Proses memfailkan saman di Mahkamah Malaysia bukanlah sesuatu yang mudah kerana ia melibatkan beberapa peringkat dan prosedur undang-undang yang perlu dipatuhi. Secara asasnya, tindakan saman sivil bermula dengan langkah awal seperti pengeluaran Notis Tuntutan (LOD) sebelum sesuatu kes dibawa ke Mahkamah. Oleh itu, mendapatkan nasihat daripada peguam yang berpengalaman adalah penting bagi memastikan setiap langkah diambil dengan betul dan strategik.
Namun, apakah sebenarnya proses-proses yang perlu difahami sebelum seseorang membuat keputusan untuk menyaman pihak lain? Siri rencana Aturan Proses Tindakan Mahkamah ini akan menerangkan secara ringkas dan tersusun perjalanan sesuatu tindakan saman sivil di Mahkamah, termasuk peranan Notis Tuntutan, fungsi setiap fasa serta jangka masa yang lazim terlibat.
Rujukan berkaitan:
APA ITU NOTIS TUNTUTAN?
2. Surat atau Notis Tuntutan adalah satu surat rasmi yang mengandungi tuntutan tertentu yang dibuat oleh Plaintif terhadap pihak yang satu lagi. Lazimnya, surat ini disediakan dan dikeluarkan melalui peguam yang dilantik sebagai langkah awal sebelum sesuatu tindakan saman difailkan di Mahkamah.
3. Notis Tuntutan akan menerangkan secara ringkas latar belakang pertikaian, asas tuntutan serta apa yang dikehendaki oleh Plaintif daripada pihak yang dituntut.
4. Ia boleh dihantar melalui pelbagai cara seperti serahan tangan, pos berdaftar, email atau apa-apa kaedah penghantaran yang dipersetujui oleh pihak-pihak, terutamanya dalam kes yang melibatkan kontrak.
5. Secara amalan, Notis Tuntutan kebiasaannya dihantar melalui pos berdaftar bagi memastikan bukti penghantaran dapat direkodkan, terutamanya sekiranya perkara tersebut kemudiannya dibawa ke Mahkamah.
APA KANDUNGAN NOTIS TUNTUTAN?
6. Kebiasaannya sesuatu Surat atau Notis Tuntutan itu akan mengandungi (i) latar belakang kes secara ringkas; (ii) tuntutan-tuntutan yang ingin diruntut; (iii) tempoh masa pematuhan tuntutan; dan (iv) kesan sekiranya tuntutan tidak dipatuhi di dalam tempoh masa yang ditetapkan.
APAKAH FUNGSI NOTIS TUNTUTAN?
7. Secara asasnya, fungsi utama Surat atau Notis Tuntutan adalah untuk memaklumkan kepada pihak yang satu lagi bahawa satu tuntutan undang-undang sedang dibuat terhadapnya.
8. Notis ini akan menerangkan secara ringkas latar belakang kes, apa yang telah berlaku, dan asas kepada tuntutan tersebut supaya pihak yang menerima memahami kedudukan sebenar pertikaian dan apa yang sedang dituntut daripada nya.
9. Selain itu, Notis Tuntutan juga berfungsi sebagai satu amaran rasmi kepada pihak yang ingin disaman. Ia memberi peluang terakhir kepada pihak tersebut untuk mematuhi tuntutan atau menyelesaikan pertikaian tanpa perlu melalui proses Mahkamah. Sekiranya tuntutan tersebut tidak dipatuhi dalam tempoh masa yang ditetapkan, tindakan saman akan difailkan.
10. Dari sudut praktikal, Notis Tuntutan juga memainkan peranan sebagai alat penyelesaian awal. Dalam banyak keadaan, pertikaian boleh diselesaikan di peringkat ini tanpa perlu melibatkan kos dan masa yang tinggi di Mahkamah. Ini menjadikan Notis Tuntutan satu langkah penting sebelum tindakan undang-undang dimulakan.
11. Dalam sesetengah kes yang melibatkan kontrak atau perjanjian, terdapat keadaan di mana pengeluaran Notis Tuntutan adalah satu syarat wajib sebelum tindakan Mahkamah boleh dimulakan. Kegagalan untuk mematuhi syarat ini boleh memberi kesan kepada kekuatan kes atau hak untuk meneruskan tuntutan.
APA KESAN NOTIS TUNTUTAN?
12. Selain bertindak sebagai amaran awal sebelum sesuatu tindakan undang-undang dimulakan, pengeluaran Notis Tuntutan boleh memberi kesan yang signifikan kepada perjalanan sesuatu pertikaian.
13. Dalam banyak keadaan, Notis Tuntutan membuka ruang kepada pihak-pihak untuk menyelesaikan pertikaian di peringkat awal tanpa perlu memfailkan saman di Mahkamah.
14. Ini bermakna Notis Tuntutan boleh membantu mengurangkan jumlah kes yang dibawa ke Mahkamah, sekaligus menjimatkan masa, kos guaman dan risiko litigasi kepada kedua-dua pihak.
15. Dalam sesetengah keadaan, ia juga memberi tekanan kepada pihak yang menerima untuk mengambil tindakan segera sama ada untuk membayar, berunding atau mendapatkan nasihat guaman.
JANGKA MASA NOTIS TUNTUTAN
16. Jangka masa fasa tuntutan bergantung kepada tempoh masa yang diberikan untuk pematuhan serta tindakan pihak-pihak yang terlibat. Lazimnya, tempoh pematuhan yang diberikan adalah sekitar 7, 14 atau 30 hari, bergantung kepada jenis tuntutan dan arahan anak guam.
17. Pihak yang menerima Notis Tuntutan mempunyai beberapa pilihan, iaitu untuk mematuhi tuntutan tersebut, berunding bagi mencapai penyelesaian, atau melantik peguam untuk mencabar tuntutan melalui Jawapan kepada Notis Tuntutan. Tindakan yang diambil pada peringkat ini boleh memberi kesan kepada langkah seterusnya, sama ada pertikaian diselesaikan atau diteruskan ke Mahkamah.
APA JADI JIKA NOTIS TUNTUTAN DIABAIKAN?
18. Jika Notis Tuntutan diabaikan, pihak yang membuat tuntutan boleh meneruskan langkah seterusnya dengan memfailkan saman di Mahkamah. Ini bermaksud pertikaian yang pada awalnya mungkin boleh diselesaikan melalui rundingan atau pembayaran sukarela boleh berubah menjadi satu tindakan undang-undang rasmi.
19. Mengabaikan Notis Tuntutan juga boleh menyebabkan pihak yang menerima tuntutan kehilangan peluang awal untuk menjawab, berunding atau mencadangkan penyelesaian. Dalam banyak keadaan, sikap berdiam diri boleh menyebabkan pihak yang menuntut menganggap bahawa tiada penyelesaian akan dicapai tanpa campur tangan Mahkamah.
20. Namun begitu, menerima Notis Tuntutan tidak bermaksud seseorang itu secara automatik bersalah atau wajib membayar tuntutan tersebut. Sekiranya tuntutan itu dipertikaikan, langkah yang lebih selamat adalah mendapatkan nasihat guaman dan menyediakan jawapan rasmi kepada Notis Tuntutan tersebut.
21. Tindakan mengabaikan Notis Tuntutan boleh meningkatkan risiko kos, tekanan dan masa kerana perkara tersebut mungkin diteruskan ke peringkat saman. Oleh itu, Notis Tuntutan tidak wajar dipandang ringan, sama ada oleh pihak yang membuat tuntutan atau pihak yang menerima tuntutan.
SOALAN LAZIM (FAQ)
1. Apa itu Notis Tuntutan?
Notis Tuntutan ialah surat rasmi yang dihantar oleh pihak yang menuntut, biasanya melalui peguam, sebelum sesuatu saman difailkan di Mahkamah.
2. Adakah wajib menghantar Notis Tuntutan sebelum saman difailkan?
Tidak semestinya dalam semua kes. Namun, dalam sesetengah kontrak atau keadaan tertentu, Notis Tuntutan boleh menjadi langkah penting atau syarat yang perlu dipatuhi sebelum tindakan Mahkamah dimulakan.
3. Berapa lama tempoh biasa yang diberikan dalam Notis Tuntutan?
Tempoh biasa adalah 7, 14 atau 30 hari bergantung kepada jenis tuntutan, arahan anak guam dan strategi kes.
4. Apa yang patut dibuat jika menerima Notis Tuntutan?
Penerima Notis Tuntutan boleh memilih sama ada untuk mematuhi tuntutan tersebut, berunding, atau melantik peguam untuk menjawab dan mencabar tuntutan tersebut.
5. Bolehkah pertikaian selesai selepas Notis Tuntutan dihantar?
Ya. Salah satu fungsi Notis Tuntutan adalah untuk memberi peluang kepada pihak-pihak menyelesaikan pertikaian sebelum saman difailkan di Mahkamah.
6. Bagaimana untuk menghubungi peguam bagi menyediakan atau menjawab Notis Tuntutan?
Untuk mendapatkan khidmat guaman berkaitan penyediaan atau jawapan kepada Notis Tuntutan, kau boleh menghubungi Tetuan Hafeez & Hazlina melalui WhatsApp di pautan ini: Whatsapp Peguam.
_______________________


4 Pertanyaan & Jawapan
Jika saman writ dah dikeluarkan...dan dipamirkan dalam iklan di beri notis..dalam masa yg sama kita buat bayar dibank ..adakah kita boleh juga dikenakan bangkrap sedangkan kita mampu bayar lg...
BalasPadamKena berhubung dengan bank secepat mungkin dan buat bayaran keseluruhan sekiranya mampu.
PadamKalau nak minta pejabat lawyer keluarkan satu notis amaran terhadap seseorang macam mana caranya? berapa kos?
BalasPadamwhatsapp saya
PadamAnda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.