>

CERAI NON MUSLIM / BUKAN ISLAM 2022

 proses cerai bukan islam

PROSEDUR DAN PROSES PERCERAIAN NON MUSLIM DI TAHUN 2022 DI DALAM BAHASA MUDAH

Apakah prosedur dan proses pembubaran perkahwinan atau perceraian non muslim di Malaysia? Apakah syarat-syarat yang perlu dipenuhi sebelum perceraian boleh didaftarkan di Mahkamah? Rencana ini akan memberi penjelasan secara mudah tentang prosedur dan proses perceraian bagi Non Muslim di Semenanjung Malaysia. 

UNDANG-UNDANG PERCERAIAN NON MUSLIM

2. Perkara pertama yang perlu kita ambil tahu adalah prosedur dan proses pembubaran perkahwinan atau perceraian non muslim di Malaysia adalah tertakluk dibawah Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976.

JENIS-JENIS PEMBUBARAN PERKAHWINAN

3. Di bawah Akta, secara lazimnya terdapat 3 jenis pembubaran perkahwinan iaitu:

(a) Perceraian (divorce) (s.52);

(b) Pemisahan kehakiman (judicial separation) (s.64); dan

(c) Pembatalan perkahwinan (nullity of marriege) (s.67).

4. Apakah perbezaan ketiga-tiga jenis pembubaran perkahwinan ini? Perceraian biasanya difailkan apabila kedua-dua suami dan isteri percaya bahawa perkahwinan tersebut perlu dibubarkan.  Perceraian secara lazimnya akan difailkan secara bersama.

5. Pemisahan kehakiman pula selalunya difailkan salah satu pihak samada oleh suami atau isteri disebabkan berlakunya keretakan perkahwinan (marriege breakdown) (sebagai contohnya, zina atau ditinggalkan sekurang-kurangnya 2 tahun).

6. Pembatalan perkahwinan pula kebiasaanya dipohon oleh salah satu pihak apabila berlakunya senario-senario yang akan menyebabkan sesuatu perkahwinan itu tidak sah (void) atau boleh dibatalkan (voidable). Sebagai contoh; pasangan sebenarnya telah mempunyai suami atau isteri lain (perkahwinan menjadi tidak sah) atau perkahwinan dilakukan secara paksa (perkahwinan boleh dibatalkan).

7. Beza di antara tidak sah (void) dan boleh dibatalkan (voidable) adalah sekiranya berlaku senario yang menyebabkan perkahwinan itu tidak sah maka pasangan tiada pilihan selain daripada membubarkan perkahwinan tersebut. Sekiranya berlaku senario yang menyebabkan perkahwinan tersebut boleh dibatalkan, pasangan mempunyai pilihan samada untuk membubarkan atau meneruskan perkahwinan tersebut.

SYARAT-SYARAT PERCERAIAN

8. Terdapat 3 syarat utama yang perlu dipenuhi sebelum sesuatu perkahwinan itu boleh dibubarkan iaitu yang pertama; perkahwinan tersebut hendaklah didaftarkan, kedua; perkahwinan tersebut adalah monogami (tidak melebihi seorang) dan ketiga; pihak-pihak hendaklah tinggal atau bermastautin (berdomisil) di Malaysia. Syarat-syarat ini terpakai kepada ketiga-tiga jenis pembubaran perkahwinan (s. 48 (1), s.48 (2) dan s.67).

9. Selain daripada itu, sesuatu permohonan perceraian tidak boleh dibuat sekiranya tempoh dua tahun daripada tarikh perkahwinan masih belum luput. Secara mudahnya, perceraian hanya boleh didaftarkan selepas dua tahun dari tarikh perkahwinan (s.50).

10. Seperkara lagi, lazimnya sesuatu permohonan perceraian atau pemisahan kehakiman tidak boleh dibuat sebelum suami dan isteri dirujuk ke Tribunal Perkahwinan (conciliatory body) untuk sesi kaunseling. Hanya selepas Perakuan Tribunal JPNKC29 diperolehi barulah satu permohonan perceraian boleh dibuat dan diteruskan (s.106).

TRIBUNAL PERKAHWINAN BAGI NON MUSLIM

11.  Fungsi Tribunal Perkahwinan (dibawah Jabatan Pendaftaran negara) adalah sebagai satu platform untuk suami dan isteri mendapatkan kaunseling bagi tujuan pendamaian dan lazimnya apabila salah satu daripada pasangan tersebut enggan untuk bercerai.

12. Sebelum sesuatu permohonan rujukan ke Tribunal Perkahwinan boleh dibuat, sesuatu perkahwinan itu hendaklah berumur lebih daripada 2 tahun daripada tarikh perkahwinan dan pihak-pihak tidak boleh diwakili oleh orang lain samada ahli keluarga atau peguam.

13. Pasangan boleh hadir ke cawangan JPN bersama dengan sesalinan kad pengenalan, passport asal dan salinan, sijil pendaftaran perkahwinan asal dan salinan serta laporan polis (jika berkaitan) dan menyerahkan borang JPNKC 14 (muat turun DI SINI). 

14. Bayaran yang dikenakan untuk memfailkan borang JPNKC14 adalah RM2.00 manakala bayaran untuk mendapatkan Perakuan Tribunal JPN KC29 adalah RM20.00.

15. Walaubagaimana pun, syarat untuk mendapatkan Perakuan Tribunal ini tidak terpakai untuk senario perceraian seperti berikut:

(a) perceraian disebabkan alasan masuk islam;

(b) perceraian dibuat secara persetujuan bersama;

(c) pasangan telah ditinggalkan (deserted) dan tidak tahu dimana pasangan yang satu lagi berada;

(d) pasangan yang satu lagi tinggal di luar negara dan tiada kemungkinan untuk dia hadir di dalam masa 6 bulan dari tarikh permohonan dibuat;

(e) pasangan yang satu lagi enggan hadir;

(f) pasangan yang satu lagi sedang menjalani hukuman penjara tidak kurang dari 5 tahun;

(g) pasangan satu lagi menghidapi penyakit mental yang tidak boleh dirawat; dan

(h) mahkamah bersetuju bahawa terdapat keadaan khas (exceptional circumstances) yang menyebabkan rujukan ke Tribunal Perkahwinan adalah tidak sesuai.     

non muslim divorce, cerai bukan islam
SUAMI BUKAN WARGANEGARA

16. Salah satu syarat yang perlu dipenuhi sebelum seseorang boleh memfailkan petisyen perceraian adalah kedua-dua pihak hendaklah bemastautin di Malaysia. Bagaimana pula keadaan di mana suami adalah bukan warganegara dan telah lari (deserted) atau telah dihantar pulang ke negara asalnya (deported) meninggalkan si isteri?

17. S.49 Akta memberikan bidangkuasa kepada Mahkamah untuk mendengar permohonan perceraian daripada seorang isteri yang ditinggalkan oleh suami yang bukan warganegara selama mana sebelum pulang ke negara asalnya si suami telah bermastautin di Malaysia dan si isteri telah bermastautin di Malaysia tidak kurang dari 2 tahun sebelum permohonan di failkan.

18. Seksyen ini bukan sahaja terpakai kepada suami warga asing atau bukan warganegara, malah kepada suami yang dihukum buang negeri (banishment) dan diusir (expulsion) berdasarkan mana-mana undang-undang bertulis di dalam negara.

PERCERAIAN

19. Sekiranya suami dan isteri bersetuju secara bersama untuk membubarkan perkahwinan, mereka boleh memfailkan permohonan untuk perceraian secara bersama (joint petition) selepas tempoh dua tahun dari tarikh perkahwinan mereka.

20. Mahkamah akan memberikan Dekri Perceraian selepas ia berpuas hati bahawa kedua-dua pihak membuat keputusan tanpa paksaan, peruntukan terhadap isteri dan penjagaan anak-anak telah dipersetujui.

PEMISAHAN KEHAKIMAN

21. Permohonan untuk Pemisahan Kehakiman boleh dibuat samada oleh suami ataupun isteri. Lazimnya permohonan ini dibuat apabila sesuatu perkahwinan tersebut telah mengalami keretakan yang tidak lagi boleh dipulihkan (irretrievably broken down) akibat daripada perbuatan pihak yang satu lagi.

22. Terdapat 4 keadaan dimana sesuatu keretakan itu dianggap sebagai keretakan yang tidak lagi boleh dipulihkan. Yang pertama adalah; 

(i) apabila pihak yang satu lagi melakukan zina dan adalah mustahil untuk pemohon untuk terus hidup bersama dengannya. 

(ii) apabila pihak yang satu lagi berkelakuan tidak munasabah. Sebagai contoh pasangan yang alkoholik atau menggunakan dadah;

(iii) apabila pihak yang satu lagi telah meninggalkan pemohon tidak kurang daripada dua tahun sebelum tarikh permohonan; dan

(iii) apabila kedua-dua pihak sudah tinggal berasingan tidak kurang daripada dua tahun sebelum tarikh permohonan. 

23. Sekiranya permohonan untuk Pemisahan Kehakiman tersebut dibuat kerana pihak yang satu lagi tersebut melakukan zina, maka pasangan zina tersebut hendaklah dijadikan responden bersama dimana pemohon boleh menuntut gantirugi dan kos daripada pasangan zina tersebut (s.58 & s.59).

PEMBATALAN PERKAHWINAN

24. Sebagaimana yang kita sedia maklum, pembatalan perkahwinan (nullity of marriege) boleh berlaku apabila berlakunya senario yang boleh menyebabkan perkahwinan tersebut tidak sah (void) atau boleh dibatalkan (voidable).

25. Terdapat 4 senario yang digariskan oleh Akta yang akan secara mutlak menyebabkan sesuatu perkahwinan itu tidak sah. Senario itu adalah:

(a) pasangan yang satu lagi masih mempunyai suami atau isteri lain yang belum diceraikan;

(b) perkahwinan bawah umur 18 tahun;

(c) pasangan adalah ahli keluarga yang tidak dibenarkan berkahwin; dan

(d) pasangan bukanlah jantina yang dinyatakan.

26. Senario yang digariskan oleh Akta dimana ianya boleh menyebabkan perkahwinan itu dibatalkan adalah seperti berikut:

(a) pihak yang satu lagi tidak mampu mengadakan hubungan kelamin;

(b) pihak yang satu lagi enggan melalukan hubungan kelamin;

(c) perkahwinan secara paksa;

(d) pihak yang satu lagi menghidap penyakit mental; 

(e) pihak yang satu lagi menghidap penyakit kelamin; dan

(f) pihak yang satu lagi mengandungkan anak orang lain.

Untuk maklumat lanjut, rujuk pautan berikut:

πŸ‘‰ Isu yang perlu diputuskan sebelum cerai

πŸ‘‰ Bolehkah bercerai dalam tempoh 2 tahun

πŸ‘‰ Hak penjagaan anak selepas cerai

πŸ‘‰ Pembahagian aset perkahwinan

πŸ‘‰ Soal Jawab ringkas tentang perceraian Non Muslim (BM/BI)

peguam cerai non muslim

Mencari peguam di Kuala Lumpur? Hubungi kami di 0129797494 atau menerusi email di norhafeezlaw@gmail.com atau menerusi kotak pertanyaan untuk sebarang maklumat lanjut.

0 Pertanyaan & Jawapan

Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.