HIRARKI MAHKAMAH UNTUK KES RAYUAN DI MALAYSIA - BAGAIMANA RAYUAN KES BERFUNGSI?
Dalam sistem kehakiman Malaysia, rayuan kes sivil dibuat secara bertingkat mengikut hirarki mahkamah. Kes biasanya bermula di Mahkamah Permulaan atau Mahkamah Bicara (First Instance) seperti Mahkamah Majistret, Mahkamah Sesyen atau Mahkamah Tinggi. Jika seseorang pihak tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut, rayuan boleh difailkan ke mahkamah yang lebih tinggi seperti Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan akhirnya Mahkamah Persekutuan tertakluk kepada syarat-syarat tertentu.
Anda telah memfailkan saman terhadap seseorang ataupun seseorang telah memfailkan saman terhadap anda. Setelah proses dan prosedur sewajarnya telah dijalankan, Mahkamah pun memberikan keputusan. Namun keputusan tersebut tidak berpihak kepada anda. Maknanya, anda kalah kes. Apa yang boleh anda lakukan? Adakah ianya bermaksud kalah yang muktamad?
1. Kalah Kes Saman
2. Kuasa Rayuan Mahkamah di Malaysia
3. Lapisan atau Hirarki Mahkamah di Malaysia
4. Contoh Rayuan
5. Rayuan Terhadap Keputusan Mahkamah
Rujukan berkaitan:
• Rayuan Kes Sivil di Malaysia Baca di sini
• Bagaimana Cara Tukar Peguam di Malaysia? Baca di sini
• Bagaimanakah Cara Untuk Melantik Peguam? Baca di sini
• Ingin Melantik Peguam Penulis Norhafeezlaw.com? Whatsapp di sini
APA PERLU BUAT BILA KALAH KES SAMAN?
1. Apabila keputusan sesuatu kes itu tidak menyebelahi ataupun tidak berpihak kepada anda atau dalam bahasa mudahnya anda kalah kes, lazimnya peguam yang anda lantik akan memberikan nasihat berkenaan hak-hak anda disisi undang-undang.
2. Hak ini adalah hak untuk memfailkan rayuan ke Mahkamah yang lebih tinggi.
APA MAKSUD KUASA RAYUAN MAHKAMAH DI MALAYSIA?
3. Apa yang dimaksudkan dengan hak untuk memfailkan rayuan ke Mahkamah yang lebih tinggi?
4. Maksudnya, apabila anda tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah untuk kes anda, anda boleh memohon agar keputusan tersebut diterbalikkan (reverse) atau dibatalkan (quash) oleh Mahkamah yang lebih tinggi.
5. Mahkamah yang lebih tinggi disini bermaksud Mahkamah yang mempunyai kedudukan atau posisi yang lebih tinggi di dalam tangga atau hirarki Mahkamah di Malaysia.
6. Proses ini dipanggil proses Rayuan.
BERAPAKAH LAPISAN ATAU HIRARKI MAHKAMAH DI MALAYSIA
7. Sistem kehakiman (judicial system) di Malaysia adalah berbentuk 3 lapis (3-tiered). Maksudnya, pihak-pihak yang tidak berpuas hati terhadap sesuatu keputusan Mahkamah, dibenarkan untuk membuat rayuan ke Mahkamah yang lebih tinggi sebanyak 2 kali (sekiranya syarat-syarat tertentu dipenuhi).
8. Mahkamah di Malaysia terdiri daripada Mahkamah-Mahkamah Rendah (Majistret dan Sesyen), Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.
9. Oleh itu sebagai permulaan, anda akan memfailkan kes anda buat pertama kalinya di Mahkamah Rendah (Majistret atau Sesyen) atau Mahkamah Tinggi.
10. Mahkamah-Mahkamah di mana kes pertama kali difailkan ini dikenali sebagai Mahkamah Permulaan ataupun Court of First Instance.
11. Jadi sebarang rayuan yang ingin difailkan akan bersifat vertikal atau menegak ke atas mengikut lapisan dan hirarki Mahkamah seperti yang ditunjukan di bawah.
APAKAH CONTOH-CONTOH RAYUAN?
12. Contohnya apabila anda memfailkan kes di Mahkamah Majistret atau Sesyen (Mahkamah Permulaan/lapisan pertama/tier 1), maka permohonan yang boleh anda failkan untuk mengubah keputusan Mahkamah-Mahkamah tersebut itu adalah melalui rayuan ke Mahkamah Tinggi (lapisan kedua/tier 2).
13. Sekiranya rayuan anda di Mahkamah Tinggi juga gagal, anda boleh memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan (lapisan ketiga/tier 3).
14. Begitu juga sekiranya anda memulakan tindakan di Mahkamah Tinggi (Mahkamah Permulaan/lapisan pertama/tier 1). Anda boleh membuat rayuan seterusnya ke Mahkamah Rayuan (lapisan kedua/tier 2).
15. Sekiranya anda tidak berpuasa hati dengan keputusan di Mahkamah Rayuan, maka anda boleh memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan dengan syarat-syarat tertentu (lapisan ketiga/tier 3).
16. Ini lah yang dikenali sebagai rayuan 3 lapisan. Sekiranya anda telah membuat rayuan hingga ke lapisan yang terakhir iaitu lapisan yang ketiga, dan keputusan masih lagi tidak berpihak kepada anda, maka anda tidak lagi boleh memfailkan rayuan.
RAYUAN TERHADAP KEPUTUSAN MAHKAMAH
17. Sekiranya keputusan di Mahkamah permulaan itu tidak berpihak kepada anda, maka dapatkan pandangan peguam anda berkenaan dengan rayuan ke Mahkamah yang lebih tinggi.
18. Pandangan peguam anda adalah amat penting kerana banyak faktor-faktor yang perlu anda nilai dan perhalusi sebelum memfailkan sesuatu Rayuan.
Untuk faktor-faktor yang menentukan kos guaman kes-kes yang melibatkan rayuan, boleh rujuk di pautan ini: Kos Peguam Untuk Rayuan Kes Sivil
Soalan Lazim
Apakah hirarki mahkamah rayuan di Malaysia?
Rayuan kes sivil di Malaysia bergerak secara bertingkat mengikut struktur mahkamah. Kes biasanya bermula di Mahkamah Rendah atau Mahkamah Tinggi, dan rayuan boleh dibuat ke Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan akhirnya Mahkamah Persekutuan tertakluk kepada syarat-syarat tertentu.
Berapa kali rayuan boleh dibuat dalam kes sivil?
Secara umum, pihak yang tidak berpuas hati dengan sesuatu keputusan mahkamah boleh membuat rayuan sehingga dua kali ke mahkamah yang lebih tinggi, bergantung kepada jenis kes dan syarat-syarat yang ditetapkan oleh undang-undang.
Apakah maksud mahkamah permulaan dalam kes sivil?
Mahkamah permulaan atau Court of First Instance merujuk kepada mahkamah di mana sesuatu kes difailkan buat pertama kali, seperti Mahkamah Majistret, Mahkamah Sesyen atau Mahkamah Tinggi.
Adakah semua keputusan mahkamah boleh dirayu?
Tidak semua keputusan boleh dirayu secara automatik. Dalam sesetengah keadaan, rayuan hanya boleh dibuat dengan kebenaran mahkamah atau tertakluk kepada syarat-syarat tertentu yang ditetapkan oleh undang-undang.
Bilakah seseorang patut mempertimbangkan rayuan?
Jika keputusan mahkamah tidak berpihak kepada anda, adalah wajar mendapatkan pandangan peguam terlebih dahulu bagi menilai kekuatan rayuan, kos yang terlibat dan kemungkinan kejayaan sebelum memfailkan rayuan.
_______________________


0 Pertanyaan & Jawapan
Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.