>

CARA MENGUATKUASA AWARD TRIBUNAL TUNTUTAN PENGGUNA DIBAWAH S.116 (1) (B)

 

seksyen 116 (1) (b), Akta Perlindungan Pengguna

Rencana ini akan memberikan penerangan yang mudah dan ringkas berkenaan dengan langkah untuk menguatkuasakan Award atau Perintah Tribunal Tuntutan Pengguna dibawah Seksyen 116 (1) (b) Akta Perlindungan Pengguna 1999.

1. Apabila anda telah beroleh satu Award atau Perintah daripada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) dan TTPM telah pun mengarahkan agar pihak Penentang membayar sejumlah amaun sebagai tebus rugi kepada anda, maka pembayaran tersebut hendaklah di bayar di dalam jangka masa yang telah ditetapkan oleh TTPM.

PIHAK PENENTANG GAGAL MEMBUAT BAYARAN TEBUS RUGI?

2. Bagaimanakah pula sekiranya pihak Penentang gagal membuat bayaran penuh di dalam masa yang ditetapkan?

3. Selain daripada membuat aduan selaras dengan seksyen 117 Akta Perlindungan Pengguna 1999, di mana sekiranya disabitkan, pihak Penentang boleh dikenakan hukuman penjara atau denda atau kedua-duanya sekali, anda sebagai Pengadu, turut berhak dan boleh menguat kuasakan Award atau Perintah Tribunal tersebut selaras dengan seksyen 116 (1) (b) Akta.

PENGUATKUASAAN SIVIL S.116 (1) (b) AKTA PERLINDUNGAN PENGGUNA 1999?

4. Seksyen 116 (1) (b) menggariskan bahawa sesuatu Award atau Perintah Tribunal boleh dikuatkuasakan sepertimana penguatkuasaan sesuatu Penghakiman di Mahkamah Majistret.

5. Ini bermaksud Award atau Perintah Tribunal Tuntutan Pengguna mempunyai kesan sebagaimana sebuah perintah yang dikeluarkan oleh sebuah Mahkamah Majistret.

6. Apakah cara-cara atau langkah-langkah untuk menguatkuasakan atau melaksanakan Award atau Perintah Tribunal selaras dengan seksyen ini?

7. Cara yang kerap digunakan adalah melalui prosiding Garnishee.

APA ITU PROSIDING GARNISHEE?

8. Apakah yang dimaksudkan dengan Prosiding Garnishee

10. Prosiding Garnishee adalah satu proses ex parte yang difailkan terhadap pihak ketiga yang dipercayai mempunyai hutang atau menyimpan sejumlah wang yang perlu dibayar atau dipulangkan semula kepada pihak Penentang. 

11. Jadi amaun yang sepatutnya dibayar atau dipulangkan semula kepada pihak Penentang tersebut akan dibayar kepada anda melalui satu Perintah Mahkamah.

12. Lazimnya, prosiding ini boleh difailkan terhadap institusi kewangan atau bank-bank yang mana pihak Penentang dipercayai mempunyai akaun-akaun di bank tersebut.

13. Selepas mendapat perintah-perintah yang tertentu daripada Mahkamah, akaun-akaun bank pihak Penentang tersebut akan dibekukan dan maklumat baki akaun lazimnya akan dimaklumkan dan diperolehi daripada pihak bank. 

14. Seterusnya, apa sahaja baki yang terdapat di dalam akaun-akaun tersebut akan di rampas dan digunakan untuk membayar jumlah penuh amaun Penghakiman atau Award yang anda perolehi.

15. Anda boleh menamakan seberapa banyak institusi kewangan di dalam permohonan anda selama mana anda mempunyai sumber-sumber sokongan berkenaan dengan maklumat akaun pihak Penentang tersebut. 

16. Prosiding Garnishee adalah salah satu prosiding perlaksanaan yang sangat efektif untuk menguatkuasakan sesuatu Penghakiman Mahkamah terhadap pihak yang culas atau enggan membuat sebarang pembayaran mengikut sesuatu Penghakiman.

BACAAN LANJUT:

1. Cara memfailkan Tuntutan di TTPM

2. Aduan terhadap Penentang yang gagal mematuhi Perintah TTPM 

Penafian: Rencana ini diterbitkan dengan tujuan untuk kesedaran dan pengetahuan umum. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam rencana ini tidak boleh dijadikan panduan untuk memulakan tindakan undang-undang secara sendirian, tanpa terlebih dahulu merujuk kepada seorang peguam yang berpengalaman atau badan yang mempunyai bidang kuasa.

Untuk sebarang maklumat lanjut berkenaan dengan rencana ini atau untuk mengatur sesi konsultasi guaman, anda boleh berhubung dengan mana-mana peguam pilihan anda, atau pun anda boleh menghubungi kami melalui whatsapp dengan menekan imej kotak kuning diatas.

0 Pertanyaan & Jawapan

Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.