BAGAIMANA SAYA BOLEH DI SAMAN MALU?
Ini adalah era media sosial. Kadang-kadang kesilapan dan kekhilafan anda dalam menilai fakta dan membuat kenyataan boleh mengundang padah apabila anda diheret ke Mahkamah kerana memfitnah. Namun bagaimana anda boleh di saman malu? Apa yang menyebabkan anda boleh di saman malu?
Memuatnaik kenyataan yang berunsur fitnah.
1. Diantara sebab lazim kenapa anda itu boleh di saman malu atau fitnah adalah kerana anda telah memuatnaik atau menulis kenyataan-kenyataan yang berunsurkan fitnah, lebih-lebih menerusi media sosial.
2. Sekiranya apa yang ditulis di media sosial seperti di Facebook, Twitter, Instagram atau Whatsapp Group itu adalah kenyataan berupa fitnah dan tuduhan palsu terhadap seseorang yang lain, maka anda boleh diheret ke Mahkamah.
Menulis komen atau ulasan yang berunsur fitnah
3. Anda juga boleh diheret ke Mahkamah sekiranya anda menulis ulasan atau komen yang berupa tuduhan palsu dan fitnah.
4. Walaupun ulasan tersebut ditulis sebagai ulasan atau komen di laman-laman orang lain di media sosial, anda tetap boleh di saman malu, sekiranya syarat-syaratnya dipenuhi.
5. Sebab itulah, ladang-kadang kita akan melihat suatu tindakan Saman Malu diambil bukan sahaja terhadap orang yang menulis status di Facebook, malah orang-orang yang menulis komen di status tersebut turut di ambil tindakan.
Membiarkan komen berunsur fitnah
6. Status atau tulisan anda di media sosial mungkin tidak mempunyai sebarang unsur-unsur tuduhan palsu atau fitnah. Akan tetapi terdapat rakan-rakan media sosial anda yang lain yang meninggalkan ulasan yang berbentuk fitnah di laman anda.
7. Ya, anda tetap boleh diheret ke Mahkamah kerana membiarkan komen atau ulasan tersebut disiarkan di laman media sosial anda.
8. Anda mungkin beranggapan ianya tidak adil kerana anda tidak boleh mengawal apa yang orang lain ulas. Namun anda boleh mengawal samada untuk membenarkan atau memadamkan ulasan-ulasan tersebut.
9. Atas dasar ini, anda bertanggungjawab sepenuhnya terhadap apa yang berlaku di laman media sosial anda.
Berkongsi kenyataan berbentuk fitnah
10. Sesuatu kenyataan fitnah atau tuduhan palsu tersebut mungkin bukan ditulis oleh anda, namun anda bertindak berkongsi kenyataan tersebut secara Repost, Retweet, Share dan Forward kepada orang lain.
11. Anda juga boleh dibawa ke Mahkamah sekiranya apa yang anda repost, retweet, share dan forward itu adalah kenyataan berbentuk fitnah dan tuduhan palsu.
12. Anda mungkin boleh mengatakan bahawa anda tidak tahu bahawa apa yang anda repost, retweet, share dan forward itu sebenarnya adalah fitnah. Namun undang-undang menetapkan bahawa adalah menjadi tanggungjawab anda untuk menentusahkan kebenaran sesuatu kenyataan sebelum dikongsi di media sosial.
KESIMPULAN
13. Jadi sebagai kesimpulan, sentiasalah berwaspada dan berhati-hati di dalam menulis sesuatu kenyataan di media sosial, lebih-lebih lagi berkenaan dengan keperibadian orang lain.
14. Jangan terlalu mengikut emosi. Kadang-kadang didalam keadaan kita marah, kecewa, sedih dan sebagainya, tanpa kita sedar kita telah membuat tuduhan-tuduhan yang boleh membuatkan kita di saman. Tidak berbaloi.
15. Begitu juga jika kita ingin membuat ulasan dan komen mahupun berkongsi sesuatu kenyataan yang merujuk kepada keperibadian seseorang. Tanpa kita sedar, kita telah memfitnah, walaupun mungkin niat kita adalah untuk memberi sokongan moral dan membantu. Tidak berbaloi.
16. Sentiasa semak dahulu kenyataan-kenyataan ataupun apa sahaja yang kita ingin kongsikan di media sosial. Semak dahulu sebelum kongsi.
17. Kerana bila anda diheret ke Mahkamah kelak, anda tidak boleh menggunakan alasan bahawa anda tidak tahu yang anda sebenarnya memfitnah. Tanggungjawab menyemak adalah tanggungjawab anda.
0 Pertanyaan & Jawapan
Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.