>

TUNTUTAN DI TRIBUNAL TUNTUTAN PENGGUNA MALAYSIA (TTPM)

 

cara membuat tuntutan di tribunal pengguna

Rencana ini akan memberikan serba sedikit penjelasan berkenaan dengan tuntutan pengguna, langkah tuntutan atau cara memfailkan tuntutan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia secara mudah, apakah maklumat yang perlu diketahui sebelum memfailkan sebarang tuntutan dan apakah dokumen-dokumen yang perlu disediakan untuk memfailkan tuntutan pengguna.

APA YANG ANDA PERLU TAHU SEBELUM MEMFAILKAN TUNTUTAN DI TTPM?

SIAPA YANG BOLEH MEMBUAT TUNTUTAN?

1. Pihak yang boleh membuat tuntutan di Tribunal Tribunal Pengguna Malaysia (TTPM) adalah pegguna sahaja. 

2. Anda adalah seorang pengguna sekiranya anda membeli barangan atau mendapatkan perkhidmatan untuk kegunaan peribadi atau ahli keluarga anda.

3. Anda bukan seorang pengguna sekiranya anda membeli barangan atau mendapatkan perkhidmatan untuk tujuan perniagaan ataupun dibeli bagi pihak syarikat.

peguam tribunal


JENIS KES YANG BOLEH DITUNTUT MELALUI TTPM?

4. TTPM hanya akan menerima dan mendengar tuntutan-tuntutan tebus rugi yang melibatkan pembelian barang atau perkhidmatan sahaja.

5. Ini bermaksud, anda boleh memfailkan tuntutan terhadap penjual atau pengilang atau pengeluar dan juga pemberi khidmat untuk menebus kerugian anda.

6. TTPM tidak akan menerima sebarang kes yang melibatkan tuntutan-tuntutan di antara lainnya berkenaan dengan yang berikut:

(a) Yang melibatkan kecederaan atau kematian;

(b) pertikaian melibatkan milikan tanah;

(c) pertikaian berkenaan dengan wasiat dan harta pusaka;

(d) yang melibatkan perkhidmatan professional yang dikawal selia oleh undang-undangnya sendiri secara khusus (contoh: Peguam);

(e) yang melibatkan penjagaan kesihatan;

(f) yang melibatkan perkhidmatan penerbangan

7. Jadi, sebelum anda memfailkan tuntutan ke TTPM, pastikan dulu tuntutan anda tidak melibatkan tuntutan-tuntutan yang berkenaan dengan perkhidmatan di atas.

HAD AMAUN YANG BOLEH DITUNTUT?

8. Amaun tuntutan atau kerugian yang dialami yang anda boleh tebus rugi atau tuntut melalui TTPM adalah tidak melebihi RM50,000.00 sahaja.

9. TTPM tidak akan menerima sebarang tuntutan yang melebihi amaun tersebut dan anda lazimnya akan disarankan untuk memfailkan tuntutan melalui tindakan sivil di Mahkamah.

HAD MASA UNTUK MEMBUAT TUNTUTAN?


10. Anda mempunyai tempoh masa selama tiga (3) tahun untuk memfailkan tuntutan melalui TTPM bermula daripada tarikh kerugian itu bermula.

Untuk sebarang maklumat lanjut, anda boleh menghubungi Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia di talian +603 - 8882 5822.

BACAAN LANJUT:

1. Aduan terhadap Penentang yang gagal mematuhi Perintah TTPM 

2. Cara menguatkuasa Perintah TTPM melalui perlaksanaan sivil 

Penafian: Rencana ini diterbitkan dengan tujuan untuk kesedaran dan pengetahuan umum. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam rencana ini tidak boleh dijadikan panduan untuk memulakan tindakan undang-undang secara sendirian, tanpa terlebih dahulu merujuk kepada seorang peguam yang berpengalaman atau badan yang mempunyai bidang kuasa.


0 Pertanyaan & Jawapan

Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.