanja hangus adalah bayaran yang dikenakan keatas anak guam, selalunya, bagi menampung kos-kos pemfailan di Mahkamah termasuklah kos-kos yang perlu dikeluarkan oleh peguam samada kepada Mahkamah atau pihak ketiga (Jabatan Insolvensi atau Jabatan Pendaftaran Negara sebagai contoh) bagi maksud menguruskan kes-kes bagi pihak anak guam.

13. Yuran Penyelenggaraan adalah berbeza dengan Yuran Guaman kerana, di mana Yuran Guaman adalah upah untuk menjalankan kes bagi pihak anak guam, Yuran Penyelenggaraan adalah "out of pocket expenses" ataupun belanja hangus yang selalunya didahulukan oleh peguam bagi pihak anak guam mereka dan akan dibilkan kemudian.

14. Kos-kos untuk belanja hangus ini selalunya telah ditetapkan, samada oleh Mahkamah atau mana-mana institusi yang berurusan dengan seseorang peguam itu.

15. Bagi membolehkan sesuatu kes itu diuruskan dengan lancar, kos-kos penyelenggaraan atau belanja hangus ini memang tidak dapat dielakkan.

iii) CUKAI PERKHIDMATAN

16. Cukai perkhidmatan yang dikenakan oleh Kerajaan. Setakat rencana ini ditulis Cukai Perkhidmatan SST yang dikenakan oleh kerajaan adalah pada kadar 6%. Cukai Perkhidmatan ini selalunya akan dikira berdasarkan jumlah Yuran Guaman yang dikenakan.

17. Adalah amat penting bagi seseorang anak guam untuk memahami jenis-jenis bayaran guaman yang perlu dibuat bagi mengelakkan sebarang salah faham di antara anak guam dengan peguamnya apabila menerima bil kelak. 
 
18. Pada kebiasaannya, sebutharga yang diberikan oleh seseorang peguam hanya meliputi Yuran Guaman dan tidak termasuk Yuran Penyelenggaraan dan Cukai Perkhidmatan. 

19. Dapatkan perincian yang jelas daripada peguam anda berkenaan anggaran kos bagi setiap satu bayaran-bayaran yang perlu dikeluarkan.

20. Ini adalah bagi membolehkan anda merangka perbelanjaan untuk kes anda dan supaya anda tidak dikejutkan dengan bil-bil yang dihantar oleh peguam anda.

21. Sekiranya amaun yuran guaman telah dipersetujui, buatlah bayaran di dalam tempoh masa yang telah ditetapkan oleh peguam anda untuk mengelakkan sebarang masalah berhubung dengan fail anda di Mahkamah. 
 
22. Kegagalan membuat bayaran boleh menyebabkan peguam tidak dapat meneruskan perkhidmatannya bagi pihak anda, ataupun kelewatan untuk melakukan tindakan yang sepatutnya dilakukan dan menahan akses terhadap sebarang dokumen di dalam simpananya sehinggalah baki yuran guaman dijelaskan. 

bayaran peguam malaysia

Cara untuk memfailkan saman tuntutan kecil tanpa peguam? Baca disini: https://www.norhafeezlaw.com/2021/10/saman-tuntutan-kecil.html


_________________________


Penafian: Rencana ini diterbitkan dengan tujuan untuk kesedaran dan pengetahuan umum. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam rencana ini tidak boleh dijadikan panduan untuk memulakan tindakan undang-undang secara sendirian, tanpa terlebih dahulu merujuk kepada seorang peguam yang berpengalaman.

Untuk sebarang maklumat lanjut berkenaan dengan rencana ini atau untuk mengatur sesi konsultasi guaman, anda boleh berhubung dengan mana-mana peguam pilihan anda, atau pun anda boleh menghubungi kami melalui whatsapp dengan menekan imej diatas.

2 Pertanyaan & Jawapan

  1. Salam. Jika saya perlukan khidmat peguam hadir sama ketika sesuatu pertemuan, berapakah anggaran yuran guaman yang dikenakan?

    BalasPadam

Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.