Kenapa Orang Awam Perlu Faham Proses Saman Sivil?
Ramai orang hanya mula ambil tahu tentang saman sivil bila mereka dah pun menerima surat dari mahkamah — sama ada dipanggil ke mahkamah, disaman oleh orang lain, atau berhasrat untuk ambil tindakan terhadap seseorang. Tapi sayangnya, ramai juga yang melangkah masuk ke proses ini tanpa benar-benar faham apa sebenarnya yang sedang berlaku.
Apakah manfaat untuk orang awam memahami sedikit sebanyak tentang proses saman sivil, aturan prosesnya dan apa yang berlaku di belakang tabir sesuatu proses saman?
1. Supaya tak keliru dan salah faham
1.1 Dengan memahami apa itu saman sivil dan bagaimana prosesnya bergerak dari notis tuntutan hinggalah ke penghakiman, kita akan lebih bersedia secara mental, fizikal, emosi dan kewangan.
1.2 Ini penting agar kita tidak mudah panik, tersalah langkah, dan lebih faham tentang perbezaan di antara dokumen - dokumen penting seperti Writ Saman, Saman Pemula, Notis Permohonan dan Afidavit.
2. Supaya tahu proses Mahkamah bukan semudah 'saman aje'
2.1 Banyak yang menganggap proses undang-undang ni senang dan 'cepat' — hantar surat saman, terus menang.
2.2 Hakikatnya, proses saman sivil melibatkan banyak peringkat: pemfailan, penyerahan, jawapan, pengurusan atau sebutan kes, fasa interlokutori dan bicara penuh yang mana setiap satunya perlukan masa dan kepakaran untuk menyediakannya.
3. Supaya tahu kenapa peguam yuran guaman sebegitu
3.1 Persoalan berkenaan yuran atau caj guaman akan sentiasa menjadi rungutan. Tapi apabila seseorang tahu proses dari awal sampai akhir, mereka akan faham kenapa bayaran tu dikenakan.
3.2 Satu kes sivil boleh ambil masa berbulan, kadang bertahun, dengan dokumen dan persediaan yang bukan sedikit. Bayaran bukan semata-mata untuk hadir ke mahkamah — ia merangkumi keseluruhan kerja guaman yang lazimnya tidak terlihat atau difahami.
4. Supaya tahu tempoh masa sangat penting
4.1 Dalam saman sivil, masa adalah segalanya. Terlepas tempoh jawab Pernyataan Tuntutan boleh bawa kepada penghakiman ingkar. Tak hadir masa bicara boleh menyebabkan saman ditolak atau penghakiman diberikan kepada pihak lawan. Semua ini boleh dielakkan kalau orang awam tahu betapa pentingnya timeline undang-undang.
5. Supaya tahu tak semua saman berakhir dengan bicara
5.1 Ramai anggap saman bermaksud terus naik mahkamah untuk bicara panjang. Tapi ada kes yang selesai di peringkat awal — contohnya melalui permohonan interlokutori yang tertentu, proses mediasi, penghakiman persetujuan, atau penyelesaian luar mahkamah.
5.2 Jadi bila tahu struktur keseluruhan, seseorang lebih bersedia menilai opsyen terbaik bersama peguam mereka.
6. Supaya lebih bijak bila nak saman orang
6.1 Memahami sesuatu proses saman sivil juga boleh membantu kita membuat keputusan yang bijak sebelum menyaman sesiapa. Adakah kes cukup kuat? Adakah risiko kos tinggi? Boleh selesai tanpa saman? Semua ini hanya boleh dijawab bila kita faham struktur tindakan sivil secara keseluruhan.
Kesimpulannya, pengetahuan asas tentang saman sivil bukan hanya untuk peguam. Ia adalah untuk sesiapa saja yang berpotensi terlibat dalam pertikaian hak — sebagai Plaintif atau Defendan.
Dengan faham proses, kita bukan sahaja lebih bersedia, malah dapat elak dari membuat keputusan yang terburu-buru yang akhirnya boleh dan berpotensi memudaratkan diri sendiri.
Berwaspada dan beringatlah selalu!
Penafian: Rencana di dalam Norhafeezlaw[dot]com ini diterbitkan dengan tujuan untuk kesedaran dan pengetahuan umum. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam rencana ini tidak boleh dijadikan panduan untuk memulakan tindakan undang-undang secara sendirian, tanpa terlebih dahulu merujuk kepada seorang peguam yang berpengalaman.
Untuk sebarang maklumat lanjut berkenaan dengan rencana ini atau untuk mengatur sesi konsultasi guaman, anda boleh berhubung dengan mana-mana peguam pilihan anda, atau pun anda boleh menghubungi kami [Firma Guaman Tetuan Hafeez & Hazlina] melalui whatsapp dengan menekan imej diatas.
0 Pertanyaan & Jawapan
Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.