>

BICARA DALAM KAMAR - Episod 8 - Selamat Datang 2022

 peguam 2022

BICARA DALAM KAMAR - Episod 8

SELAMAT DATANG TAHUN 2022

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada pembaca dan pengunjung blog Norhafeezlaw. Saya doakan anda semua di dalam keadaan sihat walafiat. Nama saya Hafeez dan saya merupakan peguam yang mengendalikan blog ini. Siri Bicara Dalam Kamar ini saya mulakan bagi memberi ruang untuk saya berceloteh dan berkongsi pengalaman harian saya mengendalikan kes-kes sebagai seorang peguam secara santai dan padu. Harapan saya adalah agar setiap perkongsian didalam siri ini boleh memberi sentapan, manfaat, panduan, tauladan dan sempadan kepada para pembaca.

1. Dalam beberapa hari lagi kita semua akan mengucapkan selamat tinggal kepada tahun 2021 dan akan merentas ke tahun 2022. 

2. Saya pasti banyak dugaan dan cabaran yang terpaksa anda dan kita semua tempuhi pada tahun 2021. Saya sendiri mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan di firma lama saya dan menubuhkan firma saya sendiri pada tahun 2021. Sebagaimana orang lain, firma guaman juga cukup terkesan dengan pandemik dan kelesuan aktiviti ekonomi negara sejak awal tahun 2020.

3. Cabaran meletakkan jawatan, apatah lagi memulakan perniagaan dan firma sendiri, di dalam keadaan ekonomi yang tenat dan industri perundangan tidak begitu memberansangkan sememangnya adalah satu cabaran yang cukup berat.

4. Tidak dapat saya bayangkan bagaimana rakan-rakan diluar sana yang terkesan dengan pandemik sehingga menyebabkan mereka kehilangan pekerjaan dan mata pencarian. Saya berdoa agar tuan-tuan dan puan-puan sekelian dipermudahkan urusan dan dimurahkan rezeki ditahun 2022 nanti. Insya Allah.

5. Tahun 2021 (dan pada tahun 2020) juga menyaksikan kita semua kehilangan ramai ahli keluarga dan sahabat handai disebabkan oleh Covid 19. 

6. Dan beberapa minggu yang lepas, negara di landa banjir besar pula. Bukan sahaja ada di antara kita yang kerugian harta benda, bahkan ada yang kehilangan nyawa. 

7. Namun itulah hakikatnya. Ianya adalah dugaan dan juga ujian buat kita yang masih diberikan rezeki oleh Allah untuk terus hidup dan bertahan. Sejauh mana kita bersabar dengan ujian ini? Semoga kita semua dikurniakan ganjaran diatas kesabaran kita dan Allah menempatkan mereka-mereka yang pergi terlebih dahulu, dikalangan mereka yang beriman dan beramal soleh. Insya Allah.

8. Jadikan tahun 2022 ini tahun untuk kita perbetulkan diri atau muhasabah diri kita. Rapatkan kembali hubungan yang renggang dan hargailah orang disekeliling kita dengan penghargaan yang lebih tinggi dan bermakna. 

9. Peluk ibu bapa dan anak-anak kita dengan lebih erat dan lebih kerap. Bantulah mereka yang lebih memerlukan. Insya Allah, rezeki untuk kita pasti akan diperluaskan berganda-ganda.

10. Semasa saya merancang untuk meletakkan jawatan daripada firma lama saya, yang telah saya tabur bakti selama lebih dari 10 tahun, tidak dinafikan kerisauan saya terhadap masa depan saya dan juga keluarga kecil saya. 

11. Namun saya menemui kekuatan daripada beberapa potong ayat dari surat Adh Dhuha. Suka untuk saya kongsikan disini ayat-ayat tersebut untuk tuan-tuan dan puan-puan, dengan harapan ianya juga turut memberi tuan-tuan dan puan-puan kekuatan dan ketenangan dalam meniti hari yang mendatang.

Bismillah

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

A001

Demi waktu dhuha,

A002

Dan malam apabila ia sunyi hening

A003

(Bahawa) Tuhanmu tidak (pernah) meninggalkanmu, dan Ia tidak benci (kepadamu) .  

A004

Dan sesungguhnya pengakhiran keadaanmu adalah lebih baik bagimu daripada permulaannya.

A005

Dan sesungguhnya Tuhanmu akan memberikanmu (kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat) sehingga engkau berpuas hati.

A006

Bukankah Dia mendapati engkau yatim piatu, lalu Dia memberikan perlindungan?

A007

Dan didapatiNya engkau mencari-cari (jalan yang benar), lalu Dia memberikan hidayah petunjuk?

A008

Dan didapatiNya engkau miskin, lalu Dia memberikan kekayaan?

A009

Oleh itu, maka janganlah engkau berlaku kasar terhadap anak yatim;

A010

Dan janganlah engkau tengking herdik orang yang meminta bantuan;

A011

Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya.

12. Yakin dan percayalah bahawa Tuhan tidak pernah meninggalkan kita. Diakhir semua ini akan ada sesuatu yang jauh lebih baik untuk kita semua daripada permulaannya dan kita semua akan beroleh kesenangan sehingga kita redha dan berpuas hati. Yakin dan percayalah. Insya Allah. 

12. Oleh yang demikian, sebagai penutup tirai tahun 2021, saya Nor Hafeez Nurul Hadi di norhafeezlaw.com dan tetuan Hafeez & Hazlina, ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menempuh tahun 2022. Sentiasalah berhati-hati, patuhi SOP dan jaga penjarakan. Semoga Allah permudahkan urusan, diberikan rahmah dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki buat kita semua. Amin. 

0 Pertanyaan & Jawapan

Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.