>

SCAM PANGGILAN TELEFON DARI PEGUAM ATAU FIRMA GUAMAN

peguam telefon rumah

SCAM PANGGILAN TELEFON DARIPADA PEGUAM ATAU FIRMA GUAMAN

Anda dihubungi atau menerima panggilan telefon daripada peguam, firma guaman atau mahkamah? Dan mereka memaklumkan kepada anda bahawa anda mempunyai saman dan anda perlu membayar sejumlah bayaran sekiranya anda mahu saman tersebut dibatalkan ataupun mengelakkan harta benda anda disita atau rumah anda dilelong? Sejauhmana kesahihan proses-proses sebegini? Adakah anda perlu risau?

1. Sejak kebelakangan ini, jika anda tidak mengalaminya sendiri, sudah pasti anda pernah mendengar tentang maklumat atau aduan-aduan orang awam tentang bagaimana mereka dihubungi atau menerima panggilan telefon daripada pihak-pihak yang mengaku sebagai peguam atau mengaku daripada firma-firma guaman atau daripada Mahkamah. 

2. Pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab ini lazimnya akan memberitahu anda bahawa anda kononnya telah disaman di Mahkamah atau harta benda anda kononnya sedang dalam proses untuk disita atau rumah anda kononnya akan dilelong, selalunya pada hari yang sama panggilan tersebut dibuat.

3. Untuk menghentikan proses saman, penyitaan atau lelongan tersebut, anda perlu membuat sejumlah bayaran kepada akaun-akaun tertentu.

4. Bukan sedikit orang-orang awam mengadu menerima panggilan-panggilan sebegini dan bukan sedikit juga orang-orang awam yang terjerumus di dalam penipuan-penipuan sebegini. 

5. Bagaimana ia boleh berlaku? Terdapat dua kemungkinan mengapa anda menerima panggilan-panggilan telefon seumpama ini. Yang pertama; Sindiket Scam dan yang kedua; Pengutip Hutang.

SINDIKET SCAM PANGGILAN TELEFON

Hello, saya Bustamam Hakim dari Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu. Cik ada mempunyai saman bernombor 1234-567-89-10 untuk tuntutan sebanyak RM150,000.00. Sila tekan 1 untuk bercakap dengan pegawai mahkamah. Cik boleh bercakap dengan pegawai kami untuk menyelesaikan saman ini.

6. Penipuan atau scam panggilan telefon ini sememangnya sangat berleluasa. Pemanggil akan cuba memperdaya anda dengan membuat pengakuan bahawa mereka daripada pejabat peguam, mahkamah bahkan daripada balai polis, pejabat Pos Malaysia ataupun LHDN.

7. Modus kebiasaan yang mereka gunakan adalah mereka akan cuba menakut-nakutkan anda dengan mendakwa bahawa terdapat tuntutan saman atau laporan polis atau tuntutan tertunggak terhadap anda untuk sesuatu atau jumlah yang anda tidak tahu dan anda perlu membuat sejumlah bayaran tertentu untuk menyelesaikan tuntutan atau laporan tersebut.

peguam ampang

8. Dengan mempergunakan kejahilan dan ketakutan orang awam tentang proses mahkamah atau prospek dikenakan sebarang tindakan undang-undang, pihak-pihak tidak bertanggungjawab ini menjana keuntungan sehingga berbelas malah berpuluh ribu untuk setiap scam jika bukan ratusan ribu.

PENGUTIP HUTANG

Hello, saya Ismadi Marzuki, peguam daripada tetuan Ismadi Marzuki & Co. Cik ada tuntutan saman bernombor 12-345-67/8/910 di Mahkamah Tinggi Sivil Port Dickson untuk jumlah sebanyak RM30,000.00. Tukang sita dan pemandu lori angkut akan kerumah cik pada pukul 4 petang nanti untuk melakukan sitaan terhadap barang-barang Cik. Sila bayar deposit RM10,000.00 untuk saya hentikan proses sebelum pukul 3.30 petang ini.

9. Aduan-aduan sebegini lazimnya dari orang-orang awam yang sememangnya mempunyai hutang dengan syarikat-syarikat tertentu. Mereka akan menerima panggilan daripada pihak-pihak tertentu yang juga akan mengaku bahawa mereka adalah peguam, firma guaman atau mahkamah.

10. Modus operandinya hampir sama dimana mereka akan menakutkan anda dengan mengatakan bahawa terdapat tuntutan saman, sitaan harta benda atau lelongan rumah-rumah kediaman. Untuk menghentikan proses ini anda perlu membayar sejumlah wang ke akaun-akaun tertentu. 

11. Orang awam yang tidak mempunyai akses kepada peguam yang ketakutan dan gundah gulana selepas menerima panggilan ini selalunya akan membuat bayaran-bayaran yang dinyatakan.

12. Ini adalah taktik-taktik biasa yang terlalu kerap digunakan oleh pihak-pihak tertentu untuk memaksa anda untuk membuat bayaran-bayaran tertentu.

KEBENARANNYA?

13. Kebenarannya, Peguam, Firma Guaman atau Mahkamah tidak akan membuat panggilan kerumah anda sekiranya anda telah disaman. 

14. Komunikasi lazim yang akan digunakan oleh peguam untuk memaklumkan tindakan undang-undang terhadap anda adalah melalui surat peguam atau menyerahkan dokumen-dokumen secara serahan tangan (bergantung kepada perjanjian atau kehendak undang-undang).

15. Apa-apa notis undang-undang boleh diserahkan melalui pelbagai cara mengikut perjanjian, samada melalui pos berdaftar, pos berdaftar akuan terima (dimana anda perlu tandatangan kad akuan terima), serahan tangan, email, kurier dan sebagainya.

16. Undang-undang juga telah memperuntukkan bahawa sesuatu notis itu boleh diserahkan mengikut peruntukan undang-undang yang sesuai.

17. Lazimnya peguam tidak akan membuang masa untuk menghubungi anda secara terus melalui panggilan telefon untuk memaklumkan anda bahawa anda disaman. Sekiranya ada panggilan telefon sekalipun, ianya sekadar untuk mendapat maklumat lokasi anda supaya apa-apa surat atau dokumen dapat diserahkan kepada anda secara serahan tangan mengikut peruntukan yang digunakan.

BACAAN LANJUT TENTANG SCAM

 
 
👉 Scam Panggilan Telefon Dari Mahkamah atau Peguam

 


terima panggilan dari lawyer


0 Pertanyaan & Jawapan

Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.