>

SAMAN GANGGUAN SEKSUAL

gangguan seksual saman

TINDAKAN TERHADAP GANGGUAN SEKSUAL

Gangguan seksual adalah isu yang tidak boleh dipandang ringan. Bukan sahaja ianya adalah satu kesalahan yang boleh diambil tindakan melalui undang-undang pekerjaan malah ianya juga boleh didakwa sebagai satu kesalahan jenayah dan turut boleh diambil tindakan melalui tuntutan sivil. Apa itu gangguan seksual? Apakah tindakan yang boleh diambil terhadap gangguan seksual?

GANGGUAN SEKSUAL DARI SUDUT UNDANG-UNDANG JENAYAH

2. Bagi kes-kes gangguan seksual secara umum, ianya adalah merupakan satu kesalahan jenayah.  Peruntukan undang-undang yang relevan adalah seksyen 509 Kanun Keseksaan yang menyatakan seperti berikut:

 s.509              Barang siapa dengan maksud hendak mengaibkan kehormatan seseorang, menyebut apa-apa perkataan, membuat apa-apa bunyi atau isyarat, atau menunjukkan apa-apa benda, dengan maksud supaya perkataan atau bunyi itu didengar, atau supaya isyarat atau benda itu dilihat oleh seseorang itu, atau mengganggu kesantunan seseorang itu, hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai lima tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya.

3. Peruntukan ini bertujuan untuk melindungi kerhomatan dan kesucian (modesty and chastity) seseorang. Intipati utama disini adalah niat untuk mengaibkan kehormatan seseorang itu dan perbuatan tersebut dilakukan dengan menyebut apa-apa perkataan, membuat apa-apa bunyi atau isyarat atau menunjukkan apa-apa benda, dengan maksud supaya perkataan atau bunyi itu didengar, atau supaya isyarat atau benda itu dilihat oleh seseorang itu, atau mengganggu kesantunan seseorang itu.

4. Selain itu, langkah wajar dan utama yang perlu dilakukan oleh seseorang yang mendakwa bahawa beliau telah mengalami gangguan seksual adalah membuat laporan kepada pihak polis.

5. Seseorang yang disabitkan kesalahan kerana melakukan gangguan seksual boleh dihukum penjara sehingga 5 tahun ataupun denda ataupun kedua-duanya sekali. 

GANGGUAN SEKSUAL DARI SUDUT UNDANG-UNDANG SIVIL

6. Selain ianya suatu kesalahan jenayah, Mahkamah di Malaysia juga telah mengiktiraf gangguan seksual sebagai suatu tindakan sivil yang boleh di ambil tindakan melalui undang-undang Tort. 

7. Ini adalah sebagaimana yang telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan di dalam kes Mohd Ridzwan Abdul Razak v Asmah Hj Mohd Nor [2016] 4 mlj 282. Mahkamah Persekutuan telah memutuskan seperti berikut:

After taking into consideration the above cases, empirical studies, and our personal researches, the recognisable hallmarks of sexual harassment are that they are unwelcome, taking the form of verbal and even physical, which include sexual innuendos, comments and remarks, suggestive, obscene or insulting sounds, implied sexual threats, leering, oogling, displaying offensive pictures, making obscene gestures etc. These overtures all share similar traits, in that they all have the air of seediness and cause disturbance or annoyance to the victim (short of a recognised psychiatric illness or physical harm) 

8. Mahkamah Persekutuan di dalam kes tesebut juga menyatakan bahawa elemen sesuatu gangguan seksual itu adalah apabila terdapatnya kewujudan,  desakan dan tingkah laku yang tidak munasabah serta menindas,  ditujukan kepada orang lain , diniatkan untuk menyebabkan kecemasan, ketakutan dan kebimbangan kepada orang tersebut. 

9. Perlakuan ini dipenuhi dengan ciri-ciri seksual seperti yang ditunjukkan oleh kata-kata lisan lucah dan kesangsian berterusan yang diucapkan oleh pengganggu, yang berakhir di mana mangsa memaparkan tanda-tanda penderitaan emosi, kejengkelan dan kemurungan mental akibat kepada kecemasan, ketakutan dan kebimbangan. 

10. Oleh yang demikian, mangsa turut mempunyai pilihan untuk memfailkan tindakan sivil keatas individu yang di dakwa melakukan gangguan seksual ke atas beliau dan menuntut gantirugi yang akan ditaksirkan oleh Mahkamah.

undang undang gangguan seksual

GANGGUAN SEKSUAL DARI SUDUT UNDANG-UNDANG PEKERJAAN

11. Dari sudut undang-undang pekerjaan pula, Seksyen 2 (g) Akta Kerja 1955 (pindaan 2012) telah memberikan definisi terhadap gangguan seksual di tempat kerja. Seksyen tersebut memperincikan sebagaimana berikut:

sexual harassment means any unwanted conduct of a sexual nature, whether verbal, nonverbal, visual, gestural or physical, directed at a person which is offensive or humiliating or is a threat to his well-being, arising out of and in the course of his employment.

12. Gangguan seksual telah ditakrifkan sebagai apa-apa tingkah laku berunsur seksual yang tidak diingini, sama ada secara lisan, bukan lisan, visual, gerak-geri atau secara fizikal, yang ditujukan terhadap seseorang yang menjelik atau menghina atau adalah suatu ancaman kepada kesejahteraannya, berbangkit dari dan dalam menjalankan pekerjaannya.

13. Berdasarkan definisi seksyen 2 (g) tersebut, terdapat tiga kriteria utama yang perlu dipenuhi sebelum sesuatu kes itu di anggap sebagai kes gangguan seksual di tempat kerja. Ini sepertimana yang diungkap oleh Mahkamah Persekutuan di dalam kes Mohd Rizwan (supra), yang menyatakan seperti berikut:

  • terdapat gangguan berbentuk seksual;
  • gangguan tersebut tidak diingini (unwanted); dan
  • gangguan tersebut mengancam mangsa daripada melakukan tugasnya.

14. Mangsa yang mengalami gangguan seksual di tempat kerja adalah sangat disarankan untuk membuat aduan kepada Majikan berkenaan dengan gangguan yang dialaminya.

TANGGUNGJAWAB MAJIKAN BERKENAAN DENGAN GANGGUAN SEKSUAL 

15. Majikan di dalam menangani kes-kes berkenaan dengan gangguan seksual wajar memberi perhatian kepada panduan yang dinyatakan oleh Mahkamah Perusahaan di dalam kes Shaun Khee Tuck Keat v. Carigali Hess Operating Company Sdn Bhd [2016] 4 ILR 112. Mahkamah di dalam kes tersebut telah memutuskan seperti berikut:

Harassment is a very serious misconduct and in whatever form it takes, it cannot be tolerated by any employer. The employer bears an obligation to protect its employees from being harassed by co-workers. Harassment in any form lowers the dignity and respect of the ones who get harassed and would surely disrupt or destroy a harmonious and conducive work place. The perpetrators who go unpunished will only intimidate, humiliate and traumatise the victims resulting in an unhealthy working environment.

16. Gangguan seksual adalah kesalahan tatatertib yang serius dan walau dalam apa jua bentuk, majikan tidak seharusnya memberikan sebarang bentuk toleransi terhadapnya. 

17. Majikan bertanggungjawab melindungi pekerjanya daripada diganggu. Gangguan seksual, walau dalam apa jua bentuk, akan merendahkan martabat dan kehormatan mangsa malah akan menyebatkan trauma ke atas mangsa.

18. Memetik keputusan Mahkamah Persekutuan didalam kes Mohd Rizwan, yang telah memutuskan seperti berikut:

By filing a complaint, she equally suffers potential censure. An unsuccessful complaint, or eliciting disbelief by her employer, will inevitably expose her to public ostracisation, and may create great anxiety and discomfort at the workplace for her.

To demand corroboration, just because there exists some sexual favour in the complaint will cause the harassed person to be, more often than not helpless, as most of the evidence will consist of the words of the harasser vis-à-vis the victim. And much of such leery harassment invariably takes place in private

19. Apabila seseorang berhadapan dengan gangguan seksual, beliau juga berkemungkinan akan turut berhadapan dengan kecaman (censure). Aduan yang tidak berjaya atau tindakan majikan untuk tidak mempercayai aduan tersebut akan mendedahkan beliau kepada pemulauan, dan boleh menimbulkan kegelisahan dan ketidakselesaan di tempat kerja.

20. Untuk menuntut apa-apa bukti sokongan (secara agresif) boleh juga menyebabkan mangsa merasakan dirinya tidak berdaya (helpless). Ini adalah kerana kebanyakan bukti akan terdiri dalam bentuk pengataan (he said she said). Lebih-lebih lagi gangguan seperti itu selalunya berlaku secara tertutup.

21. Walau apapun Majikan hendaklah menguruskan sebarang aduan berkenaan dengan gangguan seksual dengan baik dan serius.

gangguan seksual di malaysia

Hubungi kami di 0129797494 atau menerusi email di norhafeezlaw@gmail.com atau menerusi kotak pertanyaan untuk sebarang maklumat lanjut.

gangguan seksual jenayah, sivil dan ditempat kerja

0 Pertanyaan & Jawapan

Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.