>

APA ITU SALAH LAKU PEKERJA? HAK MAJIKAN?


Gambaran konsep salah laku pekerja serta hak majikan di bawah undang-undang


Dikemaskini pada 07 Disember 2025

SALAH LAKU PEKERJA? APAKAH HAK MAJIKAN?

Sebagai seorang majikan, perkara yang paling menggusarkan adalah apabila ada pekerja yang melakukan salah laku. Apakah salah laku pekerja? Salah laku bagaimana yang membolehkan pekerja diambil tindakan disiplin? 

APA ITU SALAH LAKU PEKERJA?

1. Didalam Akta Perhubungan Perusahaan 1967 atau Akta Kerja 1955, undang-undang tidak memberikan definisi yang khusus terhadap apa yang dimaksudkan sebagai Salahlaku (misconduct). Namun definisi salahlaku telah diteroka dengan mendalam oleh pelbagai kes-kes di Mahkamah Perusahaan.

2. Sekiranya anda adalah seorang pekerja, maka senarai ini boleh membantu anda mengenal pasti salah laku pekerja yang perlu dielakkan. Sekiranya anda adalah seorang majikan atau mempunyai syarikat, maka senarai ini boleh membantu anda untuk membuat keputusan sebelum mengambil apa-apa tindakan terhadap pekerja-pekerja anda.

3. Secara lazimnya, salah laku pekerja bermaksud apa-apa perbuatan yang melanggar terma-terma tersurat atau tersirat (express or implied) sesuatu kontrak perkhidmatan secara khusus. 

4. Ianya juga boleh difahami sebagai suatu kelakuan atau perbuatan pekerja yang secara amnya dianggap sebagai merosakan reputasi atau kepentingan majikannya. 

5. "Masalah Disiplin" juga adalah satu terma yang lebih mudah difahami dan sering dirujuk dan diguna pakai terhadap pekerja yang melakukan salah laku.

JENIS-JENIS SALAH LAKU PEKERJA

6. Sesuatu salah laku boleh ditafsirkan melalui tiga klasifikasi iaitu:

i. salah laku yang berkaitan dengan tugas;

ii. salah laku yang berkaitan dengan disiplin; dan

iii. salah laku yang berkaitan dengan moral.

7. Namun bagi maksud rencana ini, secara lazimnya, salah laku pekerja boleh dibahagikan kepada dua; yang pertama adalah salah laku ringan/kecil (minor misconduct) manakala yang kedua pula adalah salah laku berat (major misconduct).

8. Membezakan jenis-jenis salah laku ini adalah penting bagi maksud untuk memastikan tindakan yang dikenakan oleh majikan keatas seseorang pekerja itu adalah setimpal dan adil.

SALAH LAKU RINGAN/KECIL (MINOR MISCONDUCT)

9. Salah laku ringan/kecil adalah jenis-jenis salah laku yang mana kelakuan pekerja itu tidak terlampau menjejaskan hubungan di antara pekerja dan majikan dan impaknya terhadap reputasi syarikat adalah kecil.

10. Di antara salah laku ringan adalah seperti hadir lewat, tidak menjalankan tugas dengan baik, tidak menepati waktu kerja, cuai di dalam menggunakan alatan milik syarikat, tidak memakai uniform yang ditetapkan dan sebagainya.

11. Salah laku sebegini pada kebiasaannya mewarankan majikan ataupun pegawai tenaga kerja (Human Resource) mengeluarkan notis-notis amaran terhadap pekerja tersebut.

12. Sekiranya salah laku kecil ini berlaku berulang kali walaupun notis amaran pertama dan kedua telah dikeluarkan, ianya boleh menjadi satu salah laku berat yang membolehkan tindakan disiplin yang lebih berat di ambil oleh majikan. 

SALAH LAKU BERAT (MAJOR MISCONDUCT)

13. Salah laku berat adalah suatu kesalahan yang mana ianya memberikan impak yang sangat besar terhadap reputasi syarikat dan juga hubungan di antara pekerja dan majikan.

14. Sebelum melakukan apa-apa tindakan bagi setiap salah laku berat, majikan hendaklah menjalan siasatan terhadap salah laku tersebut.

CONTOH SALAH LAKU BERAT

15. Sebagai rujukan, disini disenaraikan secara ringkas diantara perlakuan-perlakuan yang boleh didefinisikan sebagai salah laku berat yang seterusnya membolehkan Majikan mengambil tindakan disiplin yang tegas terhadap pekerja-pekerjanya. 

(a) Ketidakpatuhan yang disengajakan (willful insubordination), samada secara bersendirian mahupun berkumpulan, terhadap arahan-arahan majikan yang sah dan munasabah;

(b) Terlibat didalam kes curi, penipuan dan ketidakjujuran berkaitan dengan urusniaga dan hartabenda Majikan;

(c) Membuat kerosakan secara sengaja terhadap hartabenda Majikan;

(d) Memberi atau menerima rasuah;

(e) Tidak menghadirkan diri ke tempat kerja tanpa kebenaran secara berterusan;

(f) Gagal menghadirkan diri ke tempat kerja pada waktu yang ditetapkan secara berterusan;

(g) Gangguan seksual di tempat kerja;

(h) Berkelakuan tidak sopan sewaktu didalam tempoh waktu bekerja;

(i) Penggunaan dadah atau alkohol sewaktu bekerja;

(j) melakukan salah laku kecil secara terus menerus; 


16. Di atas adalah beberapa perlakuan-perlakuan yang boleh menyebabkan seseorang pekerja dikenakan dengan tindakan oleh Majikan. Senarai tersebut pastinya bukan muktamad namun ianya seharusnya cukup sekadar menjadi garis panduan kepada Majikan dan Pekerja.

17. Sekiranya anda telah di buang kerja dan anda merasakan anda dibuang tanpa alasan yang munasabah dan tidak melibatkan salah laku salah laku di atas, anda boleh baca tentang tindakan yang anda boleh lakukan di dalam rencana kami yang boleh dibaca disini.

SOALAN-SOALAN LAZIM

1. Apakah maksud salah laku pekerja dari sudut undang-undang?

Undang-undang tidak mendefinisikan “misconduct” secara spesifik, tetapi mahkamah telah mentafsirkannya sebagai perbuatan dan salah laku pekerja yang melanggar terma kontrak kerja atau merosakkan reputasi dan kepentingan majikan.

2. Apa beza salah laku ringan dengan salah laku berat?

Salah laku ringan lazimnya tidak memberi impak besar kepada reputasi syarikat, contohnya hadir lewat atau merokok. Salah laku berat pula melibatkan perbuatan yang menjejaskan kepercayaan, seperti mencuri, rasuah, gangguan seksual, insubordinasi, atau tidak hadir bekerja berterusan.

3. Adakah majikan boleh terus membuang pekerja apabila berlaku salah laku berat?

Lazimnya, majikan akan menjalankan siasatan terlebih dahulu (domestic inquiry atau sekurang-kurangnya siasatan awal) sebelum menjatuhkan apa-apa tindakan disiplin. Lazimnya dalam tempoh siasatan, majikan boleh menggantung kerja (suspend) pekerja tersebut.

4. Berapa banyak amaran perlu dikeluarkan bagi salah laku ringan?

Kebiasaannya amaran pertama dan kedua sudah memadai sebelum tindakan lebih serius diambil. Jika salah laku ringan berulang berterusan, ia boleh dinaikkan taraf menjadi salah laku berat.

5. Jika pekerja dibuang kerja tanpa alasan munasabah, apa tindakan yang boleh diambil?

Pekerja boleh membuat aduan kepada Jabatan Tenaga Kerja dan seterusnya memfailkan representasi di bawah Seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan 1967 untuk mencabar pembuangan kerja tidak adil (unfair dismissal).

_______________________

tipu tanah, tipu pejabat tanah

Penafian: Rencana di dalam Norhafeezlaw[dot]com ini diterbitkan dengan tujuan untuk kesedaran dan pengetahuan umum. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam rencana ini tidak boleh dijadikan panduan untuk memulakan tindakan undang-undang secara sendirian, tanpa terlebih dahulu merujuk kepada seorang peguam yang berpengalaman. Untuk sebarang maklumat lanjut berkenaan dengan rencana ini atau untuk mengatur sesi konsultasi guaman, anda boleh berhubung dengan mana-mana peguam pilihan anda, atau pun anda boleh menghubungi kami [Firma Guaman Tetuan Hafeez & Hazlina] melalui whatsapp dengan menekan imej diatas.

9 Pertanyaan & Jawapan

  1. salam sejahtera tuan.

    mohon pencerahan sekiranya salah laku saya di kira berat di sebabkan gagal untuk memenuhi polisi syarikat yg mewajibkan kakitangan yang tidak me gambil vaksin covid 19 untuk membuat ujian rtk antigen sebanyak 2 kali seminggu dengan kos di tanggung pekerja tersebut.saya telah di buang kerja setelah membalas 3 kali surat tunjuk sebab Dan gantung kerja 14 hari.dalam pada masa yg sama pihak syarikat juga gagal mengikut arahan MKN yg mewajibkan syarikat membuat ujian rtk kepada semua kakitangan sebanyak 1 kali untuk tempoh 2 minggu.saya melanggar polisi tersebut di sebabkan polisi berlandaskan hukuman Dan bukan bersifat mencegah penyakit di mana pekerja yang di vaksin tidak perlu membuat ujian apa apa.sekian terima kasih

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sekiranya cik merasakan pembuangan tersebut adalah tidak adil, maka encik boleh membuat aduan kepada Jabatan Negara Kerja

      Padam
  2. Salam sejahtera Tuan,

    Saya ingin meminta pendapat Tuan, adakah pihak majikan dibenarkan membuat laporan polis sekiranya pekerja gagal mematuhi aturan dan gagal membuat bayaran. Sebagai contoh, dalam situasi yang saya alami, terdapat satu pekerja yang telah berhenti kerja tanpa diberikan sebarang notis. Selama tempoh dia berhenti, sebuah mesin yang dikendalikan oleh pekerja tersebut telah rosak teruk dan mengakibatkan kerugian kepada syarikat kami. Pekerja tersebut telahpun dipanggil di pejabat buruh dan syarikat kami telah menuntut bayaran gaji notis sebulan memandangkan dia berhenti kerja tanpa sebarang notis bertulis seperti tertulis pada kontrak pelantikan kerja. Pekerja tersebut diberikan tempoh untuk membayar secara ansuran tetapi gagal untuk melunaskannya.

    Mohon pencerahan Tuan. Terima Kasih

    BalasPadam
  3. mohon pencerahan..boleh kah majikan meggantung kerja selama 1mimggu atas kesalahan bergaduh di tempat kerja (tolak gaji) dan memberi warning letter serta penolakan rm300 juga?...dan bolehkah majikan mengeluarkan warting letter serta penolakkan rm300 kerana menjatuhkan barang semasa kerja loading di lakukan?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Rujuk SOP syarikat. Namun secara umumnya boleh selama mana ianya selaras dengan SOP syarikat.

      Padam
  4. Saya nak tanya , boleh ke company memberikan warning latters kepada staff . tanpa ada teguran lisan atau bertulis ? Dan boleh ke company cut bonus staff sekiranya dia tidak berpuas hati kepada staff tersebut ? Dan boleh ke company tidak membayar ot staff tersebut atas dasar cut costing kedai ?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Berkenaan Surat Amaran; Perlu rujuk SOP syarikat, namun secara amnya boleh. Warning Letter itu sendiri adalah satu bentuk teguran bertulis. Berkenaan bonus, ianya adalah prerofatif majikan dan bukannya hak pekerja untuk mendapat bonus. Berkenaan OT, tidak boleh.

      Padam

Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.