>

FAKTOR PENTING SEBELUM SAMAN

saman, peguam, mahkamah

FAKTOR PENTING YANG PERLU DIAMBIL KIRA SEBELUM MENYAMAN

Kadangkala kita terlalu bermudah-mudahan didalam keinginan untuk menyaman seseorang. Kadangkala apabila emosi dan perasaan menguasai diri, kita terlupa untuk membuat keputusan dengan wajar dan rasional. Disini lah pentingnya fungsi seorang peguam yang akan memberikan nasihat professional tentang sesuatu kes itu. Namun apakah faktor-faktor yang perlu diambil kira sebelum kita boleh memfailkan saman?

KAUSA TINDAKAN

1. Perkara pertama yang akan dinilai dan diambil kira adalah kausa tindakan (cause of action). Kausa tindakan bermaksud sebab atau alasan yang diiktiraf disisi undang-undang untuk sesuatu pihak itu memulakan tindakan di Mahkamah. 

2. Secara mudahnya, sebelum kita memfailkan saman, persoalan utama yang perlu dinilai dan dijawab adalah; adakah kita mempunyai sebab untuk memfailkan saman?

3. Kenapa kita mahu failkan saman? Jawapan kepada persoalan ini tidak boleh sekadar alasan atau sebab mengikut perasaan semata-mata. Alasan, asas atau sebab itu hendaklah diiktiraf disisi undang-undang. 

4. Diantara alasan, asas atau sebab untuk memfailkan saman, diantara lainnya adalah kerana fitnah, perlanggaran kontrak, pencerobohan hartanah, tuntutan hutang, tuntutan sewa, kecuaian yang membawa kepada kerugian, perlanggaran hakcipta dan sebagainya.

5. Adakah terdapat alasan untuk menyaman yang tidak diiktiraf oleh undang-undang? Jawapannya ada. Salah satu contoh kausa tindakan yang tidak diiktiraf oleh undang-undang adalah kecuaian proses tindakan (negligence in legal process).

locus standi, cause of action, had masa





LOCUS STANDI

6. Sekiranya peguam telah memberikan pandangan profesional beliau dan mendapati sesuatu fakta itu mempunyai kausa tindakan, persoalan kedua yang tidak kurang pentingnya adalah persoalan locus standi.

7. Apakah itu locus standi? Ianya daripada terma latin yang bermaksud "a place of standing". Locus standi didalam bahasa mudahnya bermaksud hak atau kapasiti untuk memulakan tindakan dan hadir ke Mahkamah.

8. Faktor ini adalah sama pentingnya dengan kausa tindakan. Ini adalah kerana sekiranya anda tidak mempunyai locus standi atau hak untuk mengambil tindakan, maka anda tidak boleh memulakan sesuatu tindakan.

9. Sebagai contoh, seseorang pekerja tidak boleh mengambil tindakan undang-undang bagi pihak syarikat tempat beliau berkerja atau seorang kanak-kanak tidak boleh mengambil tindakan undang-undang diatas namanya sendiri.

HAD MASA

10. Faktor seterusnya yang perlu diambil kira adalah had masa. Adakah tindakan yang ingin kita ambil itu masih lagi di dalam tempoh masa yang ditetapkan oleh undang-undang.

11. Undang-undang di Malaysia telah menetapkan bahawa untuk setiap kausa-kausa tindakan sivil di Mahkamah, terdapat had masa - had masa yang perlu dipatuhi.

12. Untuk kausa tindakan tertentu, terdapat had masa - had masa yang berbeza-beza. Sekiranya sesuatu saman difailkan diluar tempoh masa yang ditetapkan, saman anda boleh dibatalkan sekiranya ianya difailkan tanpa kebenaran Mahkamah.

STATUS PIHAK YANG INGIN DISAMAN

13. Faktor yang terakhir adalah status pihak yang ingin disaman. Apakah orang atau syarikat yang ingin kita ambil tindakan itu boleh di saman?

14. Ini bermaksud, kita perlu memastikan bahawa orang yang ingin kita saman itu tidak bankrap atau syarikat yang ingin kita saman itu masih wujud atau tidak berada didalam penggulungan.

15. Ini adalah sangat penting kerana untuk mengambil tindakan terhadap seorang yang telah bankrap ataupun syarikat yang telah digulungkan adalah tidak dibenarkan melainkan dengan kebenaran-kebenaran dan syarat-syarat tertentu.

KESIMPULAN

16.  Di atas adalah diantara 4 faktor utama yang perlu dinilai sebelum kita memfailkan sebarang tindakan di Mahkamah.

17. Kegagalan untuk menilai dan memastikan faktor-faktor ini dipatuhi dan dipenuhi boleh menyebabkan sesuatu kes itu dibatalkan dan dibuang.

18. Oleh yang demikian, adalah sangat penting untuk mendapatkan pandangan seorang peguam yang berpengalaman yang boleh memberikan penilaian dan pendapat perundangan yang sewajarnya sebelum anda memulakan sebarang tindakan.

Untuk membaca tentang maklumat-maklumat orang yang ingin di saman, sila rujuk pautan ini:

https://www.norhafeezlaw.com/2022/05/maklumat-sebelum-saman.html

penghakiman ingkar

Hubungi kami di 0129797494 atau menerusi email di norhafeezlaw@gmail.com atau menerusi kotak pertanyaan untuk sebarang maklumat lanjut. 


0 Pertanyaan & Jawapan

Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.