>

ETIKA HADIR MAHKAMAH DI MALAYSIA: PAKAIAN, PERATURAN DAN APA YANG TIDAK BOLEH DILAKUKAN

etika hadir mahkamah malaysia pakaian sesuai dan peraturan dalam mahkamah

Dikemas kini pada: 14 Mac 2026

Etika hadir mahkamah merangkumi cara berpakaian, adab semasa prosiding dan pematuhan kepada peraturan dalam mahkamah Malaysia. Orang awam yang hadir ke mahkamah perlu berpakaian sopan, menjaga tingkah laku, mematikan telefon bimbit dan mengelakkan sebarang perbuatan yang boleh mengganggu perjalanan prosiding.

Mahkamah merupakan institusi rasmi sistem kehakiman negara. Oleh itu, setiap individu yang hadir ke mahkamah perlu mematuhi etika, adab dan peraturan tertentu bagi memastikan prosiding dapat berjalan dengan tertib dan menghormati kedudukan mahkamah.

Artikel ini menerangkan secara ringkas beberapa etika asas, peraturan dalam mahkamah Malaysia serta perkara yang tidak boleh dilakukan ketika berada di dalam mahkamah.

Rujukan berkaitan:

• Lokasi Mahkamah di Semenanjung Malaysia Baca di sini

• Cara Melantik Peguam Baca di sini

• Whatsapp Firma Guaman Hafeez & Hazlina Whatsapp di sini

Apa maksud Etika Hadir Mahkamah?

1. Etika hadir mahkamah merujuk kepada adab, pakaian dan peraturan yang perlu dipatuhi oleh setiap individu yang hadir ke mahkamah semasa prosiding dijalankan. Tujuannya ialah memastikan perjalanan prosiding berjalan tertib dan menghormati institusi mahkamah.

Apakah Etika Ketika Hadir Dalam Mahkamah?

2. Pihak yang hendak berada dalam Mahkamah hendaklah hadir pada hari dan masa yang ditetapkan oleh Mahkamah. Mahkamah lazimnya bersidang bermula pada pukul 9.00 pagi. Oleh itu, jangan datang lewat.

3. Di dalam sesuatu kompleks Mahkamah, terdapat banyak dewan-dewan mahkamah yang mengendalikan kes. Dewan mahkamah ini dipanggil Bilik atau Dewan Bicara. Pastikan lokasi Dewan Bicara yang perlu dihadiri melalui bantuan pegawai di kaunter pertanyaan Mahkamah.

4. Setelah sampai di Dewan Bicara, duduk di tempat duduk yang terletak di bahagian paling belakang Dewan Bicara. Tempat duduk ini lazimnya dipanggil Galeri Awam. 

5. Apabila berada di dalam Dewan Bicara Mahkamah, pastikan untuk bangun dan tunduk hormat apabila Hakim atau Majistret masuk atau keluar dari Mahkamah.

6. Sentiasa bawa kad pengenalan. Apabila dipanggil oleh Mahkamah, tampil ke hadapan dan kenalkan diri dengan menunjukkan kad pengenalan tersebut.

7. Berikan sepenuh perhatian terhadap perjalanan kes semasa prosiding sedang berlangsung.

8. Dilarang bercakap-cakap atau membuat bising semasa Mahkamah sedang bersidang. Merakam prosiding Mahkamah yang sedang berjalan melalui apa jua cara juga adalah di larang.

9. Tunduk hormat mengadap Hakim ketika hendak keluar dan meninggalkan Dewan Bicara ketika Mahkamah yang sedang bersidang.

10. Kanak-kanak tidak digalakkan dibawa masuk ke dalam Mahkamah semasa prosiding sedang dijalankan.

Apakah Pakaian Yang Sesuai Ke Mahkamah?

11. Mahkamah merupakan tempat rasmi yang menuntut tahap kesopanan dan profesionalisme tertentu. Oleh itu, individu yang hadir ke mahkamah hendaklah memakai pakaian yang bersih, kemas dan sopan.

12. Antara pakaian yang lazimnya tidak dibenarkan dipakai ketika hadir ke mahkamah termasuk:

a. Seluar atau skirt pendek.

b. Jeans.

c. Selipar.

d. Topi keledar.

e. Cermin mata hitam.

f. Jaket kulit, jaket denim atau pakaian tanpa lengan.

g. Pakaian yang terlalu terang atau sarat dengan perhiasan.

Apakah Peraturan Umum Dalam Mahkamah?

13. Selain etika dan pakaian, terdapat juga beberapa peraturan umum yang perlu dipatuhi oleh orang awam ketika berada di dalam kompleks mahkamah.

14. Antara peraturan asas tersebut termasuk larangan membawa sebarang senjata tajam atau benda merbahaya ke dalam kawasan mahkamah.

15. Mahkamah juga tidak membenarkan sebarang bentuk rakaman audio, visual atau video tanpa kebenaran.

16. Telefon bimbit dan peranti elektronik yang boleh menghasilkan bunyi atau rakaman hendaklah dimatikan atau diletakkan dalam mod senyap.

Apa Yang Tidak Boleh Dilakukan Dalam Mahkamah?

17. Secara ringkas, terdapat beberapa perkara yang tidak wajar dilakukan ketika berada di dalam mahkamah.

18. Ini termasuk membuat bising, bercakap sesama sendiri semasa prosiding sedang berjalan, menggunakan telefon bimbit secara aktif atau cuba merakam prosiding mahkamah tanpa kebenaran.

19. Sebarang tingkah laku yang mengganggu perjalanan prosiding atau menunjukkan kurang hormat kepada Mahkamah boleh menyebabkan individu tersebut diarahkan keluar dari Mahkamah atau dikenakan tindakan yang bersesuaian.


gambar dalam mahkamah malaysia

Orang awam boleh mengikuti proses bicara tertentu dengan duduk di Galeri Awam.

Soalan Lazim

Apa pakaian sesuai ke mahkamah?
Pakaian yang sesuai ke mahkamah ialah pakaian yang kemas, sopan dan tidak menjolok mata. Elakkan pakaian santai seperti selipar, seluar pendek atau pakaian terlalu mencolok.

Boleh guna telefon dalam mahkamah?
Telefon biasanya perlu dimatikan atau diletakkan dalam mod senyap. Rakaman audio atau video di dalam mahkamah tidak dibenarkan tanpa kebenaran.

Boleh bercakap semasa prosiding?
Orang awam tidak dibenarkan bercakap atau membuat bising semasa prosiding mahkamah sedang berjalan.

_______________________

Hafeez Hazlina Fima Guaman Kuala Lumpur

Penafian: Rencana di dalam Norhafeezlaw[dot]com ini diterbitkan dengan tujuan untuk kesedaran dan pengetahuan umum. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam rencana ini tidak boleh dijadikan panduan untuk memulakan tindakan undang-undang secara sendirian, tanpa terlebih dahulu merujuk kepada seorang peguam yang berpengalaman.Untuk sebarang maklumat lanjut berkenaan dengan rencana ini atau untuk mengatur sesi konsultasi guaman, anda boleh berhubung dengan mana-mana peguam pilihan anda, atau pun anda boleh menghubungi kami [Firma Guaman Tetuan Hafeez & Hazlina] melalui whatsapp dengan menekan imej di atas.

0 Pertanyaan & Jawapan

Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.