>

BICARA DALAM KAMAR - Episod 4 - SAMAN MALU LAPORAN SALAH LAKU?

 

peguam saman malu fitnah

 BICARA DALAM KAMAR - Episod 4

SAMAN MALU LAPORAN SALAH LAKU TEMPAT KERJA

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada pembaca dan pengunjung blog Norhafeezlaw. Saya doakan anda semua di dalam keadaan sihat walafiat. Nama saya Hafeez dan saya merupakan peguam yang mengendalikan blog ini. Siri Bicara Dalam Kamar ini saya mulakan bagi memberi ruang untuk saya berceloteh dan berkongsi pengalaman harian saya mengendalikan kes-kes sebagai seorang peguam secara santai dan padu. Harapan saya adalah agar setiap perkongsian didalam siri ini boleh memberi sentapan, manfaat, panduan, tauladan dan sempadan kepada para pembaca.

KONSULTASI SAMAN MALU

1. Pada awal tahun ini, saya telah dihubungi oleh seorang individu budiman yang mahu mengatur sesi konsultasi dengan saya. Ingin bertanya tentang kes saman malu atau saman fitnah katanya.

2. Pada tarikh yang ditetapkan untuk konsultasi, beliau datang berjumpa saya. Kes beliau secara ringkasnya adalah berasaskan satu laporan yang dibuat oleh pegawai atasan beliau, tentang dakwaan salah laku yang kononnya dilakukan oleh beliau.

3. Dakwaan tersebut telah menyebabkan beliau digantung kerja dan seterusnya diberhentikan. Justeru itu, individu budiman tersebut ingin mendapatkan penjelasan terperinci tentang proses, prosedur dan juga undang-undang fitnah dengan tujuan ingin memfailkan saman fitnah terhadap pegawai atasan tersebut.

4. Konsultasi pun berjalan. Dan selepas saya dengar keluhan dan masalah beliau dalam hampir setengah jam, saya mula memberikan penjelasan yang terperinci tentang undang-undang fitnah, proses dan prosedurnya dan juga syarat-syarat untuk suatu kes yang baik.

PEMBELAAN DALAM KES SAMAN MALU

5. Beliau tersenyum lebar. Tuduhan palsu ada; rujukan nama ada, disebarkan kepada pihak ketiga pun ada. Syarat nampaknya lengkap. Melihat beliau tersenyum, saya teruskan dengan memberikan penjelasan tentang satu pembelaan yang boleh digunakan terhadap kes beliau.

6. Sekiranya pembelaan ini digunakan, kes beliau boleh dicabar, dipatahkan malah saman beliau boleh dibuang oleh Mahkamah. Pembelaan tersebut adalah pembelaan Perlindungan Bersyarat ataupun Qualified Privilege.

APA ITU PEMBELAAN BERSYARAT?

7. Apa itu pembelaan Perlindungan Bersyarat? Perlindungan Bersyarat adalah salah satu daripada beberapa jenis pembelaan yang boleh digunakan, sekiranya seseorang itu di saman fitnah. 

8. Sekiranya pembelaan ini digunakan dan syarat-syarat untuk menggunakannya dipenuhi, maka Mahkamah tidak mempunyai pilihan lain selain daripada membatalkan saman tersebut, sekiranya dipohon.

9. Apakah keadaan yang dilindungi oleh Perlindungan Bersyarat? Perlindungan Bersyarat adalah satu keadaan, lazimnya di dalam sektor pejabat ataupun media, dimana seseorang itu bertanggungjawab atau dituntut oleh undang-undang atau moral, untuk membuat laporan tentang sesuatu salah laku (walaupun akhirnya didapati tidak benar) kepada majikannya, iaitu pihak yang bertanggungjawab atau dituntut oleh undang-undang atau moral untuk menerima laporan tersebut.

A privileged occasion is, in reference to qualified privilege, an occasion where the person who makes a communication has an interest or a duty, legal, social, or moral, to make it to the person to whom it is made, and the person to whom it is so made has a corresponding interest or duty to receive it. This reciprocity is essential. It is essential for the defence of qualified to succeed - Adam v Ward.

10. Jadi berbalik kepada kes individu budiman tadi, sekiranya pegawai yang membuat laporan itu mempunyai tanggungjawab untuk membuat laporan salah laku tersebut kepada majikan yang turut mempunyai tanggungjawab untuk menerimanya, pegawai tadi boleh menggunakan pembelaan Perlindungan Bersyarat sekiranya disaman fitnah.

MENCABAR PERLINDUNGAN BERSYARAT

11. Perlindungan Bersyarat ini bukanlah pembelaan yang muktamad. Ianya masih boleh dicabar. Bagaimana untuk mencabar pembelaan ini? Ianya boleh dicabar dengan menunjukkan dan membuktikan bahawa laporan yang dibuat itu disertai dengan niat yang tidak baik, hasad dengki, jahat atau motif yang tidak baik secara jelas (express malice). 

Ill-will or evil motive: personal spite or ill-will is sometimes called actual malice, express malice, or malice in fact. In law an act is malicious if done intentionally without just cause or excuse. So long as a person believes in the truth of what he says and is not reckless, malice cannot be inferred from the fact that his belief is unreasonable, prejudiced or unfair Malice in the law of tort is a constituent of malicious prosecution, defamation, malicious falsehood, and conspiracy. But an act otherwise legal is not made wrongful by an improper motive - Anne Lim Keng See v The New Straits Times Press (M) Bhd. 

12. Niat tidak baik ini pula hendaklah dibuktikan dan dinyatakan secara terperinci. Sekiranya niat atau motif tidak baik ini tidak dapat dibuktikan, maka pembelaan Perlindungan Bersyarat akan berjaya.

13. Selepas saya memberikan penjelasan terperinci dan memaklumkan kepada beliau, terdapat potensi yang kes beliau dibatalkan atau dibuang, individu budiman tersebut akur namun ingin mendapatkan pandangan dari peguam-peguam lain. Saya tidak mempunyai masalah dengan itu.

SIREH PULANG KE GAGANG YANG DAH HILANG

14. Selang beberapa bulan selepas itu, beliau menghubungi saya sekali lagi. Beliau memaklumkan kepada saya, beliau telah melantik satu firma untuk memfailkan saman bagi pihaknya terhadap pegawai tersebut dan apa jadi kepada kes beliau? Kes beliau dibuang.

15. Beliau ingin melantik saya untuk mengendalikan rayuan ke Mahkamah Tinggi namun saya menyarankan beliau menggunakan sahaja peguam yang sudah beliau lantik sebelum ini untuk menjimatkan kos.

16. Saya sudah katakan, kes beliau mempunyai potensi untuk dibatalkan. Tanggungjawab saya di dalam sesuatu konsultasi adalah membuat penilaian sewajarnya terhadap kes beliau dan membentang risiko-risiko yang perlu beliau tanggung dan hadapi. Dan apa yang saya nyatakan kepadanya sebelum ini ternyata berlaku.

17. Saya bersimpati terhadap beliau dan berdoa sekiranya benar beliau dianiaya, keadilan dapat diberikan kepada beliau. Tetapi saya juga berharap beliau mendengar nasihat saya kali pertama dahulu. 

18. Sekarang, bukan sahaja beliau perlu membayar kos peguamnya untuk memfailkan saman, malah terpaksa menanggung kos pihak lawan yang diarahkan oleh Mahkamah. Lebih dari itu, terpaksa pula membayar kos peguam untuk rayuan ke Mahkamah Tinggi. Itu belum kira pelaburan tenaga, masa dan emosi sepanjang kes tersebut berjalan.

19. Pilihan sentiasa berada ditangan anda. Peguam akan memberikan nasihat-nasihat yang sewajarnya mengikut pengalaman dan kebijaksanaan peguam. Saranan dan nasihat yang diberikan oleh peguam mungkin berbeza-beza mengikut pengalaman. Namun pilihan sentiasa berada ditangan anda untuk membuat pilihan berdasarkan nasihat yang diberikan oleh peguam anda.

20. Jangan terlampau mengikut emosi. Nilai dahulu samada kes-kes yang mahu dimulakan itu berasas dan yang lebih penting, berbaloi. Pastikan anda menilai fakta-fakta dan risiko-risiko yang dibentangkan oleh peguam. Selepas itu buatlah keputusan dengan teliti.

TAULADAN

i. Jangan lakukan apa-apa salahlaku yang boleh menyebabkan diri dilaporkan kepada pihak atasan.

ii. Dalam dunia pekerjaan, apa sahaja yang kita nak buat pastikan dapatkan kelulusan pihak yang bertanggungjawab memberikan kelulusan.

iii. Dengar nasihat peguam.

iv. Bila peguam minta sesuatu dakwaan dibukti, ianya perlu dibuktikan dengan teliti, jelas dan beserta butir-butir atau dokumen-dokumen lengkap. Tak boleh main agak-agak atau rasa-rasa.

pengalaman saman malu


0 Pertanyaan & Jawapan

Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.