SCAM SAMAN ATAU PENGHAKIMAN PALSU
Dikemas kini pada: 21 November 2025
Anda menerima satu dokumen yang kelihatan seperti Saman atau Penghakiman mahkamah. Masalahnya: anda langsung tidak pasti sama ada dokumen itu tulen ataupun sebenarnya hanya taktik scammer yang mahu memeras wang.
Dalam artikel ini, kita akan terangkan dengan cara paling mudah, paling cepat dan paling selamat untuk menyemak ketulenan mana-mana dokumen “mahkamah” menggunakan sistem QR Code rasmi Mahkamah Malaysia.
1. Sebagaimana yang telah dijelaskan dalam rencana lalu, scam menggunakan Saman Palsu adalah antara taktik yang paling kerap dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab. Mereka tahu majoriti orang awam tidak biasa membaca dokumen mahkamah, jadi rasa takut itu mudah digunakan untuk memeras wang.
2. Tujuan scammer sentiasa sama — menakut-nakutkan mangsa dengan dokumen yang kelihatan seperti Saman atau Penghakiman supaya mangsa bertindak terburu-buru dan membuat bayaran.
3. Disebabkan banyak aduan, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia memperkenalkan sistem pengesahan dokumen melalui kod QR bagi memastikan setiap Saman, Perintah atau Penghakiman boleh disemak secara rasmi.
4. Kod QR ini berfungsi sebagai cara paling cepat untuk mengesahkan ketulenan dokumen mahkamah. Ia membawa anda terus ke pangkalan data e-Court tanpa melalui pihak ketiga.
6. Kod QR itu pula mesti membawa kita ke laman rasmi: https://ecourt.kehakiman.gov.my.
7. Jika imbasan membawa ke laman lain, ke Google Drive, ke PDF rawak, atau ke laman tidak dikenali — itu bendera merah kedua. Pastikan QR tersebut pergi ke laman rasmi Kehakiman.gov.my.
8. Sekiranya QR tersebut tulen, sistem e-Court akan memaparkan dokumen rasmi dalam pangkalan data mereka. Kita boleh bandingkan kedua-dua versi untuk memastikan semuanya sepadan.
9. Kaedah ini pantas, percuma dan boleh dilakukan sendiri tanpa bantuan sesiapa. Jangan sekali-kali membuat bayaran kepada individu yang mengaku “peguam mahkamah” atau “pegawai mahkamah” melainkan dokumen telah disahkan.
10. Kesimpulannya: jangan panik apabila menerima dokumen - dokumen seperti “notis sitaan”, “penghakiman segera”, atau “waran tangkap” sedangkan semuanya kelihatan pelik. Imbas kod QR, semak ketulenan, dan elakkan daripada menjadi mangsa scam.
SOALAN LAZIM (FAQ) BERKAITAN SCAM SAMAN & DOKUMEN PALSU
1. Adakah semua dokumen mahkamah mempunyai kod QR?
Ya. Semua dokumen rasmi yang dikeluarkan melalui sistem e-Court akan mempunyai kod QR pada setiap muka surat.
2. Jika dokumen tiada kod QR, adakah ia pasti palsu?
Sangat besar kemungkinan palsu. Dokumen tanpa QR biasanya tidak dikeluarkan melalui sistem rasmi mahkamah.
3. QR Code saya imbas tetapi tiada paparan dokumen di e-Court. Apa maksudnya?
Jika imbasan tidak memaparkan dokumen rasmi, itu tanda kuat dokumen tersebut tidak wujud dalam rekod mahkamah.
4. Bolehkah scammer mencipta QR Code palsu?
Boleh, tetapi QR palsu tidak akan membawa ke halaman e-Court. Itu indikator paling mudah untuk kesan penipuan.
5. Bolehkah pihak mahkamah menelefon untuk minta bayaran?
Tidak. Mahkamah tidak mengutip wang melalui telefon atau WhatsApp. Semua bayaran dibuat hanya melalui kaunter atau sistem rasmi.
Rujukan berkaitan:
• Scam Pelaburan Bhg 1 Baca di sini
• Scam Pelaburan Bhg 2 Baca di sini
• Scam Pelaburan Bhg 3 Baca di sini
• Scam Panggilan “Mahkamah” Baca di sini
_______________________

0 Pertanyaan & Jawapan
Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.