BOLEHKAH TUKAR PEGUAM SEMASA KES SEDANG BERJALAN? - CARA DAN KAEDAH MENUKAR PEGUAM DI MALAYSIA
Ya, seseorang anak guam boleh menukar peguam walaupun kes sedang berjalan di Mahkamah. Secara ringkas, anak guam perlu melantik peguam baru, memaklumkan peguam lama, menyelesaikan isu yuran tertunggak jika ada, mendapatkan dokumen kes, dan peguam baru biasanya akan memfailkan Notis Penukaran Peguamcara di Mahkamah.
- Bolehkah Tukar Peguam Tengah Kes?
- Kenapa Anak Guam Mahu Menukar Peguam?
- Apa Perlu Disemak Sebelum Tukar Peguam?
- Bagaimana Cara Tukar Peguam?
- Adakah Yuran Peguam Lama Perlu Diselesaikan?
- Apa Jadi Kepada Dokumen Kes?
- Apa Itu Notis Penukaran Peguamcara?
- Apa Risiko Jika Tukar Peguam Terlalu Lewat?
- Rumusan Rencana
- Soalan Lazim Tentang Tukar Peguam
Rujukan berkaitan:
Cara Melantik Peguam
Artikel Berkaitan Guaman
Artikel Berkaitan Litigasi
Ringkasan: Anak guam boleh menukar peguam di pertengahan kes. Prosesnya biasanya melibatkan pelantikan peguam baru, pemakluman kepada peguam lama, penyelesaian yuran tertunggak, penyerahan dokumen kes dan pemfailan Notis Penukaran Peguamcara di Mahkamah.
1. Bolehkah Tukar Peguam Tengah Kes?
Boleh. Jika seseorang anak guam telah melantik seorang peguam untuk menguruskan tindakan di Mahkamah, anak guam masih boleh melantik peguam lain bagi menggantikan peguam terdahulu.
Maksudnya, anak guam tidak semestinya terikat selama-lamanya dengan firma guaman pertama yang dilantik. Jika terdapat sebab yang munasabah, penukaran peguam boleh dibuat melalui proses yang teratur.
2. Kenapa Anak Guam Mahu Menukar Peguam?
Sebelum membuat keputusan untuk menukar peguam, anak guam perlu mengenal pasti alasan sebenar penukaran tersebut. Ini penting kerana penukaran peguam boleh memberi kesan kepada kos, masa, strategi kes dan kelancaran pengurusan dokumen.
Antara sebab lazim anak guam menukar peguam ialah tidak selesa dengan cara kerja peguam terdahulu, sukar berkomunikasi, tidak jelas tentang perkembangan kes, tidak bersetuju dengan kos tambahan, atau merasakan terdapat kecuaian dalam pengendalian kes.
3. Apa Perlu Disemak Sebelum Tukar Peguam?
Sebelum menukar peguam, anak guam wajar menyemak beberapa perkara penting. Pertama, status semasa kes. Kedua, tarikh-tarikh penting Mahkamah. Ketiga, dokumen yang telah difailkan. Keempat, yuran guaman yang telah dibayar dan yuran yang masih tertunggak. Kelima, sama ada peguam baru benar-benar bersedia mengambil alih kes tersebut.
Ini bukan sekadar isu menukar nama firma guaman dalam rekod Mahkamah. Peguam baru perlu memahami keseluruhan latar belakang kes, dokumen, strategi, kelemahan dan risiko kes. Jika penukaran dibuat terlalu lewat, peguam baru mungkin tidak mempunyai masa mencukupi untuk membetulkan kelemahan yang telah berlaku.
4. Bagaimana Cara Tukar Peguam?
Langkah pertama ialah mengesahkan pelantikan firma guaman baru. Anak guam perlu memastikan peguam baru bersetuju untuk mengambil alih kes tersebut dan memahami status semasa prosiding.
Langkah kedua ialah memaklumkan peguam lama bahawa anak guam tidak lagi mahu meneruskan pelantikan dan perkhidmatan firma guaman lama tersebut.
Langkah ketiga ialah menyelesaikan apa-apa yuran guaman tertunggak yang masih perlu dibayar kepada peguam lama. Langkah ini penting untuk memastikan proses pengambilalihan dokumen dan fail kes dapat berjalan dengan lebih lancar.
Langkah keempat ialah peguam baru akan berhubung dengan peguam lama dan, jika berkaitan, peguam pihak lawan untuk memaklumkan penukaran peguamcara. Peguam baru akn failkan dokumen-dokumen yang diperlukan untuk mengambil alih kes tersebut.
5. Adakah Yuran Peguam Lama Perlu Diselesaikan?
Secara praktikal, ya. Jika masih ada yuran tertunggak, anak guam biasanya perlu menyelesaikan isu bayaran dengan peguam lama. Ini kerana pertikaian yuran boleh menyukarkan penyerahan fail, dokumen dan maklumat kes kepada peguam baru.
Jika anak guam mempertikaikan jumlah yuran, isu itu perlu diselesaikan secara berasingan. Namun, dari sudut pengurusan kes, lebih baik isu yuran tidak dibiarkan mengganggu tarikh penting Mahkamah atau persediaan prosiding.
6. Apa Jadi Kepada Dokumen Kes?
Dokumen kes perlu diserahkan atau dipindahkan kepada peguam baru supaya peguam baru boleh menilai kedudukan kes dengan tepat. Ini termasuk pliding, afidavit, perintah Mahkamah, surat-menyurat, dokumen bukti, nota prosiding dan apa-apa dokumen penting lain.
Anak guam juga wajar menyimpan salinan dokumen penting sendiri. Jangan hanya bergantung sepenuhnya kepada mana-mana pihak. Dalam litigasi, dokumen adalah senjata utama. Jika dokumen tidak lengkap, strategi kes boleh terganggu.
7. Apa Itu Notis Penukaran Peguamcara?
Notis Penukaran Peguamcara, atau Notice of Change of Solicitor, ialah dokumen yang digunakan untuk memaklumkan Mahkamah bahawa firma guaman baru telah mengambil alih tempat firma guaman lama dalam sesuatu kes.
Selepas dokumen ini difailkan, Mahkamah akan mengemas kini rekod kes dan memasukkan nama firma guaman baru bagi menggantikan firma guaman lama dalam sistem pendaftaran kes.
8. Apa Risiko Jika Tukar Peguam Terlalu Lewat?
Risiko paling besar ialah kelewatan. Jika kes sudah hampir bicara, hampir pendengaran permohonan, atau hampir tarikh pemfailan dokumen penting, peguam baru mungkin memerlukan masa tambahan untuk memahami fail. Ini boleh menyebabkan permohonan penangguhan, kos tambahan atau tekanan strategi.
Risiko kedua ialah kesinambungan strategi yang mungkin akan terganggu. Peguam lama mungkin telah membentuk pendekatan tertentu, manakala peguam baru mungkin mempunyai penilaian yang berbeza. Itu tidak semestinya buruk, tetapi anak guam perlu faham bahawa pertukaran strategi di pertengahan jalan boleh membawa kesan.
Risiko ketiga ialah kos. Anak guam mungkin perlu membayar peguam lama dan pada masa yang sama membayar peguam baru untuk membaca, memahami dan mengambil alih fail. Jadi, keputusan menukar peguam perlu dibuat dengan tenang, bukan semata-mata kerana emosi atau salah faham komunikasi.
Rumusan Rencana
- Anak guam boleh menukar peguam walaupun kes sedang berjalan di Mahkamah.
- Penukaran peguam biasanya dibuat apabila anak guam tidak selesa dengan cara kerja, komunikasi, kos atau pengendalian kes oleh peguam lama.
- Sebelum menukar peguam, anak guam perlu menyemak status kes, tarikh Mahkamah, dokumen kes dan yuran tertunggak.
- Peguam baru biasanya akan berhubung dengan peguam lama dan memfailkan Notis Penukaran Peguamcara di Mahkamah.
- Yuran tertunggak dengan peguam lama wajar diselesaikan supaya proses pengambilalihan fail tidak terganggu.
- Dokumen kes perlu dipindahkan kepada peguam baru supaya peguam baru boleh menilai dan menguruskan kes dengan baik.
- Menukar peguam terlalu lewat boleh menyebabkan risiko kelewatan, kos tambahan dan gangguan kepada strategi kes.
Soalan Lazim Tentang Tukar Peguam
Bolehkah saya tukar peguam tengah kes?
Boleh. Anak guam boleh menukar peguam walaupun kes sedang berjalan, tertakluk kepada proses penukaran yang teratur dan pemfailan dokumen yang sesuai di Mahkamah.
Apa dokumen yang digunakan untuk tukar peguam?
Dokumen yang biasa digunakan ialah Notis Penukaran Peguamcara atau Notice of Change of Solicitor.
Adakah saya perlu bayar yuran peguam lama dahulu?
Jika ada yuran tertunggak, isu itu wajar diselesaikan supaya proses penyerahan fail dan dokumen kes kepada peguam baru tidak terganggu.
Bolehkah peguam lama menahan dokumen kes?
Isu ini bergantung kepada keadaan, jenis dokumen dan status bayaran. Secara praktikal, anak guam perlu berbincang dengan peguam lama dan peguam baru supaya penyerahan dokumen penting tidak menjejaskan perjalanan kes.
Adakah tukar peguam akan melambatkan kes?
Boleh berlaku, terutama jika penukaran dibuat terlalu hampir dengan tarikh bicara, pendengaran atau tarikh akhir pemfailan dokumen. Sebab itu penukaran peguam perlu dibuat awal dan teratur.
_______________________
Masih Ragu-Ragu Untuk Lantik atau Tukar Peguam?
Kadang-kadang masalah sebenar bukan sekadar komunikasi, tetapi strategi kes, pengendalian dokumen dan hala tuju litigasi yang sedang berjalan.
Jika anda perlukan pandangan lanjut berkenaan kedudukan kes anda, anda boleh hubungi kami di Hafeez & Hazlina untuk konsultasi lanjut.

0 Pertanyaan & Jawapan
Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.