>

SAMAN TUNTUTAN KECIL

saman tuntutan kecil

SAMAN TUNTUTAN KECIL & CARA MEMFAILKANNYA.

Adakah anda tahu bahawa anda boleh memfailkan Saman Tuntutan Kecil tanpa perlu melibatkan peguam? Apakah yang dimaksudkan dengan Tuntutan Kecil? Dimana pula Mahkamah Tuntutan Kecil? Apakah jenis-jenis dokumen atau borang tuntutan kecil yang diperlukan untuk anda memulakan tindakan? 

1. Sepertimana yang kita sedia maklum (atau belum maklum), undang-undang memberikan peruntukan kepada pihak untuk ingin memulakan tindakan untuk menuntut tuntutan yang dinamakan sebagai tuntutan kecil. 

APA ITU SAMAN TUNTUTAN KECIL?

2. Apakah yang dimaksudkan dengan tuntutan kecil? Secara lazimnya sesuatu tuntutan akan dianggap sebagai tuntutan kecil sekiranya amaun pertikaian ataupun tuntutan itu adalah untuk suatu nilai yang tidak lebih daripada RM5,000.00. Ini adalah syarat utama yang perlu dipenuhi sebelum memfailkan tindakan di Mahkamah Tuntutan Kecil.

MAHKAMAH TUNTUTAN KECIL

3. Apa itu Mahkamah Tuntutan Kecil? Mengikut Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012, prosiding untuk sesuatu tuntutan kecil akan dijalankan di Mahkamah Majistret. Jadi Mahkamah Tuntutan Kecil adalah mana-mana Mahkamah Majistret di seluruh Malaysia.

TIADA PERWAKILAN PEGUAM

4. Sesuatu prosiding tuntutan kecil hendaklah dimulakan sendiri oleh orang yang ingin menuntut dan beliau tidak boleh diwakili oleh peguam. Begitu juga orang yang dituntut, apabila beliau ingin mencabar sesuatu tuntutan kecil, beliau hendaklah mewakili diri sendiri dan tidak boleh diwakili oleh peguam. Pihak yang boleh diwakili peguam hanyalah badan korporat termasuk pertubuhan, yayasan dan seumpamanya.

CARA MEMBUAT TUNTUTAN KECIL

Maklumat Penting Tuntutan Kecil

5. Bagaimana cara untuk memulakan Saman Tuntutan Kecil? Pertama sekali pastikan anda mempunyai maklumat-maklumat penting seperti nama penuh, nombor kad pengenalan dan alamat terakhir orang yang ingin anda tuntut atau Defendan. Anda juga perlu pastikan bahawa amaun tuntutan hendaklah tidak lebih daripada RM5,000.00. Maklumat-maklumat ini hendaklah tepat.

Kronologi Peristiwa

6. Selepas daripada itu, adalah disarankan anda menyediakan satu kronologi peristiwa. Kronologi ini hendaklah dilengkapi dengan tarikh-tarikh serta butir-butir terperinci permulaan hubungan diantara Plaintif dan Defendan dan peristiwa-peristiwa yang membawa kepada pertikaian yang berlaku.

7. Kronologi ini tidak akan difailkan ke Mahkamah, cuma dengan adanya kronologi ini, ia akan memudahkan Plaintif membuat rujukan apabila menderafkan dan melengkapkan dokumen-dokumen dan borang-borang tuntutan kecil yang diperlukan kelak.

Borang 198 Tuntutan Kecil

8. Selepas itu, anda perlu mendapatkan borang tuntutan kecil. Borang tuntutan kecil ini dinamakan Borang 198. Kesemua maklumat-maklumat seperti nama, nombor kad pengenalan dan alamat Defendan perlu dimasukkan kedalam borang tuntutan kecil dan kronologi peristiwa, amaun dan butir-butir tuntutan yang disediakan tadi perlu dimasukkan kedalam bahagian Pernyataan Tuntutan Borang Tuntutan Kecil tadi.

9. Selepas anda melengkapkan Borang 198, anda perlu buat 5 salinan Borang tadi dan setiap satunya hendaklah ditandatangan.

Pemfailan borang

10. Anda perlu hadir ke kaunter pendaftaran Mahkamah dan serahkan 4 salinan Borang 198 tadi untuk tujuan pemfailan. Anda perlu membuat pembayaran terhadap pemfailan tersebut jadi jangan lupa untuk membawa wang.

11. Selepas pembayaran dibuat dan borang anda diproses, sesalinan yang borang yang telah diproses tersebut hendaklah diserahkan kepada Defendan.

saman tuntutan kecil di mahkamah


Penyerahan Saman Tuntutan Kecil

12. Terdapat dua cara untuk menyerahkan Borang tersebut kepada Defendan. Yang pertama secara serahan tangan atau yang dikenali sebagai penyerahan secara kediri. 

13. Anda perlu jumpa Defendan dan serahkan borang tersebut secara bersemuka. Minta Defendan untuk mengesahkan penerimaan dengan menandatangani surat iringan atau salinan borang dengan nama dan tarikh penerimaan borang tersebut.

14. Cara penyerahan kedua adalah secara Pos Berdaftar Pra Bayar atau yang dikenali sebagai Penyerahan secara Pos Berdaftar. Borang tersebut boleh diposkan dan resit pra bayar daripada Pos Malaysia hendaklah anda simpan. Resit pra bayar ini akan digunakan sebagai bukti penyerahan kelak.

Afidavit Penyampaian

15. Setelah borang tuntutan kecil dapat diserahkan, anda hendaklah memfailkan satu dokumen dipanggil Afidavit Penyampaian. 

16. Afidavit Penyampaian adalah dokumen yang menunjukkan bukti bahawa Borang tersebut telah diserahkan kepada Defendan. Surat iringan atau salinan borang yang mengandungi pengesahan penerimaan daripada Defendan tadi ataupun resit pra bayar Pos Malaysia tadi akan dijadikan sebagai ekshibit atau bukti penyampaian.

17. Afidavit Penyampaian ini hendaklah ditandatangani dan diikrarkan dihadapan seorang pesuruhjaya sumpah. Salinan yang diikrarkan hendaklah difailkan ke Mahkamah sebelum tarikh yang ditetapkan untuk bicara.

Penghakiman

18. Sekiranya di dalam tempoh masa yang ditetapkan oleh Kaedah Mahkamah, Defendan tidak memfailkan kehadiran dan pembelaan, maka Plaintif boleh lah memfailkan dokumen-dokumen yang dikenali sebagai Perakuan Ketidakhadiran dan Borang 201 iaitu Penghakiman Ingkar.

19. Sekiranya Defendan telah memfailkan pembelaan namun tidak hadir pada hari yang telah ditetapkan untuk bicara, maka Penghakiman di dalam Borang 202 bolehlah difailkan terhadap Defendan.

20. Sekiranya Defendan telah memfailkan pembelaan dan hadir pada tarikh bicara, Mahkamah akan memberikan keputusan dan penghakiman boleh difailkan melalui borang 207.

21. Sekiranya anda memerlukan penjelasan lanjut dan ingin mendapatkan salinan borang-borang dan dokumen-dokumen yang berkenaan serta panduan mengisi borang dan dokumen berserta tatacara prosiding yang terkait, anda boleh berhubung dengan saya melalui whatsapp.

saman tuntutan kecil

Peringatan - Rencana ini adalah untuk tujuan pendidikan dan kesedaran semata-mata. Rencana ini tidak boleh dijadikan asas kepada apa-apa tindakan undang-undang secara persendirian tanpa terlebih dahulu merujuk kepada mana-mana peguam atau pegawai mahkamah yang lebih arif. Setiap keperluan dan ketetapan Mahkamah mungkin berbeza-beza mengikut kesesuaian dan kes dan Mahkamah mempunyai budibicara untuk membuat sebarang arahan mengikut kesesuaian dan kes.

6 Pertanyaan & Jawapan

  1. Adakah saya boleh buat saman tuntutan kecil ini untuk orang yang tidak bayar topup? Jumlahnya jika dihitung melebihi RM1000 juga.

    BalasPadam
  2. Contoh:
    Hutang Sewa = RM4500
    Hutang Utiliti bil =RM100
    Total Hutang =RM5500

    Boleh ke buat 2 tuntutan berasingan sbb jumlah lebih dri RM5000?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Di bawah satu perjanjian, setahu saya tidak boleh.

      Padam
  3. biasa peluang untuk mendapatkan kembali hutang tu berjaya atau tidak..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Lazimnya ada peluang yang baik namun ianya bergantung kepada kes dan juga pihak-pihak yang terlibat.

      Padam

Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.