>

MELAKSANAKAN AWARD TRIBUNAL TUNTUTAN PENGGUNA MALAYSIA

 

award tribunal pengguna

Rencana ini akan memberikan penerangan yang mudah dan ringkas berkenaan dengan pilihan prosedur perlaksanaan Award atau Perintah Tuntutan yang diperolehi daripada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) dan bagaimana untuk menguatkuasakan Award atau Perintah tribunal.

APA YANG PERLU DIKETAHUI TENTANG PENGUATKUASAAN DAN PERLAKSANAAN TUNTUTAN PENGGUNA?

1. Anda telah memfailkan aduan kepada dan tuntutan tebus rugi melalui Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) terhadap Penjual atau Pemberi Khidmat (Service Provider) berikutan kualiti buruk produk atau perkhidmatan yang telah anda perolehi daripada Penjual atau Pemberi Khidmat tersebut.

2. Selepas TTPM membicarakan tuntutan anda, TTPM akan memberikan satu award atau perintah. 

3. Sekiranya award/perintah tersebut berpihak kepada anda dimana TTPM telah mengarahkan pihak Penentang membuat pembayaran kepada anda, mMaka apa yang perlu anda ketahui selepas award atau perintah tersebut diberikan?

TEMPOH UNTUK MEMATUHI AWARD / PERINTAH TRIBUNAL TUNTUTAN PENGGUNA

4. Secara lazimnya, TTPM akan memberikan satu tempoh kepada Pihak Penentang untuk membuat bayaran gantirugi kepada anda. Kebiasaannya, tempoh yang diberikan adalah dari 14 ke 30 hari daripada tarikh award tribunal diberikan.

5. Ini bermaksud, pihak Penjual atau Pemberi Khidmat tersebut hendaklah mematuhi perintah Award Tribunal tersebut dan membuat pembayaran di dalam tempoh 14 atau 30 hari yang diberikan. 

6. Namun apa yang akan berlaku sekiranya Penjual atau Pemberi Khidmat tersebut gagal mematuhi award tribunal dan enggan atau gagal membuat pembayaran?

KEGAGALAN MEMATUHI AWARD TRIBUNAL

7. Secara ringkas, terdapat dua pilihan tindakan yang boleh anda pilih. Yang pertama adalah selaras dengan peruntukan seksyen 117 Akta Perlindungan Pengguna 1999. Yang kedua adalah selaras dengan peruntukan seksyen 116 (1) (b) Akta yang sama

8. Selaras dengan seksyen 117, apabila pihak Penjual atau Pembekal Perkhidmatan gagal mematuhi award tribunal di dalam tempoh masa yang ditetapkan, anda boleh membuat aduan kepada Ketua Pegawai Penguatkuasa, Seksyen Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna supaya pihak Penjual atau Pemberi Khidmat tersebut di dakwa di Mahkamah.

9. Kesalahan dibawah seksyen 117 Akta Perlindungan Pengguna, sekiranya disabitkan, Penjual atau Pemberi Khidmat tersebut boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 2 tahun atau denda tidak melebihi RM5,000.00 atau kedua-duanya sekali bagi setiap satu award.

10. Adakah bayaran denda itu akan diberikan kepada anda? Jawapannya tidak. Jadi bagaimana cara untuk anda mendapatkan gantirugi tersebut? Jawapannya adalah melalui pilihan kedua iaitu tuntutan sivil selaras dengan seksyen 116 Akta.

...Bersambung

Untuk sebarang maklumat lanjut, anda boleh menghubungi Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia di talian +603 - 8882 5822.

BACAAN LANJUT:

1. Cara memfailkan Tuntutan di TTPM

2. Cara menguatkuasa Perintah TTPM melalui perlaksanaan sivil 


Penafian: Rencana ini diterbitkan dengan tujuan untuk kesedaran dan pengetahuan umum. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam rencana ini tidak boleh dijadikan panduan untuk memulakan tindakan undang-undang secara sendirian, tanpa terlebih dahulu merujuk kepada seorang peguam yang berpengalaman atau badan yang mempunyai bidang kuasa.


0 Pertanyaan & Jawapan

Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.