PROSES BICARA DI MAHKAMAH DAN PERSEDIAAN AWAL YANG PERLU DILAKUKAN.
Apabila kita memfailkan saman sivil terhadap seseorang, objektif utama disebalik tindakan saman tersebut adalah untuk mendapatkan suatu Penghakiman di Mahkamah. Sebagaimana yang kita sedia tahu, tidak boleh tidak, pihak-pihak yang bertindak melalui Mahkamah, hendaklah bersedia untuk proses Bicara Penuh. Apakah itu proses bicara penuh di Mahkamah? Apakah yang perlu disediakan untuk sesuatu proses bicara?
APA ITU PROSES BICARA?
1. Apabila anda memfailkan saman terhadap seseorang, anda sudah tentu akan menyokong tuntutan anda dengan fakta versi anda sendiri. Lawan anda pula pastinya ada fakta versi mereka sendiri untuk menafikan tuntutan anda. Fakta yang mana yang akan diterima Mahkamah?
2. Cara untuk menentukan fakta versi yang mana lebih dipercayai adalah dengan cara memanggil saksi-saksi, dengan rujukan dokumen-dokumen, dari kedua-dua belah pihak untuk menyokong atau mencabar fakta masing-masing. Proses ini lah yang dipanggil proses Bicara.
3. Secara lebih ringkas, proses Bicara adalah proses di mana pihak-pihak yang bertelagah (Plaintif dan Defendan), bersama saksi-saksi masing-masing yang lain, akan dipanggil ke kandang saksi Mahkamah untuk memberikan keterangan di hadapan Hakim.
4. Peguam-peguam untuk semua pihak yang terlibat turut diberi peluang untuk menanyakan soalan-soalan kepada saksi-saksi yang dibawa ke Mahkamah melalui proses yang dipanggil Pemeriksaan.
5. Peguam-peguam juga akan mengambil peluang semasa proses pemeriksaan saksi-saksi ini untuk turut memeriksa dokumen-dokumen yang dirujuk dan disediakan oleh pihak-pihak.
PERSEDIAAN DOKUMEN UNTUK BICARA MAHKAMAH
6. Sekiranya anda mewakili diri sendiri, terdapat beberapa dokumen pra bicara yang adan perlu sediakan, di antaranya ialah; Ikatan Dokumen, Ikatan Pliding, Fakta yang dipersetujui, Isu untuk Dibicarakan, Ringkasan Kes, Senarai Saksi dan sebagainya.
7. Sekiranya anda melantik peguam, anda tidak perlu pening kepala untuk menyediakan dokumen-dokumen yang rumit di atas. Peguam anda akan bertanggungjawab untuk menyediakannya.
8. Ianya dikenali sebagai dokumen-dokumen pra bicara (Pre trial Documents) kerana kebiasaanya dokumen-dokumen ini disediakan sebelum proses Bicara di mulakan. Ianya berfungsi untuk melicinkan dan memudahkan proses Bicara.
PERSEDIAAN SAKSI UNTUK BICARA MAHKAMAH
9. Saksi-saksi yang disenaraikan untuk hadir memberikan keterangan di sarankan untuk bersedia dan membiasakan diri dengan dokumen yang akan dirujuk oleh beliau sewaktu bicara nanti.
10. Saksi-saksi yang dipanggil ke Mahkamah juga hendaklah tahu kenapa beliau hadir ke Mahkamah pada hari tersebut.
11. Saksi-saksi juga hendaklah bersediakan secara fizikal kerana sesi bicara di Mahkamah boleh mengambil masa yang sangat lama, dari berjam-jam hingga berhari-hari. Jadi persediaan yang rapi hendaklah dilakukan.
12. Saksi juga dinasihati untuk memakai pakaian yang sopan, formal dan sedikit tebal kerana suhu di dalam Mahkamah selalunya agak sejuk. Sediakan juga air mineral kerana menjawab soalan di dalam jangka masa yang lama, di dalam tempat tertutup yang berhawa dingin, boleh mengeringkan tekak dengan sangat cepat.
Hubungi kami di 0129797494 atau menerusi email di norhafeezlaw@gmail.com atau menerusi kotak pertanyaan untuk sebarang maklumat lanjut.
0 Pertanyaan & Jawapan
Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.