Adakah Koperasi Boleh Memberi Pinjaman atau Pembiayaan?
Ramai yang bertanya sama ada koperasi dibenarkan untuk memberi pinjaman atau pembiayaan kepada individu. Soalan ini penting kerana ramai ahli koperasi dan orang awam yang terlibat dengan pinjaman koperasi sama ada sebagai peminjam atau penjamin. Artikel ini akan menjelaskan secara ringkas berdasarkan peruntukan Akta Koperasi 1993 yang tertentu, dengan menekankan siapa yang layak menerima pembiayaan dan apa batasan undang-undangnya. Jika anda pernah terima atau bercadang memohon pinjaman koperasi, anda perlu tahu perkara ini.
1. Koperasi boleh memberi pinjaman atau kemudahan pembiayaan termasuk pembiayaan Islam kepada pihak tertentu, tetapi ia tertakluk kepada had dan syarat yang dinyatakan secara jelas dalam undang-undang. Ini termasuk arahan dan garis panduan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) serta peraturan dalaman (by-laws) koperasi itu sendiri.
2. Menurut Seksyen 51(1) Akta Koperasi 1993, hanya pihak-pihak tertentu sahaja yang boleh menerima pembiayaan koperasi, iaitu: (a) ahli koperasi, (b) kakitangan koperasi termasuk Ketua Pegawai Eksekutif jika dibenarkan oleh skim perkhidmatan mereka, (c) anak syarikat koperasi yang didaftarkan mengikut seksyen 19(2), dan (d) koperasi lain yang mendapat kelulusan daripada SKM. Semua kemudahan ini mesti mematuhi arahan dan panduan rasmi yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.
3. Oleh itu, koperasi tidak boleh memberi pinjaman atau pembiayaan kepada orang luar atau bukan ahli, kecuali dalam kes-kes tertentu yang dinyatakan oleh undang-undang atau jika ada kelulusan khas daripada SKM.
4. Sekiranya koperasi melanggar peruntukan ini, ia boleh dianggap sebagai pelanggaran undang-undang dan boleh dikenakan tindakan.
5. Pengecualian kepada larangan ini diberikan di bawah Seksyen 51(2). Seksyen ini menyatakan bahawa larangan dalam subseksyen (1) tidak terpakai sekiranya pembiayaan itu dibuat dalam urusan perniagaan koperasi seperti yang dibenarkan dalam undang-undang lain yang mengawal operasinya, atau dibuat selaras dengan undang-undang kecil (by-laws) koperasi.
6. Ini bermakna terdapat ruang tertentu yang membolehkan koperasi memberi pembiayaan secara sah walaupun kepada pihak luar, jika ianya selaras dengan skop operasi yang dibenarkan.
7. Berkenaan dengan kemudahan pembiayaan yang diberikan kepada ahli pula, contoh kemudahan pembiayaan yang lazim diberikan oleh koperasi termasuklah pinjaman peribadi kepada ahli dengan potongan gaji (contohnya melalui ANGKASA), pembiayaan kenderaan, pembiayaan pendidikan, dan pembiayaan perniagaan kecil-kecilan untuk ahli koperasi.
8. Semua kemudahan ini biasanya datang dengan kadar keuntungan yang kompetitif dan lebih mudah dipohon berbanding institusi kewangan biasa.
9. Jika seorang ahli gagal membayar pinjaman, koperasi berhak menuntut semula hutang tersebut melalui tindakan undang-undang. Ini boleh dilakukan sama ada dengan memfailkan tuntutan di Mahkamah atau menggunakan saluran pertikaian melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia seperti yang diperuntukkan dalam Seksyen 82 Akta Koperasi 1993.
10. Oleh itu, walaupun koperasi adalah entiti berasaskan ahli, ia tetap mempunyai hak dan perlindungan undang-undang seperti institusi kewangan lain untuk menuntut hutang yang tertunggak.
11. Penting untuk diingat bahawa kemudahan pembiayaan oleh koperasi bukan sahaja tertakluk kepada akta koperasi, tetapi juga perlu dipantau dari sudut kelulusan dalaman dan rekod keahlian.
12. Pembiayaan tanpa mematuhi syarat-syarat ini boleh menyebabkan keseluruhan transaksi menjadi tidak sah dan mendedahkan koperasi kepada risiko undang-undang.
13. Walaupun koperasi adalah badan yang mengutamakan kebajikan ahlinya, ia juga terikat dengan prinsip pengurusan kewangan yang baik. Justeru, pemberian pinjaman secara sembarangan kepada individu yang tidak layak atau di luar skop undang-undang boleh menjejaskan kedudukan kewangan koperasi itu sendiri.
14. Ringkasnya, koperasi memang boleh memberi pinjaman atau pembiayaan, tetapi ia hanya boleh dilakukan kepada pihak yang dibenarkan oleh undang-undang dan mengikut garis panduan yang ditetapkan. Semua kemudahan ini tertakluk kepada pengawasan Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan tidak boleh disalahgunakan.
Berwaspada dan beringatlah selalu!
Untuk sebarang maklumat lanjut berkenaan dengan rencana ini atau untuk mengatur sesi konsultasi guaman, anda boleh berhubung dengan mana-mana peguam pilihan anda, atau pun anda boleh menghubungi kami [Firma Guaman Tetuan Hafeez & Hazlina] melalui whatsapp dengan menekan imej diatas.