Scam pelaburan biasanya mempunyai tanda-tanda amaran awal (red flag). Antara red flag yang paling utama yang perlu dikenal pasti ialah janji pelaburan tanpa risiko, pulangan bulanan yang tinggi dan konsisten, syarikat yang meragukan, pelaburan yang tidak berdaftar, serta permintaan bayaran ke akaun peribadi, akaun pihak ketiga atau akaun luar negara.
Artikel ini ialah Bahagian 2 dalam siri scam pelaburan. Bahagian 1 menerangkan jenis-jenis scam pelaburan seperti skim piramid, skim Ponzi dan scam pelaburan emas. Bahagian 2 ini menumpukan kepada tanda-tanda amaran sebelum seseorang memasukkan wang. Bahagian 3 pula menyentuh cara menyemak sesuatu pelaburan yang meragukan.
Prinsip mudahnya begini: jika sesuatu tawaran pelaburan kedengaran terlalu mudah, terlalu selamat dan terlalu menguntungkan, jangan terus percaya. Dalam banyak kes, mangsa bukan tertipu kerana tidak bijak, tetapi kerana scammer sengaja membina keyakinan melalui testimoni, bayaran awal, dokumen yang nampak rasmi dan tekanan supaya wang dimasukkan segera.
- Apa Maksud Red Flag Dalam Scam Pelaburan?
- Kenapa Jaminan Tiada Risiko Patut Mencurigakan?
- Kenapa Pulangan Bulanan Tinggi Secara Konsisten Bahaya?
- Bagaimana Syarikat Yang Meragukan Boleh Menjadi Petanda Scam?
- Apa Risiko Pelaburan Tidak Berdaftar?
- Kenapa Bayaran Ke Akaun Peribadi Atau Offshore Perlu Dielakkan?
- Apa Red Flag Tambahan Yang Selalu Diabaikan?
- Apa Semakan Awal Sebelum Memasukkan Wang?
- Apa Bukti Yang Perlu Disimpan Jika Sudah Terlibat?
- Bila Perlu Hubungi Bank, NSRC, Polis Atau Peguam?
- Rumusan Rencana
- Soalan Lazim Tentang Tanda Scam Pelaburan
Rujukan berkaitan dalam Norhafeezlaw:
Scam Pelaburan Bahagian 1: Jenis-Jenis Scam Pelaburan
Scam Pelaburan Bahagian 3: Cara Menyemak Scam Pelaburan
Scam Panggilan Telefon Daripada Mahkamah Atau Peguam
Scam Atas Talian Di Malaysia
Scam Saman Atau Penghakiman Palsu
Scam Penipuan Hartanah Dan Pemalsuan Hak Milik
Talian Aduan Scammer 997
Siri Scam Pelaburan:
Bahagian 1 menerangkan jenis-jenis scam pelaburan. Bahagian 2 ini menerangkan tanda-tanda amaran. Bahagian 3 menerangkan cara membuat semakan awal sebelum mempercayai sesuatu tawaran pelaburan.
Ringkasan: Scam pelaburan lazimnya dapat dikesan melalui beberapa tanda amaran awal. Tawaran yang menjanjikan pulangan tinggi, tetap dan tanpa risiko patut mencurigakan kerana pelaburan sebenar sentiasa mempunyai risiko. Mangsa juga perlu berhati-hati jika syarikat tidak jelas, aktiviti pelaburan tidak sepadan dengan perniagaan berdaftar, tiada lesen atau kelulusan yang boleh disahkan, atau bayaran diminta ke akaun peribadi, akaun pihak ketiga dan akaun luar negara. Jangan bergantung kepada testimoni, gambar cek, tangkap layar keuntungan atau bayaran dividen beberapa bulan pertama. Sebelum memasukkan wang, semak identiti pihak yang menawarkan pelaburan, akaun penerima, dokumen pelaburan dan senarai amaran rasmi. Jika wang sudah dipindahkan, simpan semua bukti dan bertindak cepat.
1. Apa Maksud Red Flag Dalam Scam Pelaburan?
Red flag atau bendera amaran ialah tanda awal yang menunjukkan sesuatu tawaran pelaburan mungkin tidak selamat, tidak sah, mengelirukan atau berunsur penipuan. Ia tidak semestinya membuktikan suatu pelaburan itu adalah scam secara muktamad, tetapi ia cukup untuk menyebabkan anda perlu berhenti sekejap, semak dokumen dan jangan memasukkan wang secara tergesa-gesa.
Rencana ini menekankan lima tanda utama: jaminan tiada risiko, pulangan bulanan tinggi secara konsisten, syarikat yang meragukan, pelaburan tidak berdaftar dan bayaran ke akaun peribadi atau offshore. Lima point ini masih relevan. Malah, dalam keadaan scam moden yang bergerak melalui WhatsApp, Telegram, Facebook, TikTok dan iklan berbayar, tanda-tanda ini menjadi lebih penting.
Jawapan ringkas: Jika pelaburan dijual sebagai mudah, selamat, dijamin untung, tidak boleh rugi dan perlu dibayar segera, itu bukan tanda peluang keemasan. Itu tanda anda perlu berhenti dan semak dahulu.
2. Kenapa Jaminan Tiada Risiko Patut Mencurigakan?
Setiap pelaburan lazimnya mempunyai risiko. Risiko itu mungkin datang daripada turun naik pasaran, kegagalan perniagaan, kelemahan pengurusan, perubahan ekonomi, masalah kecairan tunai atau kegagalan pihak yang mengendalikan wang pelaburan.
Oleh itu, apabila seseorang menawarkan pelaburan dengan janji bahawa ia tiada risiko, modal dijamin selamat dan pulangan tetap akan dibayar tanpa gagal, kita perlu berhati-hati. Ayat seperti “modal dijamin”, “tidak akan rugi”, “sudah terbukti” dan “confirm payout” digunakan untuk menurunkan tahap curiga mangsa.
Dari sudut undang-undang dan pembuktian, janji “tiada risiko” juga penting kerana ia boleh menjadi bukti representasi atau kenyataan yang mendorong mangsa memasukkan wang. Sebab itu semua mesej, poster, audio, video, brosur dan tangkap layar janji tersebut perlu disimpan.
3. Kenapa Pulangan Bulanan Tinggi Secara Konsisten Bahaya?
Sepertimana yang kita sedia maklum, pelaburan sebenar mempunyai risiko turun naik bergantung kepada keadaan ekonomi dan pasaran.
Jika sesuatu skim menjanjikan pulangan atau dividen tinggi setiap bulan secara konsisten tanpa mengira keadaan ekonomi, itu satu red flag yang besar.
Contohnya, janji pulangan 10% hingga 30% sebulan, bayaran mingguan yang tetap, atau keuntungan harian yang dikatakan boleh dikeluarkan bila-bila masa. Janji seperti ini selalunya tidak selari dengan realiti pelaburan biasa.
Lebih tinggi pulangan yang dijanjikan, lebih besar soalan yang perlu ditanya: dari mana datangnya keuntungan itu?
Jangan terlalu yakin hanya kerana skim itu pernah membayar dividen beberapa bulan pertama.
Dalam skim Ponzi tertentu contohnya, bayaran awal boleh digunakan sebagai alat psikologi untuk membina kepercayaan. Mangsa kemudian menambah modal, mengajak keluarga dan akhirnya kerugian menjadi lebih besar.
4. Bagaimana Syarikat Yang Meragukan Boleh Menjadi Petanda Scam?
Orang awam boleh memeriksa maklumat dan pendaftaran syarikat melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Namun syarikat yang berdaftar tidak semestinya bermaksud pelaburan itu sah.
Pendaftaran SSM hanya menunjukkan kewujudan sesuatu entiti perniagaan.
Ia tidak semestinya membuktikan bahawa syarikat itu mempunyai lesen untuk menerima wang pelaburan, mengurus dana, mempromosikan produk pasaran modal atau menjalankan aktiviti kewangan terkawal. Banyak scam menggunakan syarikat berdaftar untuk kelihatan sah di mata orang awam.
Tanda amaran menjadi lebih kuat apabila syarikat didaftarkan untuk perniagaan yang langsung tidak berkaitan, tetapi tiba-tiba menawarkan pelaburan emas, forex, kripto, saham, projek hartanah, projek solar, projek pertanian, projek import eksport atau “private placement”.
Jika aktiviti sebenar tidak jelas, dokumen pendaftaran tidak boleh dianggap sebagai bukti keselamatan.
5. Apa Risiko Pelaburan Tidak Berdaftar?
Kadangkala pelaburan yang ditawarkan sebenarnya tidak berdaftar, tidak dilesenkan atau tidak dibenarkan oleh pihak berkuasa berkaitan.
Dalam keadaan lain, syarikat mungkin wujud tetapi aktiviti mengutip wang pelaburan tidak mempunyai asas lesen atau kelulusan yang jelas.
Untuk tawaran berkaitan pasaran modal, kita boleh membuat semakan melalui Investment Checker Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan SC Investor Alert List. Untuk entiti atau skim kewangan yang meragukan, kita juga boleh menyemak Financial Consumer Alert List Bank Negara Malaysia.
Namun, jangan salah faham. Ketiadaan nama dalam senarai amaran tidak semestinya bermaksud pelaburan itu selamat.
Senarai amaran lazimnya bersifat panduan dan mungkin tidak lengkap pada setiap masa. Scam baru boleh wujud sebelum ia sempat dikesan, dilaporkan atau dimasukkan ke dalam senarai rasmi.
6. Kenapa Bayaran Ke Akaun Peribadi Atau Offshore Perlu Dielakkan?
Kita juga wajar memberi perhatian tentang bayaran ke akaun peribadi, akaun offshore, akaun pihak ketiga atau akaun syarikat yang meragukan.
Ini antara red flag paling praktikal kerana aliran wang ialah bukti utama dalam kes penipuan pelaburan.
Jika seseorang mendakwa kita melabur dengan Syarikat A, tetapi wang perlu dimasukkan ke akaun individu B atau syarikat C, kita perlu berhenti sejenak.
Alasan seperti “akaun utama belum aktif”, “akaun auditor”, “akaun trustee”, “akaun sementara”, “akaun agent” atau “akaun untuk proses cepat” perlu disemak dengan sangat berhati-hati.
Sebelum memindahkan wang, semak nombor akaun, nombor telefon atau nama syarikat melalui Semak Mule PDRM. Semakan ini tidak menjamin keselamatan sepenuhnya, tetapi ia boleh membantu mengesan akaun, nombor telefon atau nama syarikat yang pernah dikaitkan dengan aduan.
7. Apa Red Flag Tambahan Yang Selalu Diabaikan?
Selain lima tanda amaran awal di atas, terdapat beberapa red flag tambahan yang sering diabaikan.
Pertama, tekanan untuk membayar segera. Contohnya, “slot tinggal satu”, “harga naik malam ini”, “hanya untuk pelabur terpilih” atau “kalau lambat, terlepas peluang”. Tekanan masa ialah teknik biasa untuk menghalang mangsa untuk berfikir panjang.
Kedua, testimoni yang terlalu sempurna. Gambar cek, screenshot bank, video peserta, gambar kereta mewah dan cerita keuntungan besar bukan bukti pelaburan sah. Bahan seperti itu boleh direka, diedit atau hanya menunjukkan bayaran awal kepada sebahagian peserta.
Ketiga, tiada dokumen yang jelas. Pelaburan yang serius sepatutnya mempunyai dokumen bertulis yang menjelaskan pihak yang menerima wang, tujuan pelaburan, risiko, tempoh, hak pelabur, mekanisme keluar, caj, penalti, forum penyelesaian pertikaian dan identiti pihak yang bertanggungjawab.
Keempat, komunikasi hanya melalui WhatsApp, Telegram atau media sosial tanpa pejabat, alamat, rekod korporat, pegawai sebenar atau dokumen rasmi. Dalam kes sebegini, masalah utama selepas duit hilang ialah mencari pihak yang benar-benar boleh disaman atau dikuatkuasakan penghakiman terhadapnya.
8. Apa Semakan Awal Sebelum Memasukkan Wang?
Sebelum memasukkan wang, jangan hanya bertanya kepada ejen yang menjual pelaburan itu. Ejen mempunyai kepentingan untuk mendapatkan komisyen atau merekrut peserta baru. Semakan perlu dibuat secara bebas.
Langkah praktikal:
1. Semak nama syarikat dan pengarah.
2. Semak sama ada aktiviti pelaburan itu dilesenkan atau dibenarkan.
3. Semak nombor akaun penerima wang.
4. Semak sama ada nama entiti wujud dalam senarai amaran SC atau BNM.
5. Minta dokumen bertulis, bukan sekadar poster atau mesej WhatsApp.
6. Jangan bayar jika jawapan yang diberi mengelak, kabur atau terlalu agresif.
Semakan awal tidak menjamin kita tidak akan ditipu, tetapi ia mengurangkan risiko membuat keputusan berdasarkan emosi, FOMO atau kepercayaan kepada ejen semata-mata.
9. Apa Bukti Yang Perlu Disimpan Jika Sudah Terlibat?
Jika kita sudah memasukkan wang, jangan padam mesej dan jangan hanya bergantung kepada ingatan.
Bukti paling penting ialah bukti pembayaran, penyata bank, resit, nombor akaun penerima, nama pemilik akaun, iklan asal, poster promosi, mesej WhatsApp, mesej Telegram, rekod panggilan, audio, video, kontrak, sijil pelaburan dan bukti janji pulangan.
Simpan juga bukti peranan setiap pihak. Siapa yang memperkenalkan pelaburan? Siapa yang memberi arahan bayaran? Siapa yang menerima wang? Siapa yang menjanjikan pulangan? Siapa yang mengurus group WhatsApp?
Dalam tindakan sivil, identiti dan peranan pihak-pihak ini boleh menjadi sangat penting.
10. Bila Perlu Hubungi Bank, NSRC, Polis Atau Peguam?
Jika wang baru sahaja dipindahkan atau scam masih sedang berlaku, hubungi bank dengan segera dan pertimbangkan untuk menghubungi National Scam Response Centre melalui talian 997.
Tindakan pantas penting kerana peluang membekukan atau menjejak wang biasanya lebih baik pada peringkat awal.
Laporan polis pula penting sebagai rekod rasmi dan untuk siasatan jenayah. Namun, laporan polis tidak semestinya secara automatik mengembalikan wang.
Untuk tuntutan wang, kita mungkin perlu menilai tindakan sivil seperti tuntutan berasaskan salah nyata, penipuan, pecah kontrak, pengayaan tidak adil atau tuntutan lain bergantung kepada fakta dan bukti.
Namun kita juga perlu realistik. Saman terhadap scammer boleh gagal atau menjadi tidak berbaloi jika pihak lawan tidak dapat dikesan, tiada aset, menggunakan akaun keldai, syarikat sudah kosong atau bukti tidak cukup.
Sebab itu langkah pencegahan sebelum memasukkan wang jauh lebih penting daripada cuba mengejar wang selepas hilang.
Rumusan Rencana
- Tanda utama scam pelaburan ialah janji untung tinggi, tetap dan tanpa risiko.
- Pulangan awal beberapa bulan tidak membuktikan pelaburan itu sah atau selamat.
- Syarikat berdaftar dengan SSM tidak semestinya mempunyai lesen untuk menerima wang pelaburan.
- Bayaran ke akaun peribadi, pihak ketiga atau offshore ialah red flag yang serius.
- Jangan bergantung kepada testimoni, screenshot keuntungan atau cerita peserta lain.
- Semak melalui sumber rasmi seperti SC, BNM, Semak Mule dan NSRC apabila relevan.
- Simpan semua bukti jika sudah terlibat, termasuk mesej, resit, penyata bank dan iklan.
- Pencegahan sebelum memasukkan wang biasanya lebih bernilai daripada tindakan undang-undang selepas wang hilang.
Soalan Lazim Tentang Tanda Scam Pelaburan
Apakah tanda paling jelas sesuatu tawaran pelaburan mungkin scam?
Tanda paling jelas ialah janji pulangan tinggi, tetap dan hampir tanpa risiko. Dalam pelaburan sebenar, risiko turun naik pasaran, kerugian modal dan kegagalan perniagaan tetap wujud.
Adakah pelaburan yang sudah membayar dividen beberapa bulan boleh dianggap selamat?
Tidak semestinya. Banyak skim scam membayar pulangan awal menggunakan wang peserta baru untuk membina keyakinan, sebelum bayaran mula lewat, tertangguh dan akhirnya berhenti.
Kenapa bayaran ke akaun peribadi adalah red flag?
Bayaran ke akaun peribadi, akaun pihak ketiga atau akaun luar negara menyukarkan audit wang, menjejaskan bukti aliran dana dan boleh menunjukkan bahawa urus niaga sebenar tidak melalui entiti pelaburan yang sah.
Adakah syarikat berdaftar dengan SSM bermaksud pelaburan itu sah?
Tidak. Pendaftaran SSM hanya menunjukkan kewujudan entiti perniagaan. Ia tidak semestinya bermaksud entiti tersebut mempunyai lesen untuk menerima wang pelaburan atau menawarkan produk pelaburan.
Apa yang perlu disemak sebelum memasukkan wang pelaburan?
Semak identiti syarikat, lesen atau kelulusan regulator, nama pengarah, nombor akaun, rekod aduan, dokumen pelaburan, kontrak, risiko pelaburan dan sama ada tawaran itu tersenarai dalam senarai amaran rasmi.
Apa bukti yang perlu disimpan jika sudah terlibat dalam scam pelaburan?
Simpan resit bayaran, penyata bank, mesej WhatsApp, iklan, profil ejen, kontrak, sijil pelaburan, bukti janji pulangan, rekod panggilan, nombor akaun dan semua komunikasi berkaitan.
Adakah semua kes scam pelaburan boleh disaman di mahkamah sivil?
Tidak semua. Saman sivil bergantung kepada identiti pihak yang boleh disaman, bukti wang diterima, asas tuntutan, kemampuan penghakiman dikuatkuasakan dan sama ada aset pihak lawan masih boleh dikesan.
Bila perlu hubungi bank, NSRC atau polis?
Jika wang baru dipindahkan atau scam masih sedang berlaku, hubungi bank dan NSRC 997 dengan segera. Laporan polis juga perlu dibuat untuk rekod rasmi dan siasatan jenayah.
Jika anda sudah memasukkan wang dalam skim pelaburan yang meragukan atau sedang mempertimbangkan tindakan terhadap pihak yang menawarkan pelaburan tersebut, dapatkan nasihat khusus berdasarkan dokumen, bukti bayaran dan komunikasi yang ada.
_______________________
0 Pertanyaan & Jawapan
Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.