BAGAIMANA CARA MELANTIK PEGUAM DI MALAYSIA?

Kenapa Perlu Melantik Peguam? Cara Melantik Peguam di Malaysia

Dikemas kini pada: 16 Mac 2026

Ramai orang tertanya-tanya sama ada benar-benar perlu melantik seorang peguam untuk mengendalikan sesuatu kes undang-undang. Ada juga yang beranggapan bahawa tindakan sendiri tanpa peguam boleh menjimatkan kos guaman yang mahal.

Hakikatnya, sistem Mahkamah mempunyai prosedur, dokumen dan peraturan yang ketat. Kesilapan kecil seperti kegagalan mematuhi prosedur Mahkamah atau memfailkan dokumen yang salah boleh menyebabkan kes ditolak atau dibatalkan.

Secara ringkas, melantik peguam biasanya penting apabila sesuatu perkara melibatkan hak undang-undang, dokumen rasmi, prosedur Mahkamah atau risiko kewangan yang besar. Peguam membantu memastikan tindakan dibuat dengan betul, teratur dan mengikut undang-undang yang berkuat kuasa.

Rencana ini menerangkan secara ringkas kenapa melantik peguam selalunya merupakan langkah yang bijak, bagaimana proses melantik peguam dilakukan di Malaysia, dan apa yang patut diberi perhatian sebelum anda bersetuju melantik seseorang peguam.

Rujukan berkaitan:

• Lokasi Mahkamah di Semenanjung Malaysia Baca di sini

• Apakah etika hadir ke Mahkamah Baca di sini

• Whatsapp Firma Guaman Hafeez & Hazlina Whatsapp di sini

Ringkasan

1. Melantik peguam biasanya penting apabila sesuatu kes melibatkan prosedur Mahkamah, dokumen undang-undang, bidang kuasa, tempoh masa pemfailan atau risiko kos yang tinggi.

2. Mengendalikan kes sendiri tanpa pengetahuan undang-undang yang mencukupi boleh menyebabkan penyediaan dan pemfailan dokumen salah, prosedur tidak dipatuhi yang seterusnya boleh menyebabkan kes ditolak serta kos dikenakan oleh Mahkamah.

3. Cara melantik peguam lazimnya bermula dengan mencari peguam yang sesuai, menghadiri sesi konsultasi, mendapatkan sebut harga fi guaman dan menandatangani Surat Perlantikan ataupun Waran Untuk Bertindak.

4. Sebelum melantik peguam, pastikan kita memahami sedikit sebanyak bekenaan dengan skop arahan, caj konsultasi, fi guaman, kos tambahan serta dokumen apa yang perlu disediakan untuk kes tersebut.

Kenapa Perlu Melantik Peguam?

5. Melantik peguam adalah penting kerana proses Mahkamah melibatkan prosedur undang-undang yang kompleks, tempoh masa pemfailan dokumen yang sangat ketat dan dokumen yang perlu disediakan dengan tepat. 

6. Peguam secara umumnya berfungsi membantu Mahkamah dan juga membantu kita mendapatkan hak kita sewajarnya melalui proses undang-undang yang betul. Proses Mahkamah kadangkala melibatkan prosedur yang rumit dan perlu dipatuhi mengikut tempoh masa yang ditetapkan.

7. Kegagalan untuk mematuhi mana-mana prosedur ini boleh menyebabkan sesuatu tindakan dibatalkan, ditolak atau menghadapi masalah teknikal yang boleh menjejaskan kes kita.

8. Peguam yang berpengalaman biasanya telah melengkapkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran mengenai selok-belok undang-undang serta proses Mahkamah. Tambahan pula, undang-undang sentiasa berkembang dari semasa ke semasa dan memerlukan kefahaman yang sentiasa dikemas kini.

Apakah Risiko Jika Mengendalikan Kes Sendiri?

9. Mengendalikan kes sendiri tanpa peguam boleh menyebabkan kesilapan prosedur seperti memfailkan dokumen yang salah, memilih Mahkamah yang tidak mempunyai bidang kuasa atau gagal mematuhi tempoh masa yang ditetapkan oleh Mahkamah.

10. Kesilapan seperti ini bukan sahaja boleh menyebabkan tindakan Mahkamah dibatalkan, malah dalam sesetengah keadaan boleh menyebabkan anda diperintahkan membayar kos kepada pihak lawan.

11. Dengan adanya peguam, banyak risiko ini boleh dielakkan kerana peguam akan memastikan bahawa semua dokumen difailkan dengan betul dan prosedur Mahkamah dipatuhi dengan teliti.

12. Selain itu, peguam yang amanah juga tertakluk kepada peraturan profesional yang ketat. Sekiranya seseorang peguam cuai dalam mengendalikan kes, peguam tersebut boleh dikenakan tindakan disiplin oleh Lembaga Tatatertib Peguambela dan Peguamcara, malah boleh juga disaman di Mahkamah.

Bagaimana Cara Melantik Peguam?

13. Cara melantik peguam sebenarnya tidaklah terlalu rumit. Kebiasaannya proses bermula dengan mencari peguam yang sesuai, menghadiri sesi konsultasi dan akhirnya menandatangani dokumen pelantikan peguam tersebut.

14. Langkah pertama ialah mencari peguam yang sesuai dengan jenis kes kita. Ini boleh dilakukan melalui carian internet seperti Google atau melalui media sosial. 

15. Kita boleh mencari peguam berdasarkan jenis kes seperti harta pusaka, perceraian, kontrak atau saman fitnah.

16. Selain itu, kita juga boleh mencari peguam berdasarkan lokasi yang lebih mudah untuk anda berurusan.

17. Selepas kita menemui firma guaman yang sesuai, hubungi firma tersebut dan aturkan sesi konsultasi dengan peguam yang berkaitan. 

18. Kebiasaannya sesi konsultasi akan dikenakan caj minimum bergantung kepada pengalaman dan polisi firma guaman tersebut.

19. Sebelum menghadiri konsultasi, adalah disarankan untuk membawa semua dokumen yang berkaitan dengan kes kita supaya peguam dapat menilai situasi dengan lebih jelas.

20. Selepas sesi konsultasi, peguam biasanya akan memberikan pandangan awal sama ada kes kita mempunyai asas undang-undang yang baik atau tidak. 

21. Walau bagaimanapun, peguam yang beretika biasanya tidak akan menjanjikan kemenangan kerana keputusan Mahkamah bergantung kepada banyak dan pelbagai faktor.

Apa Yang Berlaku Selepas Melantik Peguam?

22. Jika kita bersetuju untuk meneruskan tindakan undang-undang, langkah seterusnya ialah mendapatkan sebut harga yuran guaman daripada peguam tersebut. 

23. Yuran ini biasanya merangkumi kos membuka fail serta memulakan tindakan di Mahkamah.

24. Adalah penting untuk mendapatkan penjelasan yang jelas mengenai yuran guaman serta kos-kos lain yang mungkin terlibat supaya tidak timbul salah faham di kemudian hari.

25. Selepas semua terma perlantikan dipersetujui, kita lazimnya akan diminta menandatangani dokumen seperti Surat Perlantikan atau Waran Untuk Bertindak. 

26. Surat Perlantikan atau Waran untuk Bertindak ini adalah dokumen yang akan menyatakan skop kerja peguam dan persetujuan kita untuk membayar fi guaman yang dipersetujui.

27. Perkara yang paling penting ialah memastikan bahawa fi guaman dibayar seperti yang dipersetujui. Dalam keadaan tertentu, peguam mempunyai hak untuk mengambil tindakan undang-undang bagi menuntut bayaran fi guaman yang tertunggak.

Soalan Lazim

Adakah wajib melantik peguam untuk pergi ke Mahkamah?

Tidak wajib dalam semua kes, tetapi bagi kebanyakan kes sivil yang melibatkan prosedur rumit atau tuntutan yang besar, melantik peguam sangat disarankan.

Berapa kos untuk melantik peguam?

Yuran guaman bergantung kepada jenis kes, tahap kerumitan, pengalaman peguam dan skop kerja yang dipersetujui antara klien dengan firma guaman.

Apa dokumen yang perlu dibawa semasa konsultasi dengan peguam?

Bawa semua dokumen yang berkaitan dengan pertikaian atau isu undang-undang anda, termasuk surat, perjanjian, resit, mesej, notis atau apa-apa rekod yang relevan.

Bolehkah saya tukar peguam selepas melantik seorang peguam?

Ya, klien boleh menukar peguam, tetapi fi guaman bagi kerja yang telah dilakukan mungkin masih perlu dijelaskan terlebih dahulu.

Adakah peguam boleh menjamin kemenangan kes?

Tidak. Peguam yang beretika tidak patut menjanjikan kemenangan kerana keputusan Mahkamah bergantung pada fakta, dokumen, undang-undang dan penilaian Mahkamah.

_______________________

Hafeez Hazlina Fima Guaman Kuala Lumpur

Penafian: Rencana di dalam Norhafeezlaw[dot]com ini diterbitkan dengan tujuan untuk kesedaran dan pengetahuan umum. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam rencana ini tidak boleh dijadikan panduan untuk memulakan tindakan undang-undang secara sendirian, tanpa terlebih dahulu merujuk kepada seorang peguam yang berpengalaman. Untuk sebarang maklumat lanjut berkenaan dengan rencana ini atau untuk mengatur sesi konsultasi guaman, anda boleh berhubung dengan mana-mana peguam pilihan anda, atau pun anda boleh menghubungi kami [Firma Guaman Tetuan Hafeez & Hazlina] melalui whatsapp dengan menekan imej di atas.

5 Pertanyaan & Jawapan

  1. Assalamualaikum saya telah diberikan satu notis Saman kerana premise yg saya sewa sebelum ini telah didapati melakukan pengusikan meter TNB. Kejadian ini berlaku semasa Tempoh PKP. Pemilik telah menyewakan kepada penyewa lain. Selepas saya melepaskan kontraksewaan bangunan kepada pemilik, saya tidak dapat menamatkan langganan TNB kerana terhalang oleh prosedur PKP. Bagaimana cara saya membela diri kerana saya tidak mampu untuk melantik dan membayar peguam.

    BalasPadam
    Balasan
    1. sekiranya tidak mampu melantik peguam, cuba rujuk Yayasan Bantuan Guaman Negeri

      Padam
  2. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.

    BalasPadam
  3. Saya juga telah memohon di Jabatan Guaman tetapi mereka tidak mengambil kes seperti ini

    BalasPadam

Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.