BANK SAMAN PENJAMIN?
Adalah menjadi suatu kebiasaan, untuk pinjaman atau pembiayaan yang tertentu, pihak bank mewajibkan keperluan untuk mendapatkan penjamin - penjamin untuk menjamin pinjaman sebelum pinjaman boleh diberikan kepada peminjam. Apakah sebenarnya tanggungjawab seorang penjamin? Apa kesannya ke atas penjamin apabila peminjam gagal untuk membayar balik pinjaman?
1. Siapa itu penjamin? Di dalam konteks undang-undang perbankan, penjamin ialah seseorang yang telah bersetuju untuk bertanggungjawab ke atas bayaran balik pinjaman orang lain sekiranya peminjam asal gagal membayarnya.
2. Dalam erti kata mudah, penjamin adalah orang yang bersetuju untuk menjadi "orang kedua" atau "orang seterusnya" yang bank boleh tuntut sekiranya peminjam tidak mampu atau enggan membayar hutang. Biasanya, penjamin - penjamin ini terdiri daripada ahli keluarga, rakan rapat atau sesiapa sahaja yang dipercayai oleh peminjam.
3. Apakah tanggungjawab sebenar seorang penjamin? Sebaik sahaja seseorang itu menandatangani dokumen sebagai penjamin, dia terikat secara sah di sisi undang-undang untuk memastikan pinjaman tersebut dibayar.
4. Penjamin bukan sekadar memberi sokongan kepercayaan kepada peminjam asal, yang meyakinkan bank untuk meluluskan sesuatu pinjaman atau pembiayaan, malah penjamin itu sebenarnya memikul tanggungjawab penuh terhadap jumlah pinjaman yang belum dibayar, termasuk faedah, caj lewat bayar dan apa-apa kos guaman jika tindakan undang-undang diambil.
5. Apakah kesannya terhadap penjamin sekiranya peminjam asal gagal atau enggan membuat bayaran?
6. Sekiranya peminjam gagal membuat bayaran, penjamin lazimnya akan turut menerima notis tuntutan dan seterusnya boleh disaman oleh pihak bank melalui tindakan Writ Saman dan Pernyataan Tuntutan yang di failkan di Mahkamah.
7. Apabila Writ Saman dan Pernyataan Tuntutan di failkan terhadap penjamin, lazimnya nama penjamin akan tersenarai di dalam carian kredit CTOS dan ini akan menyebabkan kesukaran untuk membuat pinjaman sendiri pada masa depan.
8. Jika ada penghakiman mahkamah yang direkodkan terhadap penjamin, dan pihak bank memilih untuk menguatkuasakan penghakiman tersebut, ini boleh menyebabkan aset milik penjamin tersebut boleh disita dan dilelong melalui writ sita dan jual, akaun - akaun bank penjamin boleh dibekukan melalui prosiding garnisi, atau penjamin itu boleh diisytihar muflis melalui prosiding kebankrapan jika jumlah hutang penghakman itu melebihi nilai RM100,000.00.
9. Ini semua adalah risiko dan keadaan yang boleh berlaku ke atas penjamin walaupun manfaat daripada pinjaman atau pembiayaan tersebut dinikmati oleh orang lain malah penjamin tidak mendapat sebarang manfaat pun daripada jaminannya.
10. Oleh itu, menjadi penjamin bukanlah keputusan kecil yang boleh dianggap remeh.
Berwaspada dan beringatlah selalu!
Untuk sebarang maklumat lanjut berkenaan dengan rencana ini atau untuk mengatur sesi konsultasi guaman, anda boleh berhubung dengan mana-mana peguam pilihan anda, atau pun anda boleh menghubungi kami [Firma Guaman Tetuan Hafeez & Hazlina] melalui whatsapp dengan menekan imej diatas.