>

JENIS - JENIS PENGHAKIMAN

jenis penghakiman, penghakiman ingkar, penghakiman persetujuan

Rencana ini akan memberikan penerangan ringkas berkenaan dengan jenis-jenis Penghakiman yang boleh dipohon dan diperolehi melalui suatu saman dan tindakan undang-undang di Mahkamah, dan dalam keadaan bagaimana jenis-jenis Penghakiman ini boleh dipohon di Mahkamah.

Apakah itu Penghakiman Ingkar Kehadiran, Penghakiman Ingkar Pembelaan, Penghakiman Terus, Penghakiman Interlokutori, Penghakiman Persetujuan dan Penghakiman Akhir/Penuh?

PENGHAKIMAN INGKAR KEHADIRAN

Penghakiman Ingkar Kehadiran (Judgment in Default of Appearrance) adalah sejenis Penghakiman, pada kebiasaanya berbentuk kewangan, yang akan direkodkan keatas seseorang Defendan apabila Defendan tersebut gagal memasukkan kehadiran di dalam tempoh masa yang ditetapkan untuk memasukkan kehadiran. Penghakiman Ingkar Kehadiran boleh diketepikan (set aside) dan dibatalkan, sekiranya syarat-syarat tertentu dipenuhi. 

PENGHAKIMAN INGKAR PEMBELAAN

Penghakiman Ingkar Pembelaan (Judgment in Default of Defence) pula adalah sejenis Penghakiman yang direkodkan keatas seseorang Defendan telah memasukkan kehadiran di dalam sesuatu kes, namun gagal memfailkan Pembelaan di dalam tempoh masa yang ditetapkan. 

Penghakiman Ingkar Pembelaan ini juga boleh diketepikan namun syarat-syarat untuk mengenepikannya adalah sangat rumit dan ketat. Seseorang Defendan itu hendaklah mempunyai alasan-alasan yang sangat kukuh untuk memohon agar Mahkamah mengenepikan sesuatu Penghakiman Ingkar Pembelaan dan Mahkamah tidak akan membenarkan Penghakiman tersebut diketepikan dengan sewenang-wenangnya.

PENGHAKIMAN TERUS

Penghakiman Terus (Summary Judgment) adalah Penghakiman yang diperolehi tanpa perlu proses bicara penuh. Proses penilaian bukti secara lazimnya adalah melalui proses bicara penuh, dimana saksi-saksi akan dipanggil untuk memberikan keterangan dan dokumen-dokumen akan dinilai sebelum Mahkamah membuat sebarang keputusan, dan proses ini memakan masa. 

norhafeezlaw.com


Oleh itu, proses Penghakiman Terus adalah permohonan yang diperkenalkan untuk mendapatkan Penghakiman dengan lebih cepat dan pantas, dimana Mahkamah akan membuat penilaian berdasarkan bukti-bukti dokumen dan keterangan afidavit daripada pihak-pihak semata-mata. 

Namun Penghakiman Terus hanyalah untuk kes-kes yang memenuhi syarat-syaratnya sahaja dan bukan semua kes adalah kes yang sesuai untuk Penghakiman Terus.  

PENGHAKIMAN INTERLOKUTORI

Penghakiman Interlokutori (Interlocutory Judgment) juga adalah sejenis Penghakiman yang direkodkan keatas seseorang Defendan yang gagal memfailkan kehadiran atau pembelaan di dalam masa yang ditetapkan. 

Yang membezakan Penghakiman Interlokutori dengan Penghakiman Ingkar biasa adalah; Penghakiman Interlokutori direkodkan untuk kes-kes yang tidak berasaskan tuntutan kewangan seperti tort fitnah, tort pencerobohan dan sebagainya, manakala Penghakiman Ingkar pula adalah untuk kes-kes yang melibatkan gantirugi berbentuk kewangan seperti kes tuntutan hutang atau pecah kontrak. 

Penghakiman jenis ini boleh diketepikan sekiranya syarat-syarat tertentu dipenuhi.

PENGHAKIMAN PERSETUJUAN

Penghakiman Persetujuan (Consent Judgment) pula adalah Penghakiman yang direkodkan apabila kedua-dua belah pihak lazimnya telah memasukkan kehadiran dan telah bersetuju dengan terma-terma tuntutan. Penghakiman jenis ini boleh diketepikan tetapi prosesnya adalah sangat rumit dan syaratnya adalah ketat.

PENGHAKIMAN PENUH / AKHIR

Penghakiman Penuh / Akhir (Full / Final Judgment) adalah Penghakiman yang diperolehi selepas proses bicara penuh disempurnakan, saksi-saksi dari kedua-dua belah pihak telah dipanggil untuk memberikan keterangan, dokumen-dokumen telah diteliti, dan pihak-pihak peguam telah memberikan hujah-hujah bagi pihak anak guam masing-masing. 

Mahkamah yang membuat keputusan akhirnya akan memutuskan samada untuk membenarkan sesuatu tuntutan atau menolah sesuatu tuntutan. Penghakiman jenis ini boleh dirayu di Mahkamah yang lebih tinggi.

_________________________

Penafian: Rencana ini diterbitkan dengan tujuan untuk kesedaran dan pengetahuan umum. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam rencana ini tidak boleh dijadikan panduan untuk memulakan tindakan undang-undang secara sendirian, tanpa terlebih dahulu merujuk kepada seorang peguam yang berpengalaman.

Untuk sebarang maklumat lanjut berkenaan dengan rencana ini atau untuk mengatur sesi konsultasi guaman, anda boleh berhubung dengan mana-mana peguam pilihan anda, atau pun anda boleh menghubungi kami melalui whatsapp dengan menekan imej dibawah.

0 Pertanyaan & Jawapan

Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.