>

BICARA DALAM KAMAR - Episod 5 - ORANG AWAM DAN PEGUAM

 

norhafeezlaw.com

BICARA DALAM KAMAR - Episod 5

ORANG AWAM DAN PEGUAM

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada pembaca dan pengunjung blog Norhafeezlaw. Saya doakan anda semua di dalam keadaan sihat walafiat. Nama saya Hafeez dan saya merupakan peguam yang mengendalikan blog ini. Siri Bicara Dalam Kamar ini saya mulakan bagi memberi ruang untuk saya berceloteh dan berkongsi pengalaman harian saya mengendalikan kes-kes sebagai seorang peguam secara santai dan padu. Harapan saya adalah agar setiap perkongsian didalam siri ini boleh memberi sentapan, manfaat, panduan, tauladan dan sempadan kepada para pembaca.

ORANG AWAM DAN PEGUAM

1. Setiap hari saya akan dihubungi oleh sebilangan orang awam, samada yang mahukan penjelasan lanjut berkenaan dengan pelbagai lapangan undang-undang dan isu-isu atau tentang rencana-rencana saya. Saya menyantuni mesej-mesej dan pertanyaan-pertanyaan tersebut semampu yang boleh.

2. Mana-mana yang serius, mereka aturkan sesi konsultasi peribadi dimana saya akan memberi tumpuan 100% terhadap kes-kes serta masalah yang mereka hadapi sebelum saya berikan pandangan dan nasihat yang sewajarnya kepada mereka.

RUJUK SESUATU PERKARA PADA PAKARNYA

3. Saya sentiasa menyarankan ahli keluarga dan sahabat handai saya agar sentiasa mengamalkan amalan merujuk sesuatu yang kita kurang faham kepada ahli yang faqih atau pakar di dalam bidang tersebut. 

4.Isu agama, rujuklah kepada pakar agama. Isu kebajikan, rujuklah kepada para aktivis kebajikan. Isu politik, rujuklah kepada Tun Mahathir atau DS Anwar Ibrahim. Isu tempat makan yang paling sedap di Taman Maluri, rujuklah kepada saya.

5. Sekiranya ianya berkaitan undang-undang, maka tiadalah orang yang lebih ahli tentang undang-undang daripada orang-orang yang mengamalkannya, iaitu para peguam.

6. Saya juga nasihatkan dan sarankan kepada anda semua untuk mengamalkan amalan yang serupa. Sekiranya ada apa-apa isu yang melibatkan undang-undang, maka luangkan masa untuk mendapatkan pandangan dan buah fikiran peguam yang berpengalaman.

7. Jangan cuba untuk bertindak sendiri sekiranya anda kurang arif berkenaan dengan apa-apa peruntukan atau prosedur undang-undang; baik mahu menyaman orang, disaman orang, menyediakan perjanjian, membeli rumah, menyediakan wasiat atau hibah, perceraian, tuntutan harta pusaka dan sebagainya.

PERKEMBANGAN POSITIF

8. Oleh sebab itu lah bagi saya, apabila adanya peningkatan jumlah orang-orang awam yang menghubungi peguam-peguam, tidak kiralah untuk tujuan apa sekalipun, ianya adalah satu perkembangan yang sihat, positif dan wajar dipupuk agar lebih subur. 

9. Apabila ramai orang awam menghubungi saya, samada untuk mendapat penjelasan lanjut tentang rencana-rencana saya di norhafeezlaw.com atau yang ingin mengatur konsultasi peribadi dengan saya, sedikit sebanyak saya berasa gembira dan berpuas hati. kenapa? 

VIGILANTIBUS NON DORMIENTIBUS JURA SUBVENIUNT 

10. Yang pertama; kerana ini menunjukkan semakin ramai orang awam yang mula mengambil berat dan serius tentang hak masing-masing disisi undang-undang dan mereka tidak memilih untuk berdiam diri tentang hak-hak mereka.

11. Ekspresi atau pepatah perundangan (legal maxim) yang popular dikalangan pengamal undang-undang adalah Vigilantibus non dormientibus jura subveniunt, yang bermaksud undang-undang hanya membantu mereka yang berjaga-jaga dan bukannya mereka yang tidur tentang hak mereka (the law only assist those who are vigilant, not those who sleep over their rights). 

12. Secara mudahnya, undang-undang tak akan ambil port orang-orang yang tak ambil port tentang haknya sendiri. Mengambil berat dan mengambil serius tentang hak adalah mengambil port tentang hak.

IGNORANTIA JURIS NON EXCUSAT

13. Yang kedua; perkembangan ini sihat kerana secara tidak lansung (dan lansung) menunjukkan ramai orang awam yang mula berminat untuk mengetahui tentang proses dan kaedah kaedah amalan sesuatu undang-undang di Malaysia. 

14. Ini adalah perisai yang baik untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan scam-scam yang menggunakan undang-undang sebagai latar daripada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab, contohnya scam panggilan dari Mahkamah atau peguam.

15. Selain daripada berfungsi sebagai perisai, pengetahuan undang-undang juga sebenarnya dituntut oleh undang-undang itu sendiri. Ada pepatah undang-undang juga untuk ini. Ignorantia juris Non Excusat yang bermaksud tidak tahu undang-undang tidak boleh dijadikan alasan (ignorance of the law is no excuse).

16. Sekiranya anda didakwa melakukan apa-apa kesalahan, kegagalan anda untuk tahu apa yang anda buat itu salah, tidak boleh dijadikan alasan di muka pengadilan. 

17. Kalau semua orang tahu undang-undang, buat apa pakai lawyer? Ya, anda tahu undang-undang tapi anda mungkin tak tahu proses amalannya. Disitulah gunanya peguam. Jangan risau, kami akan sentiasa berada disisi til jannah.

SCIENTIA MAGISTRA VITAE

18. Yang ketiga; perkembangan ini juga menunjukkan kepada saya bahawa ada juga orang-orang awam di luar sana yang mengambil manfaat daripada rencana-rencana kecil saya di dalam norhafeezlaw.com ini. 

19. Ini adalah seiring dengan cogan laman web norhafeezlaw.com, iaitu scientia magistra vitae yang membawa maksud cukup murni iaitu ilmu itu guru (penyuluh) kepada hidup.

20. Saya berdoa agar rencana-rencana tak seberapa di dalam laman web ini terus-menerus memberi manfaat kepada anda yang meluangkan masa untuk membacanya. 

21. Saya juga berharap agar rencana-rencana di dalam norhafeezlaw.com ini cukup mudah difahami (digestible enough) dan cukup santai (easy enough) untuk dijadikan bahan bacaan santai di waktu ingin tidur atau sewaktu memetik sayur-sayuran di kebun-kebunan. 

22. Kita semaikan lagi perkembangan ini. Sekiranya rencana-rencana di dalam laman ini memberi manfaat kepada anda, kongsi-kongsi kan rencana berkenaan. Sekiranya anda ada mengenali peguam, kenal-kenalkanlah ahli keluarga atau rakan-rakan anda kepada mereka. Semoga rakyat Malaysia celik undang-undang kesemuanya. 

23. Ya, website saya ada cogan. Cogan tahu, cogan? Motto.

undang-undang malaysia


0 Komentar

Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.